top of page

SELEBRITI BERAMAL JAYAKAN PROJEK BUSKING AID ON TRAIN


Barisan selebriti popular tempatan antaranya Fattah Amin, Pekin Ibrahim, Tomok dan PU Helmi bersama 10 orang lagi selebriti pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Aril Pilus, Zahid Baharudin, Akma Abdullah, Haziq Rosebi, Ammar Drama Band, Maulana AF, Kautsar Alam Band dan Laika AF sedang menyiapkan tugasan sesi terakhir projek Pembangunan Masyarakat .


Projek Busking Aid On Train merupakan kerjasama diantara UUM bersama dengan KTM KOMUTER dan KOPI PAK BELALANG edaran ClassicWorldwide International Group (CWIG) telah merealisasikan projek tersebut.


Sidang akhbar telah diadakan minggu lalu dengan kehadiran Timbalan Dekan UUM, Dr Ahmad Hisham, Ketua Komunikasi Korporat KTMB, Encik Ahmad Ridhwan Mohamed, CEO Time Reveal (M) Sdn Bhd, Cik Azurawaty Amar dan juga beberapa artis yang terlibat. Bagaimanapun Fattah Amin tidak dapat hadir kerana ada urusan lain.


Busking On Train bukanlah sesuatu yang baru di beberapa negara luar seperti UK, Kanada, Afrika Selatan, India mahu pun di negara jiran seperti Singapura. Malah, ia pernah dilakukan oleh beberapa kumpulan buskers tempatan di Sabah menerusi destinasi keretapi dari Kota Kinabalu-Beaufort- Kota Kinabalu pada tahun lalu.


Sebagaimana konsep busking yang telah diguna pakai selama ini, Busking Aid On Train juga adalah sebuah acara yang akan menghiburkan penumpang komuter secara santai sambil memungut derma. Jumlah pungutan derma yang berjaya dikumpulkan ini akan disalurkan terus kepada Rumah Amal yang dinaungi CWIG sebaik saja acara selesai.


Lebih menarik lagi apabila acara Busking Aid On Train ini akan menggunakan tema Green World sebagai satu usaha untuk terus meningkatkan kesedaran masyarakat awam tentang pentingnya menjaga, memelihara dan memulihara alam sekitar.

Tema ini juga dipilih selaras dengan perlantikan UUM sebagai duta Green World di London pada November tahun lalu. Pengiktirafan ini diterima berikutan kejayaan UUM meraih piala Emas di Green World Awards 2016 di Bucheon, South Korea sebelum itu.


Penyelaras Program PJJ Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif UUM, Mohd Idzwan Yacob berkata, menjadi satu kebanggaan apabila kalangan penggiat seni yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di UUM sanggup turun ke padang dan menghiburkan masyarakat awam menerusi aktiviti busking.


“Sama ada dari dari segi keperluan akademik mahu pun kehendak peribadi, aktiviti seperti ini bukan sahaja mampu memberi nilai tambah kepada pelajar sendiri, bahkan juga penglibatan pihak industri dan sektor korporat. Ia juga mampu memberikan manfaat kepada semua pihak.


“Malah, ia turut memberi makna besar terhadap komuniti apatah lagi ia bersifat program amal serta mempunyai nilai-nilai dan mesej-mesej positif. Program santai yang seperti ini mampu memberikan impaknya yang tersendiri.


“Kami juga yakin selebriti pelajar UUM dapat mengundang perhatian khalayak ramai sepanjang persembahan busking amal ini diadakan di beberapa destinasi stesen komuter terutamanya di titik akhir perjalanan iaitu di Mid Valley.

Bagi merealisasikan usaha murni ini yang cukup menarik ini, Busking Aid On Train popular akan diadakan di tiga destinasi stesen komuter terpilih yang mana ia akan bermula di Sungai Buloh, Bandar Tasik Selatan serta diakhiri dengan stesen komuter terakhir iaitu Mid Valley.

14 orang selebriti ini bakal membuat persembahan di lima destinasi stesen komuter ini akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan bantuan rakan-rakan pelajar jurusan yang sama.


Kumpulan Fattah Amin akan memulakan persembahan di KL Sentral bermula jam 11.30 pagi disusuli dengan kumpulan Pekin Ibrahim yang akan membuat persembahan dari stesen komuter KL Sentral ke Bandar Tasik Selatan selama setengah jam dan kemudian kembali semula ke KL Sentral sejurus selepas itu, sehinggalah beralih kepada kumpulan Tomok yang akan beraksi dari stesen KL Sentral ke Bandar Tasik Selatan pada tempoh masa yang sama diakhiri dengan destinasi KL Sentral.















Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page