top of page

Monsta Umum Kolaborasi Bersama WebTVAsia


Awal Disember lalu, Monsta, sebuah syarikat animasi dari Cyberjaya, Malaysia yang terkenal dengan siri animasi 3D popular, BoBoiBoy, mengumumkan kerjasama antarabangsa di China dan India, dalam sidang akhbar yang bertempat di Komune, Bangsar South City dengan sokongan daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan WebTVAsia. Sidang akhbar dimulakan dengan pengumuman perjanjian perolehan ekslusif dengan Tencent Video, sebuah platform penstriman video terkemuka dari China dengan 457 juta pelanggan bulanan, untuk membawa BoBoiBoy masuk ke pasaran China. WebTVAsia bertanggungjawab menguruskan pengedaran dan lokalisasi BoBoiBoy. Ketiga-tiga musim siri TV BoBoiBoy dan juga filem BoBoiBoy The Movie akan dialihbahasa kepada Bahasa Mandarin. Perjanjian perolehan ini bernilai 7 angka renminbi (RMB). Fred Chong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WebTVAsia, berkata, “Ianya merupakan satu pencapaian yang penting apabila IP animasi Malaysia berjaya menembusi pasaran China yang besar melalui platform penstriman video yang popular seperti Tencent. Sebagai sebuah syarikat Malaysia, kami bangga kerana dapat menjadi pengantara dalam kolaborasi ini dan berharap kerjasama ini akan berterusan dengan jayanya.”


Datuk Yasmin Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, berkata, “Di MDEC, kami mengutamakan perkembangan produksi animasi di Malaysia. Saya berasa amat bangga melihat studio animasi tempatan melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa kerana ia menunjukkan semangat Malaysia Boleh kepada seluruh dunia. Kami berharap pengumuman dan kerjasama ini akan mendorong industri animasi dan produksi Malaysia untuk lebih berkembang maju, dan MDEC akan sentiasa memberi sokongan kepada mereka.” Monsta juga mengumumkan perjanjian perolehan bersama Disney Channel India untuk menayangkan siri BoBoiBoy dan juga BoBoiBoy The Movie ke sub benua India, yang merangkumi Bangladesh, Bhutan, India, Maldives, Nepal, Pakistan, Seychelles, dan Sri Lanka. BoBoiBoy akan ditayangkan dalam 4 bahasa termasuk Hindi, Tamil, Telugu, dan Bahasa Inggeris. Nizam Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, berkata, “Impian kami selama ini bukan sahaja untuk mengeksport produksi tetapi juga untuk menunjukkan budaya Malaysia yang unik. Kini, mimpi sudah menjadi realiti apabila berjuta orang penonton di seluruh dunia dapat menikmati siri animasi kami dengan identiti Malaysia.” Monsta juga memperoleh perjanjian bersama Takara Tomy untuk menghasilkan siri mainan BoBoiBoy Galaxy TOMICA yang mula dijual di pasaran Malaysia pada tahun ini. Monsta juga telah bekerjasama dengan Gameloft untuk menghasilkan permainan mobil BoBoiBoy Galaxy Run di platform Android dan iOS. Dengan menembusi pasaran China dan India, Monsta berharap jenama ini akan lebih dikenali oleh kanak-kanak serata dunia dan membuka peluang yang lebih besar untuk seluruh industri animasi Malaysia. |MYBUZZ!

Mengenai Animonsta Studios

Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta) ialah sebuah studio animasi dari Malaysia yang menghasilkan animasi berkualiti tinggi yang berteraskan nilai-nilai murni untuk pasaran global. Animasi adiwira nombor satu Malaysia iaitu BoBoiBoy merupakan hasil titik peluh studio ini. Pada akhir tahun 2016, Animonsta Studios telah berjaya mengeluarkan animasi baharu, iaitu BoBoiBoy Galaxy, yang merupakan penjenamaan semula dari siri lamanya, BoBoiBoy, tetapi dengan barisan watak yang lebih dewasa. Ianya telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada orang ramai. Animonsta Studios juga merupakan satu-satunya pemegang hak perlesenan untuk Pokémon di Malaysia dan menguruskan hal-hal berkaitan dengan perlesenan francais tersebut di dalam Malaysia melalui anak syarikatnya, Monsta Licensing. Laman: www.monsta.com Facebook: facebook.com/BoBoiBoy Instagram: instagram.com/boboiboy.terbaik Twitter: twitter.com/BoBoiBoy Youtube: youtube.com/monsta --- Mengenai Tencent

Tencent menggunakan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup pengguna Internet. Jutaan penggunanya berkomunikasi, berkongsi pengalaman dan informasi, serta berhibur melalui platform bersepadunya setiap hari. Perkhidmatan Tencent merangkumi: QQ, Weixin/ WeChat sebagai alat komunikasi; Qzone untuk rangkaian sosial; QQ Game Platform untuk permainan secara online; QQ.com dan Tencent News untuk informasi, dan Tencent Video untuk kandungan yang berkaitan dengan video. Tencent ditubuhkan di Shenzhen pada tahun 1998 dan mula muncul secara umumnya di Papan Utama Hong Kong Stock Exchange pada tahun 2004. Syarikat ini merupakan salah satu daripada konstituen index saham Hang Seng. Tencent berusaha untuk berkembang seiringan dengan Internet dengan melabur dalam inovasi, serta menyediakan persekitaraan yang saling bermanfaat buat rakan kongsi, di samping sentiasa berada dekat dengan pengguna. Laman: www.tencent.com --- Mengenai WebTVAsia

WebTVAsia merupakan salah satu kumpulan hiburan media digital yang paling pesat berkembang di Asia dengan perniagaan yang merangkumi pelbagai aspek seperti filem, produksi TV, muzik, artis, pengurusan acara, video, pemasaran secara digital, dan rangkaian video YouTube yang mencapai sebanyak 8 bilion minit atau 2 bilion tontonan oleh sejumlah 100 juta orang penonton setiap bulan. Ditubuhkan pada tahun 2014, ia terdiri daripada anak-anak syarikat di China, Korea, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Thailand, Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Ia juga terkenal dengan acara tahunannya iaitu WebTVAsia Awards dan pesta muzik Viral Fest Asia yang mempunyai jangkauan media sosial sebanyak 250 juta di seluruh dunia. YouTube: www.youtube.com/webtvasia Corporate showreels: https://goo.gl/yRUa6M Facebook: https://www.facebook.com/webtvasiaofficial/ Instagram: https://www.instagram.com/webtvasia/ --- Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation atau MDEC (dahulunya dikenali sebagai Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd.), ialah agensi yang ditubuhkan 20 tahun lalu di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan tujuan menerajui pembangunan Ekonomi Digital Malaysia. Misinya ialah menjana pelaburan, mengembangkan teknologi tempatan, memajukan ekosistem inovasi digital, serta menggalakkan penggunaan teknologi digital. MDEC juga bertanggungjawab untuk memastikan Malaysia terus maju dari segi inovasi digital serta memupuk bakat tempatan dalam bidang informasi, komunikasi dan teknologi (ICT), di samping menarik minat syarikat ICT global untuk melabur dalam teknologi digital yang canggih serta mencari penyelesaian secara kreatif buat negara Malaysia. Laman: www.mdec.my Facebook: www.facebook.com/MyMDEC Twitter: @mymdec


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page