top of page

PRODUKSI TEATER 'TANAH AKHIRKU' ANJUR MALAM GALA UNTUK TAJAAN DANA


Malam Gala akan berlangsung pada 28 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya dan akan dihadiri oleh YAB Perdana Menteri Malaysia beserta isteri

Setelah mengumumkan pementasan Teater 'Tanah Akhirku' akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 1 September ini bersempena bulan kemerdekaan, produksi Teater Tanah Akhirku sebenarnya tidak menutup kenyataan bahawa mereka masih memerlukan dana dan mengalu-alukan kemasukan kewangan bagi yang berminat untuk membantu mereka ‘berlayar’ di Istana Budaya pada akhir bulan ini.


Terbaharu, pihak Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan dengan berbesar hati memperuntukkan dana sebanyak RM150,000 untuk membantu teater di bawah arahan Naque Ariffin dan Aloeng Silalahi ini.


Menurut Rector ASWARA iaitu Profesor Datuk Ir Mohd Rizon Juhari berkata ASWARA setuju memperuntukkan dana untuk menjayakan teater tersebut.


“Walaupun dalam kekangan kewangan semasa,ASWARA mahu melihat pelajar berkeyakinan dan karya professional dalam industri. Peluasan seni dan budaya adalah salah satu agenda utama ASWARA dengan mencungkil bakat pelajar sekolah yang meminati bidang seni memasuki ASWARA pada peringkat diploma dan ijazah,” katanya.


Menurut Mei Fen Lim selaku produser dan pelakon utama teater ini, mereka sangat bersyukur menerima dana yang diberikan, tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung kos produsksi yang mencecah RM500,000. Pihak produksi dan dirinya telah memikirkan pelbagai alternatif untuk memastikan teater ini dapat dilaksanakan.


Maka setelah berdiskusi dengan pihak ASWARA, mereka sepakat untuk mengadakan kutipan dana pada Malam Gala yang akan berlangsung pada 28 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya. Malam Gala tersebut akan menerima kunjungan YAB tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah binti Haji Mohamad Ali.


“Walaupun ramai yang menasihatkan saya untuk tidak mendedahkan masalah sebenar iaitu berkaitan dana dan kewangan kerana akan menjatuhkan semangat mereka yang terlibat,namun saya memilih untuk berterus terang kerana tidak mahu menipu dan berjanji. Perjuangan kali ini memang sangat mencabar kerana saya mula mengetuk pintu dana sejak Februari lagi namun masih gagal mendapatkan sebarang penajaan,” ujar Mei Fen.


Mei mengaku dirinya berdegil untuk meneruskan teater ini kerana tidak mahu melepaskan peluang yang diberikan oleh Istana Budaya untuk anak generasi muda dan isi penceritaan yang disampaikan memang sangat bertepatan dengan senario Merdeka tahun ini.


“Saya sempat bertemu dengan aktivis teater yang juga pensyarah iaitu Rosminah Tahir dan bertanya kenapa dia tidak memarahi kegilaan saya malah sanggup mahu menolong dari segi kewangan. Beliau menjawab inilah yang perlu dilakukan. Beliau melihat ini merupakan kali pertama Alumni dan pelajar ASWARA generasi muda membuat persembahan di Istana Budaya. Beliau mahu melihat anak-anak muda ini mengaplikasikan pembelajaran yang didapati dari Aswara dan dipertontonkan di pentas Istana Budaya. Kalau bukan sekarang , bila lagi katanya,” ujar Mei menambah dengan bersemangat sekali.


Menurut Mei lagi, melalui pementasan ini,mereka berharap untuk memupuk semangat kekitaan dan keempunyaan di kalangan rakyat tidak mengira darjat, usia atau kaum untuk meraih Merdeka Tahun 2018 bersama YAB Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri yang merealisasikan impian Malaysia Baru rakyat.


Pihak produksi Teater Tanah Akhirku mengalu-alukan dana dan tiket-tiket Malam Gala boleh dibeli pada harga RM500 dan RM1000 melalui talian 016-4833786 (Miss Fong) atau 0124757728 ( Faez Malek).


Teater karya Amar Amir ini akan menemui penonton pada 28 Ogos hingga 1 September 2018 di bermula jam 8.30 malam. Antara pelakon yang terlibat adalah Aeril Zafril, Mei Fen Lim, Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira,Nave VJ, Akmal Ahmad, Alfred Loh, Iskandar Zulkarnain dan Angeline Tan.


Tanah Akhirku akan dipersembahkan di dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris dengan sarikata bahasa. Tiket dengan harga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 DAN RM 350 sudah mulai dijual melalui http://airasiaredtix.com pada 13 Julai 2018. |MYBUZZ!

 

SINOPSIS:

'Tanah Akhirku' mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari tanah besar China ke Tanah Melayu bernama Yin Feng. Yin Feng lari daripada perang saudara dan pecah belah di China bersama adiknya ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan baharu. Mereka kemudian bekerja di lombong bijih timah yang dikuasai oleh kumpulan kongsi gelap. Dengan ketidak stabilan politik dan pentadbiran pada ketika itu antara pembesar istana, pihak British dan juga pengusaha lombong, tidak ada langkah mudah untuk meneruskan hidup bagi pekerja-pekerja lombong di situ. Yin Feng pula semakin jatuh hati dengan Tanah Melayu yang sudah dianggap sebagai tanah airnya sendiri. Cintanya juga turut mekar terhadap seorang lelaki Melayu.


Tanah Akhirku adalah sebuah naskhah yang mengajak penonton untuk melihat pembentukan negara Malaysia melalui perspektif yang berbeza. Kaum Cina yang telah datang berhijrah ke Tanah Melayu pada era penjajahan British turut memainkan peranan besar dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang majmuk seperti yang ada seperti masa kini. Kita tidak dapat menafikan sumbangan para imigran Cina dan India yang datang untuk memajukan Tanah Melayu dari segi ekonomi dan juga budaya.



Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page