top of page

KOLOBORASI ALIF - SONAONE DALAM 'OBVIOUS'


Artis Sony-Kartel SonaOne dan Alif hari ini melancarkan single kolaborasi dan video muzik pertama mereka berjudul ‘Obvious’.

Apabila Alif dan SonaOne bekerjasama untuk sesebuah lagu, keajaiban yang dihasilkan pasti ketara, atau ‘Obvious’ di dalam Bahasa Inggeris. Gabungan mereka berdua, seorang penyanyi rap serba boleh dengan seorang penerbit serta penyanyi rap yang telah banyak meraih anugerah, sesuai dengan status mereka sebagai dua orang artis bernama besar di Asia Tenggara. ‘Obvious’, merupakan kerjasama pertama di antara dua orang rakan karib dibawah naungan Sony-Kartel dan ia melambangkan kehebatan gabungan bakat mereka berdua selain menjadi bukti kebolehan masing-masing.

Diterbitkan dan ditulis bersama oleh Alif dan SonaOne, Obvious menerima adunan bertaraf dunia sentuhan dari Jimmy Cash di Cha Ching Studios North Hollywood, California dan telah di ‘master’ oleh calon Anugerah Grammy - Chris Athens di Chris Athens Masters Austin, Texas.

‘Obvious’ merupakan satu pencapaian besar kerana ia menandakan kerjasama pertama di antara dua artis, iaitu SonaOne dengan gayanya yang tersendiri serta Alif dengan naluri popnya yang menjadikan satu gabungan hebat. Ia juga merupakan satu paparan bakat Asia yang menakjubkan dalam menghasilkan sesuatu yang luar biasa.


Namun ‘Obvious’ bukanlah tentang gaya sahaja – intipati lagu ini terletak pada mesejnya yang memperkasakan.


“Kami mulanya menulis lagu ini sebagai satu penghormatan kepada keyakinan diri seorang wanita. Semakin kami mendalami subjek ini kami sedar bahawa mesej yang terkandung di dalamnya lebih besar dan boleh dikaitkan dengan semua” -Alif.


“Kadangkala manusia terlalu hiraukan apa yang orang fikirkan tentang mereka dan mereka lupakan apa yang ada di hadapan mata mereka, atau tidak sedar tentang perkara-perkara kecil berkenaan diri mereka yang sebenarnya sangat ketara atau ‘Obvious’ di mata orang lain”- SonaOne.

‘Obvious’ merupakan satu karya yang mampu bertahan dan sangat sesuai dengan waktunya. Alif dan SonaOne telah menerbitkan satu penawar buat mereka yang rasa ragu diri, kurang keyakinan diri serta mereka yang hanya pentingkan ciri-ciri luaran sahaja. Kekuatan lagu ini turut dirasai oleh pengarah video muziknya, Nasri Lian, yang mempunyai pendapatnya sendiri berkenaan pendekatannya dalam penggarapan visual.


“Lirik lagu ini saya anggap seperti emas, bukan sekadar sebuah video muzik biasa”. - Nasri Lian

Dengan menjadikan lagu ini sumber inspirasi, Nasri nekad untuk menyerlahkan para penciptanya dalam muzik video tersebut.

Dalam ‘Obvious’, Alif dan SonaOne membawa perutusan yang amat positif dalam suasana yang penuh cabaran. Ia mungkin seperti sesuatu yang pernah didendangkan tetapi kali ini ia benar: Ini untuk budaya.

‘Obvious’ bakal didapati secara streaming dan boleh dimuat turun di semua platform bermula 26 Oktober https://lnk.to/obvious


Video Musik 'Obvious'


 

MENGENAI ALIF


Bermula dari bawah sehingga menerpa kejayaan – kisah Alif memang luar biasa. Anak kelahiran Singapura ini merupakan seorang penyanyi rap, penerbit dan penulis lagu yang telah lama bertapak di rantau Asia Tenggara. Memulakan langkahnya dengan kumpulan SleeQ salah satu kumpulan hiphop paling berpengaruh, Alif berjaya mengukuhkan namanya sebagai seorang penggiat rap serta penerbit yang mempunyai sentuhan emas dalam setiap karyanya bersama bintangbintang seperti Joe Flizzow, Kaka Azraff, Zizan Razak, De Fam dan Adira.

Bakat Alif mula dipupuk dari awal lagi sejak kelahirannya. Dilahirkan dalam keluarga yang menghargai muzik dan seni, cintanya terhadap muzik tersemai selepas mengenali kumpulan duo hip-hop tersohor Malaysia, Too Phat.

Menyaksikan kehebatan dan keyakinan Too Phat semasa membuat persembahan di televisyen, membuat Alif sedar yang hip-hop boleh membentuk identitI tempatan. Ia boleh datang dari tanah air sendiri, berkisar tanah air sendiri dan menjadi bermakna buat penduduk setempat.

Tahun silih berganti, Alif telah menajamkan lagi bakatnya sebagai penyanyi rap dan penerbit, sambil membangunkan sendiri penerbitannya iaitu Magic Potions, dan tampil ke tengah dengan hip-hop buatan Singapura lewat single kumpulan SleeQ berjudul ‘Pilihlah Aku’ dan kemudian bergerak solo. Kini beliau seorang pencipta hit dengan katalog karya yang sangat menakjubkan. “Kau Takkan Tahu” oleh Zizan Razak serta “Satu Peluang” oleh Andi Bernadee, adalah di antara lagu-lagu popular yang ada sentuhannya.

Beliau juga bakal menghasilkan lebih banyak lagu hit dalam waktu terdekat. Ini termasuk lagu buat nama-nama besar artis pop Malaysia seperti Haqiem Rusli, Sufian Suhaimi dan Elizabeth Tan, yang telah memilih dirinya untuk menulis dan menerbitkan lagu mereka.

Kini, Alif berdiri sebaris dengan nama-nama besar industri muzik Melayu. Biarpun trend berubah, namanya kekal penting dan relevan. Pada tahun 2018, dia tampil, menulis serta menerbit bersama lagu ‘Sampai Jadi’ oleh Joe Flizzow dan juga ‘Luar Biasa’ oleh Ismail Izzani. Alif bakal mengeluarkan album baru berjudul Detail, sebuah album kolaborasi bersama ‘putera rap Malaysia’, SonaOne, awal tahun depan.

 

MENGENAI SONAONE


SonaOne merupakan seorang Rapper, Penyanyi, Pencipta Lagu dan Penerbit Muzik di Malaysia yang telah banyak memenangi anugerah dan berdarah kacukan Perancis-Melayu. Sebuah fenomena yang terjadi pada tahun 2014 telah menaikkan nama SonaOne di dalam sejarah muzik Malaysia apabila beliau memenangi dua anugerah yang amat berprestij dan sekaligus menobatkan SonaOne sebagai artis baru Malaysia yang paling disanjungi pada abad ini.

Kariernya di dalam bidang seni kreatif bermula sebagai sebagai seorang grafiti artis yang berjaya ketika hanya berumur 12 tahun. Pada usia 15 tahun, beliau mula menggubah muzik meggunakan komputernya dan membantu rakan-rakan menghasilkan muzik mereka. Joe Flizzow mengiktiraf bakatnya dan mengajak beliau menyertai keluarga Kartel Records secara rasmi pada tahun 2010. SonaOne mempunyai bakat yang unik kerana beliau boleh menulis, mengolah dan menerbitkan muziknya sendiri sehingga dikenali sebagai seseorang yang berbakat untuk menerbitkan lagulagu hit dari awal hingga akhir .

Tidak ramai yang dapat meramalkan pencapaian rekod kejayaan yang akan diraih oleh artis muda ini sehingga dia membawa pulang Anugerah “Song of The Year” di Anugerah Industri Muzik 21 (AIM21) untuk carta pertama beliau yang berjudul ‘No More’, sebuah lagu Bahasa Inggeris dan Hip-Hop yang pertama untuk memenangi penghormatan tertinggi ini di dalam sejarah AIM sepanjang 21 tahun.

Walau bagaimanapun, lebih sedikit lagi yang menjangkan bahawa hanya setelah dua bulan selepas kejayaan bersejarah pertama, sebuah lagu Joe Flizzow yang berjudul ‘Apa Khabar’ hasil terbitan SonaOne menjadi juara Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29). Anugerah AJL dianggap oleh ramai orang sebagaii penghargaan yang paling berprestij untuk penulis dan komposer lagu dan lagu ini merupakan lagu Hip-Hop pertama yang memenangi AJL sepanjang 29 tahun ini.

SonaOne melancarkan album sulungnya berjudul ‘Growing Up Sucks’ pada 20 Februari 2016 dan ianya terus melonjak ke nombor 1 pada carta tempatan. Single ke-3 dari album, ‘Firefly’ telah dinobatkan sebagai ‘Lagu Bahasa Inggeris Terbaik’ di AIM22 memberikan beliau kemenangan berturut-turut dalam kategori yang sama.

Di samping pengembaraan muziknya, SonaOne juga merupakan pengacara Musim ke-2 ‘HipHoppinAsia: The Saga Continues’ yang telah memenangi anugerah ‘Videografi Terbaik’ di Anugerah Skrin 2015. Beliau juga mengembangkan lagi kariernya di dalam pengacaraan dengan mengacara rancangan TV serantau pertamanya pada tahun 2017 yang bertajuk ‘Ultimate Brocation’, yang disiarkan di KIX Regional.

Bakat SonaOne menghasilkan beberapa jingle yang tidak dapat dilupakan di Malaysia menjadikannya seorang selebriti kegemaran jenama terkemuka seperti Nike, Honor dan Rexona.

Tags:

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page