MENTOR KINI MAHUKAN YANG OTAI!
Program realiti yang mencungkil bakat nyanyian masyarakat tempatan kini kembali dengan konsep baharu. Menampilkan Misha Omar, Siti Sarah, Tam Spider, dan Zarul Umbrella sebagai mentor dalam Mentor Otai ini. Oleh itu, barisan mentor mengalu-alukan penyertaan warganegara dalam lingkungan umur 35 hingga 55 tahun ke sesi uji bakat pada 27 & 28 Januari dan 3 & 4 Febuari 2018 di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya.
Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan, Puan Zurina Othman “Program Mentor ini telah pun mendapat tempat di hati masyarakat kita, terutamanya dalam mencungkil bakat nyanyian mereka yang terpendam selama ini. Namun, program Mentor selama ini hanyalah dibuka kepada golongan belia sahaja. Oleh itu, pada tahun 2018 ini, TV3 memperkenalkan Mentor Otai untuk memberikan peluang kepada mereka yang pernah dan masih mempunyai impian untuk menjadi penyanyi. Seruan saya adalah, ambillah peluang ini dan sertailah industri hiburan tanah air seperti yang anda sentiasa inginkan. Barisan Mentor kami yang sememangnya cukup berpengalaman akan membimbing para protégé mereka sehingga mereka bergelar penyanyi.”
Para peserta uji bakat Mentor Otai hendaklah mematuhi beberapa syarat kelayakan seperti berikut:
Lelaki & Perempuan warganegara Malaysia yang berumur 35 - 55 tahun sebelum 1 Januari 2018. Mempunyai bakat nyanyian dan boleh bernyanyi secara solo. Berpakaian Kemas & Professional. Bawa bersama salinan lagu-lagu minus one yang hendak disampaikan dalam cakera padat (CD). Tidak diurus oleh mana-mana syarikat rakaman dan agensi bakat sebelum dan selepas program Mentor Otai.
Selain itu, para mentor juga telah berkongsi apakah kriteria-kriteria bakal protege yang dicari mereka:
Misha Omar :
“Saya tidak meminta banyak daripada bakal protege saya. Saya tidak mengambil kira status perkahwinan dan umur mereka. Asalkan mereka mempunyai suara yang mantap dan mempunyai keaslian sendiri.”
Zarul Husin (Umbrella) :
"Protege yang saya cari adalah mereka yang ikhlas dalam menyanyi dan tentunya boleh menyanyi. Mereka juga haruslah mempunyai karakter dan berpengalaman dalam menyanyi."
Sarah Raisuddin :
“Mampu menyanyi dalam pelbagai genre atau versatil adalah kriteria utama yang saya cari. Selain itu, protege saya haruslah berjiwa Melayu yang kuat dan minat
menyanyi.”
Tam Spider :
“Pertama sekali, bakal protege saya hendaklah mempunyai bakat nyanyian dan seorang penyanyi yang versatil. Mereka juga haruslah mengikuti perkembang-an dunia muzik tanah air dan sekiranya mereka boleh bermain instrumen muzik, itu merupakan markah bonus kepada mereka.”
Mentor Otai ini diterajui oleh Encik Muhamad Sufian Che Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Abdul Ghani Mohd Mokhtar selaku Penerbit Mentor Otai. Mentor Otai akan menemui para penonton disekitar bulan Mac 2018.
Mungkin anda pernah mempunyai impian untuk menjadi seorang penyanyi? Jadikan ini platform anda untuk menggapai semula impian anda! Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram, dan Twitter @TV3Malaysia. Gunakan juga tandapagar #MentorOtai untuk hangatkan lagi perbualan dan kongsikan pengalaman anda di sesi uji bakat ini di laman sosial. |MYBUZZ!