top of page

AERIL ZAFRIL SEBAGAI TENGKU KHALIS DALAM TEATER 'TANAH AKHIRKU'


Setelah mengumumkan pementasan Teater “Tanah Akhirku” akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 2 September ini bersempena bulan kemerdekaan, kali ini produksi ini tampil dengan pengumuman kedua.

Setelah berbulan mencari dan menanti jiwa dan figura seorang Tengku, akhirnya jodoh watak ini disambut baik oleh Aeril Zafril yang sebelum ini pernah beraksi di pentas yang sama melalui naskhah berbeza.

Menariknya penampilan Aeril kali ini membawakan watak Tengku Khalis akan dibimbing oleh dua nama yang cukup dikenali ramai di kalangan dunia lakonan pementasan ‘luar kawasan’ komersial iaitu Naque Ariffin dan Aloeng Silalahi. Dua nama ini bergabung membuktikan bahawa mereka punya sentuhan dan cara tersendiri dalam membentangkan naskhah Tanah Akhirku kepada khalayak.

Menurut Aeril Zafril, “ Kali kedua ke pentas Istana Budaya yang berprestij ini tetap sama rasa teruja berbaur gementar, namun kerana kali ini bersama tenaga kerja anak-anak muda yang berjiwa besar bersama sebuah karya yang kaya semangat rasa bersama masyarakat dan pesan peringatan tentang adanya pemakai-pemakai topeng yang mampu membinasakan segenap jiwa dengan kata-kata dan tingkah yang berpaling dari adab dan agama ini, membuatkan saya menyahut cabaran ini meski dalam masa yang terbatas.Semoga dipermudah dan diperindahkanNya.” Ujar Naque pula selaku pengarah,”Dipanggil pulang dari Indonesia untuk memenuhi harapan aktivis-aktivis muda yang ingin memecahkan dominasi dan kepercayaan orang atas adalah satu kehormatan buat saya. Tidak mungkin saya boleh menutup mata bila ada di antara teman-teman memerlukan bantuan ketika produksi ini hampir melabuhkan sauh enggan berlabuh ke destinasi. Harapan saya sungguh besar dalam bidang kesenian ini. Satu yang tertinggi adalah melihat kerja kreatif tidak dimamah oleh birokrasi dan sistem.”

Tambah Naque lagi, “ Saya tidak ingin karya ini diukur, cukup untuk diapresiasi. Yang saya tawarkan dalam karya ini adalah agar penonton bukan sahaja dapat menonton tetapi membaca persembahan ini.”

Nota ini ditambah dengan kata-kata Aloeng Silalahi, ” Tanah Akhirku adalah sebuah produksi berani, jika tidak keterlaluan mungkin boleh dikatakan gila atau suicidal.


Mengumpulkan aktivis, selebriti dan alumni Aswara dalam sebuah produksi bersakala Istana Budaya bukanlah kerja. Tetapi saya percaya kami tetap melalui jalan berliku ini bersama ialah kerana cinta pada seni persembahan teater, dan kemudian adalah kesetiaan dan kehormat tinggi pada almameter kami (ASWARA). Harapan saya Tanah Akhirku mampu diapresiasi oleh penonton bukan hanya sekadar sebuah pementasan sempena bulan kemerdekaan. Tetapi atas semangat kisahnya akan cinta budi yang melampaui sempadan kaum, bangsa dan politik. Juga harapan yang setinggi-tingginya pada keseluruhan produksi dapat menuntaskan visi kami menyajikan karya “seni” dengan nilai komersial. Amin.”

Bersempena dengan bulan kemerdekaan yang akan disambut pada Ogos ini, pihak penerbit iaitu Gold Ray dan ASWARA dengan kerjasama Istana Budaya bersatu hati patriotism mengangkat teater Tanah Akhirku ke skala yang lebih besar di Panggung Sari, Istana Budaya.

Teater karya Amar Amir ini akan menemui penonton pada 28 Ogos hingga 2 September 2018 di bermula jam 8.30 malam. Antara pelakon yang terlibat adalah Mei Fen Lim, Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ, Akmal Ahmad, Alfred Loh, Iskandar Zulkarnain dan Angeline Tan.

Mei Fen Lim pernah mementaskan teater ini sebagai salah sebuah penilaian sewaktu bergelar pelajar tahun akhir Fakulti Teater di Aswara. Walaupun dinilai dari segi lakonan, beliau juga bertanggungjawab sebagai pengolah cerita asal. Beliau begitu komited memastikan cerita tentang penghijrahan awal masyarakat Tiong Hua ke Tanah Melayu dipaparkan dengan teliti melalui naskhah ini.

Menariknya pementasan teater ini mendapat respons yang baik dari banyak pihak dan pihak Istana Budaya berasakan bahawa naskhah ini bersesuaian untuk dipentaskan pada bulan Ogos demi menyemarakkan lagi rasa cintakan negara. Elemen-elemen kemerdekaan dan cinta negara yang terkandung dalam teater ini bakal menaikkan lagi rasa patriotisme penonton.


Tanah Akhirku adalah sebuah naskhah yang mengajak penonton untuk melihat pembentukan negara Malaysia melalui perspektif yang berbeza. Kaum Cina yang telah datang berhijrah ke Tanah Melayu pada era penjajahan British turut memainkan peranan besar dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang majmuk seperti yang ada seperti masa kini. Kita tidak dapat menafikan sumbangan para imigran Cina dan India yang datang untuk memajukan Tanah Melayu dari segi ekonomi dan juga budaya.


Mei Fen berkata, beliau mendapat idea untuk pementasan cerita ini selepas menghabiskan masa belajar di ASWARA. Persekitaran majmuk di kampus ini memberikan Mei Fen pengalaman sebenar masyarakat Malaysia yang dia idamkan. Di ASWARA, kepelbagaian budaya diraikan dan setiap pelajar mempunyai peluang untuk memahami budaya asing tanpa perlu meninggalkan akar budaya masing-masing.


Tanah Akhirku akan dipersembahkan di dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris dengan sarikata bahasa. Tiket dengan harga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 DAN RM 350 boleh dibeli melalui http://airasiaredtix.com mulai 13 Julai 2018 | MYBUZZ!

 

SINOPSIS

Tanah Akhirku mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari tanah besar China ke Tanah Melayu bernama Yue Feng. Yue Feng lari daripada perang saudara dan pecah belah di China bersama adiknya ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan baharu. Mereka kemudian bekerja di lombong bijih timah yang dikuasai oleh kumpulan kongsi gelap. Dengan ketidak stabilan politik dan pentadbiran pada ketika itu antara pembesar istana, pihak British dan juga pengusaha lombong, tidak ada langkah mudah untuk meneruskan hidup bagi pekerja-pekerja lombong di situ. Yue Feng pula semakin jatuh hati dengan Tanah Melayu yang sudah dianggap sebagai tanah airnya sendiri. Cintanya juga turut mekar terhadap seorang lelaki Melayu.

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page