PESONA 3 MALAM BERSAMA ELLA
Nama Ella sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kepada khalayak umum. Sebut sahaja namanya pasti ramai yang akan mengaitkan nama ikon ini dengan gelaran Ratu Rock Malaysia, gelaran yang senetiasa malar buat 'living legend' bagi industri muzik Malaysia khususnya bagi peminat muzik aliran Rock!
Sejak penglibatannya dalam industri muzik pada tahun 1985, sosok tubuh ini belum pernah menghampakan peminat-peminatnya. Setiap lagu lagu yang dihasilkan untuk beliau sering hits dan menjadi siulan peminat-peminatnya. Kini Ella bakal kembali dengan buah tangan terbaharu untuk semua peminatnya...
Sebuah konsert! Dan ia bukan sekadar konsert biasa. Sebagai seorang penyanyi yang telah lebih dua dekad bersemayam dalam industri muzik, konsert bukan sesuatu yang asing buat Ella.
Namun kali ini untuk pertama kalinya, Ella tampil dengan konsep konsert akustik. Ia adalah sebuah konsep segar yang pertama kali dibawakan oleh Ella. Bayangkan hit Pengemis Cinta, Rama - Rama, Standing In The Eyes of The World, Simbiosis atau Sepi Sekuntum Mawar Merah dialunkan dalam bunyian akustik.
“Ella tidak sabar untuk mengadakan konsert ini kerana selain dibikin dalam konsep akustik, ia juga dihadirkan selama tiga malam!
“Ini bukan sekadar platform yang menguji kredibiliti Ella sebagai seorang penghibur, tetapi mahu melihat kesetiaan peminat Ella juga,” ujar penyanyi tersebut penuh teruja.
Konsert "Ella Unplugged In KL" bakal dianjurkan oleh PROJEK ELLA dengan kerjasama MOTAC, dan dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 29, 30 dan 31 Mac 2019 di Istana Budaya.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah turut berbesar hati dengan penganjuran konsert Ella Unplugged In KL kerana ia bakal menampilkan segmen kebudayaan pada setiap malam persembahannya.
“Adalah sesuatu yang membanggakan dan unik apabila seorang penyanyi yang terkenal dengan genre rock mengangkat elemen seni budaya dan warisan negara menerusi segmen kebudayaan. Konsep persembahan sebegini membuktikan genre muzik boleh digabungkan kerana ia bersifat universal,” ujarnya.
Pihak Istana Budaya sendiri begitu teruja kerana menjadi lokasi pilihan untuk konsert Ella Unplugged in KL kerana ia akan ‘menguji’ hasil naik taraf sistem audio dan penambahbaikkan keseluruhan panggung yang dilakukan sebelum ini.
Konsert ini turut mendapat sokongan dan kerjasama ASWARA dimana pihak ASWARA telah diberi peluang daripada pihak PROJEK ELLA dengan melibatkan alumni dan pelajar tahun akhir dalam perancangan serta pengendalian pengurusan pentas sebelum dan selepas konsert berlangsung.
Malah pihak JKKN juga turut bekerjasama dengan melibatkan penari cilik PERMATA dalam salah satu segmen persembahan kelak. JKNN turut menyediakan pemuzik alat muzik tradisional sewaktu segmen yang pasti dtunggu-tunggu oleh peminat Ella! Konsert membasuh rindu ini akan berlangsung selama sejam setengah dengan diiringi tujuh pemuzik handalan yang menjadi instrumen penting dalam Ella Unplugged in KL.
Tiket-tiket untuk pembeli awal 'early bird', sudah mula dijual bermula pada 2 Januari 2019 (Rabu) dengan harga:
Sebarang pembelian tiket boleh ditempah atau dibeli melalui PROTICKET di laman sesawang www.proticket.com.my