13 PESERTA DARI TIGA NEGARA SERUMPUN BERSAING DALAM GV MUSIM KE-8
‘Gegar Vaganza’ atau ‘GV’ ialah satu-satunya program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian terbitan Astro Ria yang menyediakan platform komersial penjenamaan semula kerjaya seni khusus untuk barisan penghibur berpengalaman di Malaysia.
Bakal membuka tirai menerusi penganjuran edisi kelapan dengan tagline ‘Bintang Kembali Menyengat’, pentas berprestij ‘GV8’ akan menjadi medan penentu bagi 13 pesaing utama mewakili tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia yang pernah menempa nama di persada seni hiburan suatu ketika dahulu.
Kemampuan 13 bintang utama yang bakal menjadi pertaruhan edisi kali ini terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, lima penyanyi solo wanita dan dua penyertaan secara duo atau berkumpulan.
Enam bintang solo lelaki yang akan memberi saingan sengit untuk musim ini ialah Aweera, Azan Scan, Dato’ Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk dan Aliff Aziz (Singapura). Sementara senarai penyanyi solo wanita yang menyahut cabaran untuk berentap dalam ‘GV8’ ialah Adibah Noor, Ani Maiyuni, Suki, Nikki dan Upiak Isil (Indonesia).
Musim ini juga turut meriah dengan kehadiran pelawak terkenal, Saiful Apek & Yassin serta Nico yang mewakili penyertaan secara duo dan berkumpulan.
‘GV8’ masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan.
Maestro muzik tersohor negara yang sudah sebati dengan pentas ‘GV’ sejak musim pertama, Datuk Haji Ramli MS masih lagi dikekalkan sebagai juri tetap untuk musim terbaharu. Manakala penghibur lagenda Indonesia yang juga tidak asing lagi di kalangan peminat ‘GV’, Hetty Koes Endang turut kembali ke kerusi juri tetap pada musim ini. Sebelum ini, Ibu Hetty pernah menyandang tugas sebagai juri tetap untuk musim ‘GV4’ dan ‘GV6’.
Pertandingan ‘GV8’ juga bakal menyaksikan proses penjurian yang lebih sukar dan mencabar dengan perlantikan Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap di samping Tok Ram dan Ibu Hetty. Selain itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu untuk menyertai barisan juri tetap bagi mengadili persembahan para bintang.
Gandingan selebriti versatil popular yang cukup serasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas utama selaku ‘Hos’. Sementara itu, personaliti SINAR; Falyq Hikyle dilantik sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Kapsul Gegar Vaganza’. Manakala pelawak dan personaliti GEGAR; Issey dan Fiza Frizzy pula digandingkan sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
Juara ‘GV8’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM30 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM20 ribu, RM15 ribu dan RM10 ribu beserta trofi.
Untuk rekod, pertandingan ‘GV’ telah menobatkan lapan juara sepanjang penganjuran untuk tujuh musim sebelum ini yang terdiri daripada Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6) serta Cliff Umar (GV8).
Comments