top of page

ARTIS-ARTIS POPULAR JAYAKAN KONSERT EVOLUSI PJ

Saban tahun, International Folklore Festival anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) amat dinantikan peminat khususnya warga PJ kerana seringkali menampilkan artis popular dan hebat.

Bermula dengan edisi pertama pada 2013, peminat sudah menyaksikan persembahan daripada ramai artis antaranya Amy Search, Zamani, Datuk Ramli Sarip, Ito Blues Geng, kumpulan Wings, Kaka, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Altimet, Datuk M Nasir dan Ameng Spring.

Untuk edisi keenam, International Folklore Festival 2018 atau lebih sinonim dengan panggilan Karnival Petaling Jaya (PJ Fair) yang kini diadakan di Dataran Petaling Jaya hadapan Amcorp Mall P.J lebih menjanjikan keseronokan buat peminat apabila menghimpunkan ramai artis popular dalam acara pentas.

Menerusi acara yang dinamakan Konsert Evolusi PJ yang akan berlangsung pada 10 November, peminat akan dapat menyaksikan persembahan kumpulan XPDC, Akim & The Majistret, Waris, Ara Johari, Masya Mashitah, Santesh, Ben Laden, Ismail Izzani, Uchop, Aina Mentor dan Maynine Band.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, pemilihan barisan artis ini dirasakan tepat kerana masing-masing popular dan mempunyai kekuatan tersendiri.

"Semua mereka dikenali peminat. Mengambil contoh XPDC yang dianggotai oleh Ali (penyanyi), Izo (gitar), Eddie (bass), Lola (drum) dan Arif baru sahaja melancarkan album terbaru berjudul Doa.

"Sudah tentu peminat setia kumpulan heavy metal nombor satu negara ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan daripada mereka.

"Tidak terkecuali Akim & The Majistret serta artis lain yang ditampilkan juga masing-masing mempunyai daya penarik tersendiri dan pasti ditunggu ramai," katanya.

Menurut Mohd Azizi, penampilan Santesh yang kini meledak dengan lagu Amalina juga menjadi tarikan buat peminat untuk hadir ke konsert yang akan bermula pada jam 8.30 malam ini.

"Ia adalah peluang keemasan buat warga Petaling Jaya untuk meluangkan masa menonton bersama keluarga.

"Tambah lagi konsert ini diadakan secara percuma di lokasi yang dikelilingi pelbagai kemudahan seperti pengangkutan yang efisien sekaligus membolehkan pengunjung hadir tanpa masalah," katanya.

Kata Mohd. Azizi, PJ Fair bertujuan mempromosikan bandaraya Petaling Jaya sebagai kota seni dan destinasi pelancongan antarabangsa menerusi kepelbagaian budaya komunitinya.

"Program kami bertemakan International Folklore Festival (Festival Kesenian Budaya Antarabangsa) yang bermatlamat mempromosikan keharmonian budaya dan kesenian masyarakat setempat dan antarabangsa.

"Kami memilih menggunakan tema yang sama pada tahun 2014 kerana mahu mengembalikan kemeriahan budaya seperti yang diadakan ketika itu dengan penyertaan pelbagai budaya luar negara.

"Negara-negara terbabit ialah Indonesia, Thailand, Jepun. Iran, Korea Selatan, Filipina, Finland, Botswana selain Malaysia sendiri,” katanya.

Tidak lupa, objektif Karnival Petaling Jaya sebenarnya mahu menyatukan masyarakat majmuk di negara kita.

“Kami mahu menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama mewarnai program yang sememangnya meriah ini.

“Salah satu strategi terbaik menghimpunkan mereka ialah dengan menganjurkan konsert membabitkan artis popular dan inilah yang kami lakukan.

"PJ Fair juga bertujuan menyokong pelaksanaan Pelan Induk PJ Sustainable 2030 dan dasar- dasar perbandaran di peringkat global khususnya berkaitan dengan aspek pembangunan budaya dan komuniti,” katanya.

Mohd. Azizi berkata, selain Konsert Evolusi PJ pada 10 November yang menjadi kemuncak acara, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan etnik sembilan negara yang terbabit.

"Mereka terdiri daripada program PJ Friendship City dan International Council of Folklore Festival and Folk Arts Organisations (CIOFF) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah seliaan UNESCO.

"Antara aktiviti lain yang akan diadakan sepanjang PJ Fair kelak ialah persembahan kebudayaan, pelbagai pertandingan termasuk memancing, larian dan pelbagai lagi," katanya.

Stesen radio Selangor FM pula dipilih sebagai penyiar rasmi festival ini. Sebarang maklumat lanjut bolehlah ke Instagram PJCityCouncil . MYBUZZ!

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page