top of page

JARAK 9 JUTA PENONTON DIDEKATKAN!


Drama bersiri ‘Dekatkan Jarak Kita’ yang telah bersiaran selama 15 episod di slot Samarinda terbukti mendapat tempat di hati penonton seluruh negara. Menurut Nielsen Malaysia, Dekatkan Jarak Kita yang membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Ayda Jebat, Syafiq Kyle, Wan Sharmila, Nadia Brian, Catriona Ross dan Azhan Rani telah meraih ratings terkumpul sebanyak 9 juta penonton sepanjang drama itu bersiaran.


Menurut pengarah drama Samarinda: Dekatkan Jarak Kita, saudara Azman Hj Yahya (Jinggo), “Mewakili seluruh kru produksi, kami amat berbangga atas pencapaian ini dan berterima kasih kepada para penonton yang memilih drama ini sebagai bahan tontonan seisi keluarga. Kami turut bersyukur kepada TV3 kerana telah memberikan kepercayaan kepada kru saya dan Sheila Rusly dalam menghasilkan drama ini. Sepanjang penggambaran drama ini, kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak sekalipun, malah kami mendapat sokongan padu daripada pihak-pihak penaja dan rakan-rakan media yang sudi hadir ke set penggambaran kami. Dalam tahun baharu ini, In Sya Allah JS Pictures akan menghasilkan lebih banyak drama seperti Dekatkan Jarak Kita ini, kerana 9 juta ratings ini membuktikan bahawa para peminat drama tanah air kita meminati drama yang bertemakan kekeluargaan. Oleh itu, kami berharap agar para penonton diluar sana akan terus menyokong hasil karya JS Pictures terutamanya Dekatkan Jarak Kita Raya yang bakal disiarkan dibulan Syawal kelak.”



Selain di hadapan kaca televisyen, drama Dekatkan Jarak Kita juga telah menjadi perbualan hangat di media sosial melalui tanda pagar #DekatkanJarakKita sehingga telah menjadi sohor kini (trending) nombor satu untuk setiap episod. Selain itu, Dekatkan Jarak Kita telah mencatatkan lebih 80,000 tontonan di portal video tonton dalam masa sebulan.


Dekatkan Jarak Kita berjaya raih rating 9 juta tontonan sepanjang bersiaran -Nielsen Malaysia


Dekatkan Jarak Kita adalah sebuah drama bersiri 15 episod bertemakan kekeluargaan dan kasih sayang yang diterbitkan oleh JS Pictures Sdn. Bhd di bawah arahan saudara Azman Hj. Yahya @ Jinggo. Drama ini mengisahkan sepasang kembar tidak seiras, Tashriq dan Sofea yang tinggal bersama ibu mereka, Umi Khadijah setelah kematian ayah mereka akibat serangan sakit jantung. Tuan Kamil, sahabat lama keluarga itu muncul dalam kehidupan mereka dengan niat untuk membantu Umi Khadijah dalam menjalani kehidupannya. Tidak lama setelah kemunculannya itu, Umi Khadijah dan Tuan Kamil berkahwin. Walau bagaimanapun, Umi Khadijah tidak mengetahui bahawa Tuan Kamil mempunyai agendanya yang tersendiri iaitu untuk merampas harta Umi Khadijah kerana Tuan Kamil sebenarnya telah muflis. Namun, setelah kehilangan Sofea, keluarganya digemparkan apabila Alyssa, yang mirip dengan Sofea kembali untuk menuntut keadilan untuk Sofea dan memperbetul keadaan keluarga itu.


Dekatkan Jarak Kita telah bersiaran pada setiap Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam di TV3 dalam slot Samarinda daripada 21 November 2017 sehingga 25 Disember 2017. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan youtube TV3 iaitu @TV3Malaysia. |MYBUZZ!




Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page