HYPPTV MEMPERKENALKAN SIRI DRAMA TERBAHARUNYA ‘DI SEBALIK WAJAH’
Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi perkhidmatan IPTVnya yang pernah memenangi anugerah, HyppTV, terus memperluas himpunan siri drama terbitannya dengan memperkenalkan drama ‘Di Sebalik Wajah’, sebuah drama bersiri romantik thriller yang akan ditayangkan buat pertama kali dan secara eksklusifnya di HyppSensasi (HyppTV Saluran 116) bermula 1 Mei 2017, setiap hari Isnin dan Selasa, jam 9.00 malam.
Drama bersiri selama 30 episod ini diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd dan diarahkan oleh Patrick Lim, serta menampilkan barisan pelakon seperti Diana Danielle, Aliff Aziz, Hefny Sahad, Zarina Zainoordin, Anwar Khan dan ramai lagi.
Bersempena dengan tayangan drama ini, satu majlis pra-tonton episod pertamanya telah diadakan di mmCineplex bertempat di e@curve, Mutiara Damansara. Emily Wee, Naib Presiden, Perniagaan dan Operasi Media, New Media, TM dan Francis Foo, Ketua Pegawai Eksekutif, Filmscape Sdn Bhd telah hadir pada majlis tersebut. Barisan pelakon drama bersiri ini turut membuat penampilan bagi memeriahkan acara itu, selain penyanyi tempatan, Aiman Sidek dan pelakon utama drama ini, Aliff Aziz membuat persembahan.
Mengulas mengenai drama terbaharu ini, “Emily berkata, “Kami akan terus menambahbaik program-program tempatan di HyppTV. Setakat ini, kami telah menghasilkan lebih daripada 1000 jam kandungan HD dalam setahun yang membuktikan komitmen berterusan kami dalam membawakan pengalaman unik dan bernilai kepada pelanggan kami. Untuk menarik lebih ramai penonton untuk menonton HyppSensasi, ini merupakan kali pertama kami memberikan tayangan sneak preview untuk dua episod pertama bagi drama bersiri ‘Di Sebalik Wajah’ secara eksklusif di aplikasi HyppTV Everywhere sebelum waktu tayangan perdananya di HyppTV. Orang ramai boleh memuat turut aplikasi mudah alih ini di Google Play Store dan Apple App Store secara percuma. Aplikasi ini hanya memerlukan pendaftaran mudah dengan membuat pendafatran melalui nombor telefon mudah alih atau log masuk akaun Facebook.”
“Sebagai sebuah perkhidmatan IPTV yang mementingkan penerbitan kandungan yang berkualiti tinggi, komitmen kami dalam menghasilkan kandungan baharu dan eksklusif telah membuktikan sokongan berterusan kami terhadap perkembangan industri hiburan tempatan dan usaha berterusan kami untuk memenuhi citarasa penonton HyppTV yang semakin bertambah terutamanya mereka yang melanggan saluran tempatan kami seperti HyppSensasi,” tambah beliau.
‘Di Sebalik Wajah’ menampilkan jalan cerita karya beberapa orang penulis skrip – Eenaz Mokhtar, Farah Alya As’ari dan Farah Bani - yang mengisahkan tentang Nadia (Diana Danielle) yang tersedar dari koma selepas beliau terlibat dalam satu kemalangan kereta ngeri dan kemudian menjalani pembedahan di wajahnya. Tanpa sebarang memori lampau mengenai dirinya, dan tanpa mengingati siapa dirinya yang sebenar, Nadia dihantui dengan ilusi dan panggilan telefon daripada satu suara misteri yang menyuruh beliau membunuh suaminya sendiri, Amir Hisyam (Aliff Aziz) yang merupakan seorang pewaris kepada syarikat pembangunan hartanah terkemuka di Malaysia. Nadia terus menjadi keliru apabila beliau mula mengenali seorang lelaki bernama Fared Hanafi atau dikenali sebagai Red (Hefny Sahad), seorang wartawan penyiasat yang mempunyai seorang teman wanita dan rakan sekerja bernama Elisa (Zarina Zainoordin) yang telah hilang pada hari yang sama semasa Nadia mengalami kemalangan. Perkara-perkara yang berlaku secara kebetulan ini menjadikan Red lebih bersemangat untuk menjalankan penyiasatan beliau secara lebih terperinci, dan dengan bantuan Nadia, mereka terus mencari petunjuk sehinggalah membawa kepada perkara-perkara yang tidak dijangka dan membongkar rahsia sebenar. Maklumat-maklumat yang ditemui, mungkin dapat membantu Nadia untuk mengetahui siapa dirinya yang sebenar.
Bagaimanakah pengakhiran perhubungan di antara Nadia dan Amir? Adakah Nadia dan Red mampu untuk menjejaki Elisa semula? Jalan cerita ini akan menjadi lebih menarik di dalam ‘Di Sebalik Wajah’ di mana penonton akan terus mengikuti perjalanan Nadia untuk merungkai misteri di sekelilingnya. Plot penceritaan yang menarik ini nyata mampu membuat penonton tidak berganjak dan terus menonton drama bersiri ini.
‘Di Sebalik Wajah’ merupakan drama bersiri ketiga yang diterbitkan secara eksklusif untuk HyppTV pada tahun ini. Setakat ini, HyppTV telah menerbitkan sebanyak 23 buah drama bersiri semenjak tahun 2014. Baru-baru ini, HyppTV telah memperkenalkan ‘Pembancuh Kopi Mr Vampire’ satu lagi drama bersiri eksklusif di HyppTV yang telah ditayangkan pada 15 Mac 2017, jam 9.00 malam setiap hari Rabu dan Khamis. Dibintangi oleh Nazeera Sardi, Ungku Ismail, Afiera Riana, Lia Natalia, Aizat Hassan, Sharifah Shahora dan Sahronizam, dan diarahkan oleh Eyra Rahman, drama bersiri 30 episod ini telah diterbitkan oleh Mangkin Prestij Sdn Bhd, eksklusif untuk HyppTV.
Memeriahkan lagi himpunan kandungan hiburan di HyppSensasi HD pada bulan April ini adalah telemovie komedi istimewa, yang akan bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 8.30 malam, bermula dengan ‘Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa’ pada 1 April, ‘Warkah Cinta Mat Rock’ pada 8 April, ‘Gila Baby’ pada 15 April, ‘Menantu Tip Top’ pada 22 April dan akhir sekali ‘Awek Aku Tomboy’ pada 29 April.
Sesi Pelancaran Disebalik Wajah
HyppTV kini menawarkan kepada para pelanggannya sebanyak 110 saluran dengan 53 saluran dalam Definisi Tinggi (HD) - yang terdiri daripada 53 saluran premium, 26 saluran percuma, 2 saluran Radio, 7 saluran Video-On-Demand dan 22 saluran interaktif dalam pelbagai pakej nilai dan pilihan secara ala-carte.
Pelanggan HyppTV juga boleh menikmati himpunan hiburan bertaraf dunia melalui HyppTV Everywhere atau Hypp Play, saluran Video-On-Demand yang menawarkan pelbagai siri kandungan di HyppTV bagi tontonan yang menyeronokkan. Setakat ini, HyppTV mempunyai lebih daripada 1.5 juta pelanggan - MYBUZZ