top of page

PAK JEN ANJUR PROGRAM CSR 'JOM MAKAN' JAMU KOMUNITI NGO SETEMPAT NIKMATI HIDANGAN ENAK


Pada awal pembukaan Pak Jen Gulai Panas Langkawi sekitar bulan Disember tahun lepas, nawaitu pengasas Restoran Pak Jen Gulai Panas Langkawi adalah untuk menyediakan sajian makanan Melayu Utara yang enak lagi lazat pada harga mampu bayar oleh pelanggan.

Sejak pembukaan Pak Jen Gulai Panas Langkawi, ribuan pelanggan telah singgah ke restoran ini untuk merasai sendiri keenakan masakan gulai panas ikan bawal, daging dendeng, itek golek dan daging wagyu masak lemak.

Sasaran Pak Jen seterusnya: Menjamu makan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Hari ini, Pak Jen tampil membuat projek amal dan kebajikan atau CSR dengan melancarkan Program Jom Makan.

Dengan konsep “Pay It Forward”, para pelanggan Pak Jen akan digalakkan untuk membayar untuk hidangan seterusnya atau membuat sumbangan kecil. Semua kutipan Program Jom Makan akan disalurkan kepada badan-badan bukan berkeuntungan dan badan bukan kerajaan (NGO) pilihan Pak Jen yang akan menikmati makanan di Pak Jen setiap Akhir bulan. Bagaimanapun, sekiranya kutipan itu tidak mencukupi, pihak Pak Jen sendiri akan menampung kekurangannya.

"Sewaktu kami memulakan operasi, hasrat kami adalah untuk menyajikan makanan tradisional yang popular dari Utara tanahair di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Sajian yang dihidangkan kepada pelanggan bukan sahaja rasanya mesti sedap tetapi pada harga mampu bayar, tidak membebankan dan pelanggan mudah untuk datang ke lokasi operasi restoran," kata Tan Jen, salah seorang pengasas Pak Jen Gulai Panas Langkawi.

Pelanggan yang makan di Pak Jen Gulai Panas Langkawi boleh menikmati hidangan dengan berbelanja kurang dari RM10. Namun begitu, kata Tan, kita sedar wujudnya golongan yang kurang berkemampuan dalam kalangan masyarakat kita yang tidak mampu untuk makan di restoran Pak Jen Gulai Panas Langkawi.

"Justeru, sejajar dengan misi kami iaitu memberi makan, kami lancarkan Program Jom Makan supaya golongan yang kurang berkemampuan dapat menikmati makanan yang enak dan lazat yang disediakan di Pak Jen," kata Tan Jen bersungguh-sungguh.

Sebagai permulaan Program CSR Jom Makan, 50 orang kanak-kanak termasuk kakitangan dan sukarelawan dari Yayasan Chow Kit dipilih menjadi golongan pertama yang akan diraikan. Selain daripada menjamu selera, mereka juga akan diajar cara-cara untuk menyediakan lempeng danmembancuh minuman istimewa Pak Jen, Cenang Ais.


Sementara itu, pengasas bersama Pak Jen Gulai Panas Langkawi, Safwan Bahari berkata, Yayasan Chow Kit dipilih untuk Program Jom Makan kerana Pak Jen sememangnya mensasarkan masyarakat setempat sebagai permulaan.

"Kita sekarang mempunyai dua cawangan iaitu di Quill City Mall dan satu lagi di Sunway Putra Mall. Kedua-dua kawasan ini berhampiran dengan kawasan Chow Kit. Jadi, menjadi satu kelaziman untuk kita memilih Yayasan Chow Kit, apatah lagi mengambil kira segala usaha murni yang dilakukan oleh mereka selama bertahun-tahun lamanya," kata Safwan.

Berbalik kepada Tan Jen, Program Jom Makan mungkin akan dikembangkan untuk memberi latihan untuk penyediaan makanan kepada “soup kitchen”.

"Kami suka dengan konsep memberi makan kepada golongan gelandangan atau yang kurang bernasib baik menerusi kaedah “soup kitchen”. Oleh kerana restoran kami baharu 10 bulan beroperasi, kami sedar akan kekangan kami yang mana agak mustahil untuk kami menyediakan makanan untuk satu kelompok yang ramai.

"Akan tetapi, dengan kesanggupan kami untuk berkongsi pengalaman dan ilmu bersama mereka untuk memasak secara pukal atau “soup kitchen” ini, sekurang-kurangnya inisiatif kami tidak terhenti setakat memberi makan setiap bulan.

"Kami rela untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam ilmu masak memasak. Resipi kami bukan rahsia pun kerana kita semua tahu, resipi masakan tradisional adalah turun temurun iaitu dari satu generasi kepada satu generasi. Bab makanan, kami amat bersemangat dan oleh kerana itulah, di Pak Jen, kita tidak menggunakan ramuan paket atau sos yang sedia ada sebaliknya kita sediakan sendiri ramuan dari mula sampai akhir," kata Tan Jen.

 

Mengenai Pak Jen Gulai Panas Langkawi Pak Jen Gulai Panas Langkawi menyajikan makanan tradisional Utara di tengah-tengah pusat Bandar Kuala Lumpur. Antara sajian istimewa Kedah yang menjadi kegemaran para pelanggan adalah gulai panas ikan bawal, daging dendeng, itek golek dan daging wagyu masak lemak. Di Pak Jen Gulai Panas Langkawi, tersedia lebih 70 jenis masakan dengan resipi Melayu asli termasuk sajian berasaskan daging wagyu premium. Pak Jen Gulai Panas Langkawi terletak di Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail dan Sunway Putra Mall, Jalan Putra.

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page