ABPBH31 | BH UMUM PENGACARA, PENYAMPAI SERTA BARISAN ARTIS PERSEMBAHAN
BAHANG MALAM KEMUNCAK ABPBH 31 SEMAKIN MEMBARA Bahang kehangatan Anugerah Bintang Popular BH ke 31 (ABPBH 31) semakin dirasai. Tarikh 7 Oktober semakin hampir dan untuk menambah kehangatan malam kemuncak ABPBH 31, satu program #FANtastik Santai Bersama Kelab Peminat Artis dan pengumuman Malam Pra Kemuncak ABPBH 31 telah berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Sabtu, 22 September 2018. Buat julung kalinya, pihak penganjur BH menghimpunkan kira-kira 20 kelab peminat artis (FC) dalam sebuah program yang menyediakan pelbagai acara menarik termasuk pertandingan zumba, flashmob dan sorak antara kelab peminat artis. Selain itu, terdapat 16 gerai FC yang masing-masing menawarkan pelbagai aktiviti termasuk jualan produk artis, barangan kesayangan milik artis dan juga acara 'meet and greet' bersama artis pujaan. Beberapa artis popular tanah air turut membuat penampilan di booth kelab peminat dan segmen persembahan seperti Khai Bahar, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Shaa, Aman Aziz dan Lan Solo. Pada segmen pengumuman Malam Pra Kemuncak ABPBH 31 di Lambang Sari mulai jam 3 petang itu, penganjur telah mengumumkan pengacara, penyampai trofi dan barisan artis yang bakal membuat persembahan pada edisi ke-31 acara anugerah berprestij ini.
Barisan pengacara, penyampai dan selebriti yang akan membuat persembahan pada malam ABPBH 31 di PICC, Putrajaya ,
7 Oktober 2018 nanti
Gandingan artis dan personaliti baharu, muda serta yang lama pastinya sekali lagi akan menjadikan malam kemuncak ABPBH 31 ini acara yang mantap dan menghiburkan.
Bahang majlis pra kemuncak turut dihangatkan dengan pertunjukan fesyen bertemakan INFINITI oleh pereka fesyen tanahair iaitu Razman Razmi. Selain daripada artis yang akan terlibat pada malam kemuncak ABPBH 31, turut hadir pada majlis tersebut ialah En. Alfian Abu Talib, Ketua Pegawai Komersial, NSTP; Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Eksekutif BH juga selaku Penaung ABPBH 31; dan Shamshul Azree Samshir, Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 31. Penaja Utama ABPBH 31 kali ini adalah Alha Alfa, produk kosmetik tempatan keluaran Syarikat Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd. Rakan penaja ABPBH 31 kali ini adalah McCafe’. Lokasi rasmi acara kemuncak ABPBH 31 ditaja oleh Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sebagai penyiar televisyen rasmi, Kool FM and Hot FM sebagai stesen radio rasmi, TONTON sebagai platform digital rasmi, Hijab & Heels sebagai media digital rasmi dan Apa Kes? sebagai kapsul hiburan rasmi. Pengarang Eksekutif BH juga selaku Penaung ABPBH 31, Datuk Ahmad Zaini berkata, acara ABPBH 31 kali ini mengangkat tema ‘Infiniti’ sesuai dengan usia penganjurannya yang melebihi tiga dekad dan juga perlambangan kepada keutuhan BH yang terus bertahan dalam era revolusi digital pada masa kini.
“Saya bersyukur kerana kami di BH dapat meneruskan lagi penganjuran ABPBH yang sudah memasuki kali ke-31 sejak ia mula dianjurkan buat pertama kalinya pada 1987. Segala perancangan penganjuran acara ini telah dibuat sejak awal lagi bagi memastikan acara kali ini mencapai matlamatnya seperti sebelum ini iaitu untuk terus meletakkan martabat artis dan selebriti hiburan negara ini pada kedudukan sewajarnya. “Dan sudah tentu kami berharap seperti mana penganjurannya sebelum ini, kami berazam untuk menjadikan ia lebih baik, ada impak dan meninggalkan memori manis pada semua artis serta mereka yang terbabit,” katanya.
Pada ABPBH 31 kali ini, pengundian dilakukan secara online 100 peratus di laman web www.abpbh.com.my mulai 25 Ogos 2018 sehingga 25 September 2018. Tiga belas kategori utama yang bakal dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular. Turut dipertandingkan adalah lima kategori online iaitu Artis Sensasi Popular, Pasangan Serasi Drama, Pasangan Serasi Filem, Instafamous Cilik Popular dan Personaliti Media Sosial Popular. Acara utama sudah pasti malam kemuncak ABPBH 31 yang akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada hari Ahad, 7 Oktober 2018.
Mengenai Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) adalah anugerah ’People’s Choice’ yang terunggul anjuran BH yang diadakan setiap tahun bermula pada 1987. Ketika itu, ia dikenali sebagai Anugerah Penyanyi dan Pelakon Popular (APPP). Bertahan selama 31 tahun, ABPBH menjadi antara anugerah paling konsisten apabila ia diadakan setiap tahun. ABPBH bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air, di samping memberi peluang kepada pembaca dan pengikut setia BH untuk memilih artis popular serta menyertai malam kemuncak anugerah. Penganjur menerima banyak pencalonan daripada semua syarikat rakaman, syarikat penerbitan filem, stesen TV dan radio untuk artis dan selebriti di bawah naungan mereka. Pencalonan terbuka kepada personaliti, selebriti, pelakon dan penyanyi yang terbabit secara aktif dan konsisten dalam bidang masing-masing untuk tempoh produk diterbitkan iaitu Januari 2017 hingga Disember 2017.