top of page

FILEM: 'HIJABSTA BALLET' UNGKAP KOMPROMI RELEGI & SENI


Genre: Drama Bahasa: Malaysia Pengarah: Syed Zul Tojo Pelakon: Puteh Maimun Zaharah, Danny Shaz, Betty Banafe, Arman Graseka, Aida Khalida Durasi: 1jam 47 minit Klasifikasi: P13 Tarikh Tayangan: 03 Ogos 2017

Rating: 3/5


Semalam MB sempat meluangkan masa untuk menonton filem Melayu tempatan berjudul 'Hijabsta Ballet', Kalau didengar dari tajuknya barangkali terfikir ini filem experimentasi anak remaja . Jangkaan MB meleset! Walaupun hampir 60% barisan pelakonnya terdiri dari muka muka baru, ternyata mesej yang disampaikan dalam filem ini 'berat'. Jadi kalau menonton filem ini harus dengan minda yang terbuka.

Filem ini mengisahkan pertembungan dua dunia. Perjuangan seorang penari ballet yang tersepit antara dunia hijab dan ballet yang mahu menyatukan sesuatu yang mustahil. Kedua-duanya indah tetapi setiap satu tidak serasi satu sama lain. Apa yang baik untuk satu adalah noda kepada yang lain. Apa yang dibawa hijab dan apa yang dibawa ballet sentiasa bertelagah dalam setiap adegan, melalui konflik ataupun subteks metafora.

Dunia hijab dunia kasih sayang, dunia lindung-melindungi tetapi wujud pandangan yang tidak mahu berkompromi. Dunia ballet pula mewakili dunia liberal, dunia yang sepatutnya menerima apa sahaja, tetapi mereka tidak bebas terbuka kepada perbedaan. HIjabsta Ballet membawa kita merenung dunia kita, secara terang-terangan. Perjuangan mencari keseimbangan dalam kehidupan harian kita. Terlalu lazim, apa yang kita mahu mungkin bertentangan dengan prinsip dan kepercayaan yang telah lama tertanam dalam diri kita. Ditelan mati emak, diluah mati ayah. Pasca moden ini, pegangan kita sentiasa dicabar oleh pemikiran dan ideologi baru. Setiap kita mempunyai ‘HIjabsta Ballet’ kita sendiri.


Treler filem 'Hijabsta Ballet yang telah mula ditayangkan pada 03082017

SINOPSIS:


Adele (Puteh Maimun Zaharah) bukanlah kanak-kanak biasa. Di kala anak-anak lain bermain, hidup Adele penuh dengan jadual, persembahan, uijan dan pertandingan. Di belakangnya, wujud ibu yang sangat mementingkan disiplin dan usaha. Adele juga rapat dengan neneknya yang mencuba menyisipkan kehidupan agama dan spiritual. Nenek (Aida Khalida) tinggal seorang diri di kampung.

Apabila Adele berumur 17 tahun, dia dan Batrisya mendapat biasiswa di sekolah ballet terkemuka di Rusia. Mereka bersiap menjadi ballerina terkenal dunia tetapi takdir mempunya rencana lain untuk mereka. Berlaku sebuah peristiwa tragik yang menyentap jiwa Adele. Dia membuat keputusan berhijab, sesuatu yang telah lama bermain di benaknya. Tetapi Adele mesti sedar bahawa kedua-dua dunia ini penuh dengan persepsi.

Keputusan Adele itu mengubah kehidupan. Keluarga kecilnya berontakan. Masa depan ballet yang cerah tiba tiba menjadi kelam. Deni (Danny Shaz) yang diharap mempertahankan membiarkan dia terkial-kial. Farah yang dahulunya meletakkan harapan kepada Adele, membuatkan kehidupannya menjadi lagi sukar. Perjuangan ini membawa penentangan yang tiada tolok bandingnya. Adele juga ditentang golongan agama, terutamanya ekstrimis. Orang-orang yang diharapkan membantunya sebaliknya berlepas tangan, malah menentang beliau. Hanya Adele seorang sahaja percaya bahawa dia boleh mencapai kejayaan. Dia bukan sahaja perlu berani dan kuat malah sanggup menahan pedih hati menentang orang-orang yang disayanginya. |MYBuzz






Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page