Menangi RM10,000 KL Rush Explorace 2017 anjuran Menara Kuala Lumpur
Bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan, Menara Kuala Lumpur akan menganjurkan ‘KL Rush Explorace 2017’ pada Ahad, 26 Februari 2017, bermula dari jam 7.00 pagi hingga 3.00 petang. Perlumbaan ini akan bermula dari Menara Kuala Lumpur dan bergerak ke beberapa lokasi yang telah dikenalpasti sebelum berakhir kembali di Menara Kuala Lumpur.
Perlumban ini akan membawa para peserta ke beberapa kawasan tarikan utama sekitar Bandaraya Kuala Lumpur yang sememangnya menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara, sambil menyelesaikan cabaran-cabaran fizikal dan tugasan-tugasan yang akan mencabar minda peserta dalam masa yang telah ditetapkan.
"Fokus utama ‘KL Rush Explorace 2017’ adalah untuk meningkatkan kesedaran para peserta tentang tempat-tempat bersejarah dan pelancongan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur, di samping menyokong inisiatif dan seruan kerajaan untuk memupuk masyarakat yang cintakan Bandaraya Kuala Lumpur," kata Encik Meor Shahril Anuar, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur.
"Ia juga bertepatan dengan aspirasi kami untuk mempromosikan Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi Kebudayaan (Culture), Aktiviti Lasak (Adventure) dan Alam Semulajadi (Nature). Acara ini diharapkan dapat memberi pengalaman yang menarik dan menyeronokkan untuk semua peserta dari pelbagai lapisan masyarakat," tambah beliau lagi.
Para peserta akan menerokai Kuala Lumpur secara berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam yang dibenarkan semasa perlumbaan dalam jangka masa yang ditetapkan untuk melengkapkan misi perlumbaan.
‘KL Rush Explorace 2017’ menyasarkan sekurang-kurangnya 150 pasukan yang terdiri daripada orang ramai, organisasi korporat, agensi kerajaan, dan sudah tentu, pemburu ‘harta karun’.
Pendaftaran untuk penyertaan boleh dilakukan secara online di www.menarakl.com dengan mengisi borang pendaftaran di laman sesawang ini. Setiap pasukan harus mempunyai 4 peserta sahaja (maksimum empat orang peserta), dan setiap peserta mestilah berumur 18 tahun dan keatas. Yuran penyertaan adalah RM240.00 bagi setiap pasukan.
Rakan acara lain yang turut bekerjasama dalam acara ini adalah Kementerian Wilayah Persekutuan - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Biro Pelancongan Kuala Lumpur (KLTB), Kementerian Pelancongan & Kebudayaan (MOTAC), Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Eminent Display, Webe, Starbucks, KL City Gallery, KL Bird Park, Rapid Rail, Oishi, Hi Top Tea, Jabatan Hutan Kuala Lumpur, Muzium Telekom, Elang Wah Sdn Bhd (HoHo), Ultron dan Adabi.
Jangan ketinggalan untuk menyertai acara yang menguji minda dan ketahanan fizikal ini. Sambil menikmati pelbagai aktiviti dan cabaran yang menyeronokkan serta keindahan dan keunikan Bandaraya Kuala Lumpur, anda juga berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM10,000.00. Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, sila hubungi 03-20205448 atau lawati laman sesawang rasmi Menara Kuala Lumpur di www.menarakl.com.my.