top of page

E1 PERTARUH RENTAK RETRO ALA BONEY M UNTUK 'SEMALAM SAHAJA'


Memasuki tahun kesembilan di arena fesyen tempatan pada 2019, Ezuwan Ismail akhirnya berjaya merealisasikan impian untuk bergelar penyanyi dengan tertubuhnya kumpulan trio E1 sejak November lalu. Mempertaruhkan lagu berentak retro ciptaan Asfan Shah berjudul Semalam Sahaja, kumpulan berkenaan mengharap magis, tuah dan rezeki akan menyebelahi nasib mereka. E1 yang turut dianggotai Zulyasrani dan Ariff Imran itu juga menjadi bukti kesungguhan dan kecintaan Ezuwan sendiri dalam merealisasikan impian dan kehendak hati.


Bagaimanapun itu sebenarnya bukan isyarat yang kerjayanya sebagai pereka fesyen akan berkubur begitu saja. Apatah lagi pernah bertebaran kononnya jualan borong dan lelongan murah di butiknya di Taman Dagang Januari lalu pernah dianggap kepada mengiyakan lagi yang jenama miliknya sudah mahu gulung tikar.Tak kurang juga menyifatkan semua itu sebagai gimik untuk mempromosikan single terbaharu yang dilancarkan hari ini.


Menurut Ezuwan yang turut dikenali sebagai Tukang Jahit Termahir Malaysia ini, apa yang dilakukan kini lebih kepada membuktikan kesungguhannya di pentas nyanyian. Malah bapa kepada dua anak bernama Eisa Zhafran dan Eisa Zaquan ini juga optimis menyatukan fesyen dan seni muzik menerusi kumpulan ini kerana sedar sejak sekian lama perihal berkenaan tidak dapat dipisahkan.


“Kalau dalam negara kita mahupun seantero dunia ini mungkin tak ada pereka fesyen yang bergelar penyanyi, jadi saya ingin menyahut cabaran itu. Saya anggap ini percubaan berkongsi sedikit bakat yang ada sekali gus mencipta sejarah peribadi ‘pereka fesyen jadi penyanyi’. Untuk saya tampil menyanyi solo itu mungkin sesuatu yang saya sendiri gentar, lalu bersama dua teman seperjuangan (Zulyasrani dan Ariff) saya rasa lebih kebal.


“Minat nyanyian saya sebenarnya sudah berputik sejak di bangku sekolah lagi. Tapi ia lebih kepada hobi semata-mata. Cuma dulu kalau ada pertandingan menyanyi di sekolah pun, saya tiada keberanian untuk menyertainya kerana kurang yakin dengan diri sendiri. Sebelum ini pun saya hanya menyanyi di kamar mandi atau pun di pusat karaoke.


“Selama ini saya hanya sekadar memendam rasa dan tidak pernah membayangkan akan jadi penyanyi mahupun menyertai kumpulan nyanyian. Dulu saya tak fikir bakat ini dapat dikongsi umum. Dalam hati pernah bercita-cita siapa tahu suatu masa nanti saya mampu merealisasikan keinginan diri itu. Alhamdulillah selepas 37 tahun, yang dicita-cita akhirnya menjadi kenyataan,” kata Ezuwan.


Kata Ezuwan atau nama penuhnya, Mohd Ezuwan Ismail dulu dia tidak pernah melihat ada saluran dan bantuan tepat yang boleh membantunya bergelar penyanyi.


“Dulu pun saya tak pasti sama ada suara ini sedap atau sebaliknya. Atau mungkin saya belum diberi peluang membuktikannya. Pelbagai rasa bermain dalam diri. Namun saya lawan segala perasaan itu. Hasrat saya nak menyanyi dan menubuhkan kumpulan itu menjadi berkobar-kobar sejak Oktober tahun lalu.


“Saya manfaatkan hubungan baik dengan rakan industri seni yang selama ini menyokong jenama Ezuwan Ismail untuk mendekatkan lagi jarak serta minat untuk babit secara serius dalam muzik,” kata Ezuwan


Tambah Ezuwan lagi, dia berharap kembara seninya yang baru bermula ini akan terus menjadi batu loncatan untuk mengukuhkan jenama fesyen miliknya.


“Fesyen sudah menjadi cinta pertama saya yang tiada galang ganti. Jadi tak pernah terlintas langsung untuk saya ‘mengorbankan’ jenama Ezuwan Ismail kerana menceburi nyanyian. Kisah nak gulung tikar dalam kerjaya fesyen itu tidak benar sama sekali. Malah ada juga yang menyuruh membuat cerita kononnya nak tutup butik itu sebagai gimik mempromosikan single nyanyian E1.


“Selepas difikirkan saya anggap gimik sebegitu terlalu murah. Jadi cukup saya pertaruhkan kekuatan lagu berkenaan saja.


“Sebaliknya saya mahu terus kembangkan jenama fesyen menerusi platform nyanyian pula. Saya anggap ini strategi serampang dua mata kerana kumpulan E1 juga selesa memakai koleksi rekaan saya sendiri dalam setiap promosi atau acara yang dihadiri,” kata Ezuwan.


Pernah beberapa kali mencuba nasib sebagai pelakon, Ezuwan pada awalnya menyifatkan kerjaya nyanyian itu satu kerja mudah.


“Kalau berlakon memang kita perlu jadi teman baik kepada masa. Penat menunggu itu satu perkara biasa kalau berlakon. Jadi saya fikir kalau menyanyi itu ia tak memakan masa lama. Selesai membuat persembahan menyanyi dalam tempoh beberapa jam, sudah boleh balik berehat.


“Tapi nampaknya perjalanan yang saya tempuh sejak Oktober tahun lalu satu perkara yang menguji diri sekali mematangkan. Daripada proses mencari lagu dan komposer yang sesuai, kelas vokal, pemilihan anggota E1, proses rakaman lagu hingga ke pembikinan video muzik cukup memenatkan. Bukan merungut, tapi semua itu jadi pengalaman berharga,” katanya.


Ditanya mengenai kenapa memilih rentak retro daripada zaman 70-an sebagai muzik pengenalan kumpulan E1, Ezuwan sendiri menyifatkan dia sendiri antara peminat muzik dari zaman dulu.


“Lagu lama mahupun berentak retro sekali pun begitu dekat dengan saya. Ia kena dengan jiwa saya dan ada ‘soul’. Sejak zaman kaset lagi, lagu lama ini mempunyai sentuhan klasik dan penuh nostalgia. Malah ketika terbabit dengan pertunjukan fesyen pun, saya suka menggunakan lagu lama sebagai latar persembahan.


“Saya sendiri antara penggemar kumpulan Boney M, The Carpenters, Queen dan Modern Talkings. Di Malaysia pun tak ada kumpulan retro sebegini. Kami cuba beri suntikan lama untuk kesesuaian pasaran semasa. Cuma untuk masa mendatang, kami terbuka untuk mencuba pelbagai genre lain yang sesuai dan serasi dengan keupayaan vokal masing-masing.


“Selain fesyen, kumpulan ini juga cuba terapkan gaya tarian yang ringkas bersesuaian dengan tempo dan rentak lagu yang mampu membuatkan kita rasa mahu bergoyang,” katanya.


Sepanjang menceburi dunia fesyen, Ezuwan Ismail sendiri tidak lepas dilanda kontroversi. Lalu baginya soal kecaman itu sudah jadi imun.


“Saya sudah biasa dikecam termasuk yang membabitkan selebriti tanah air serta konsep rekaan yang diketengahkan. Cuma kali ini kecaman dalam dunia nyanyian ini saya rasa lagi luas.


“Saya dan anggota lain bersedia menerima kecaman. Cuma harapnya kecaman mahupun pujian itu dapat membantu memperbaiki kelemahan diri selain publisiti untuk kumpulan ini,” katanya.

 

Zulyasrani, 30, pula sebenarnya sudah pernah berjuang secara solo dan tampil dengan single sulung berjudul Rushda sebelum ini. Malah dia yang bekerja sebagai tukang gunting rambut ketika ini juga pernah memenangi kategori peragaan di Juara Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat pada tahun 2010.


“Seperti Ezuwan saya juga minat menyanyi sejak di bangku sekolah, ketika darjah enam. Saya aktif menyertai pertandingan dikir barat di sekolah di KL. Malah selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya pernah cuba uji bakat Akademi Fantasia dari musim kelima hinggalah yang terkini. Tapi rezeki tak menyebelahi saya.


“Selain mahu berjinak-jinak sebagai penyanyi, saya juga cuba nasib dalam dunia peragaan hinggalah menang di WCOPA. Tapi ketika itu dunia peragaan lebih menyebelahi saya berbanding nyanyian.


“Di usia 25 tahun, saya sertai kursus diploma dandanan rambut di Setiawangsa. Pada masa sama, minat menyanyi itu tak pernah terhakis. Saya pernah sertai pertandingan The Band di Astro dan menjadi finalis. Tahun lalu saya beranikan diri melahirkan single pertama berjudul Rushda yang diambil daripada nama seorang perempuan Arab. Tuah saya belum ada dan harapnya bersama E1 ia akan bukan lembaran baru untuk diri ini,” katanya yang berkahwin pada 13 April 2018 dengan Nurfarahdilla Marzuki.

 

Sementara itu Ariff Imran pula pada mulanya menganggap dunia nyanyian hanya sekadar hobi.


“Dulu nyanyian sekadar suka-suka. Menyanyi di tandas itu juga satu kemestian. Cuma saya tak pernah terlalu ambil serius hingga nak masuk pertandingan menyanyi. Adalah sekali saya pernah cuba masuk ujibakat Akademi Fantasia. Saya dapat laluan pintas sampai tahap ketiga saja.


“Kira kira tiga tahun lalu pun saya pernah menyertai sebuah boy band. Tapi hanya beberapa bulan saja dan tak sempat pun buat lagu. Saya pun seperti Zulyasrani adalah buat kerja sampingan sebagai model.


“Malah kini saya juga menjalankan perniagaan kecil kecilan di Johor Bahru dengan membuka kios jualan langsung menjual barangan seperti cermina mata dan kosmetik,” kata Ariff.

 

Video Muzik 'Semalam Sahaja'

TRIVIA TRIO E1

  • Ezuwan meluahkan hasrat untuk menyanyi dan menubuhkan kumpulan trio pada Oktober 2018.

  • Awal November mula misi mencari dua lagi anggota kumpulan E1 di laman Instagram.

  • 18 November 2018 tertubuhnya E1.

  • 20 November, pra produksi lagu Semalam Sahaja.

  • 26 Disember, fotografi membabitkan trio E1 di Shah Alam dan mewujudkan akaun Instagram, @e1.band.

  • Januari 2019, latihan menari bersama Hanafi Rosdi di On Stage Productions Studio.

  • 28 Januari 2019, penggambaran video muzik bersama Lenswork Production yang turut membuat video muzik Temberang Ayda Jebat.

  • 31 Januari 2019, tandatangani kontrak digital bersama Indigital Music.

 

PROFIL


Ezuwan Ismail

Nama penuh: Mohd Ezuwan Ismail usia: 37 tahun Tarikh lahir: 9 Januari 1982 Bilangan adik beradik: anak ketiga daripada empat beradik Asal: Kota Bharu, Kelantan Status: Berkahwin Nama isteri: Nor Zahidah Mohamed Omar nama anak: Eisa Zhafran Mohd Ezuwan 5 dan Eisa Zaquan Mohd Ezuwan (2)

Ariff Imran

Nama penuh: Mohammed Noor Ariff Imran usia: 25 tahun Tarikh lahir: 1 Ogos 1994 Bilangan adik beradik: anak ketujuh daripada lapan beradik Asal: Gemas, Negeri Sembilan Status: single

Zulyasrani

Nama penuh: Zulyasrani Zaulyaddin Usia: 30 tahun Tarikh lahir: 26 April 1988 Bilangan adik beradik: anak sulung daripada tiga beradik Asal: Sungai Petani, Kedah Status: berkahwin Nama isteri: Nurfarahdilla Marzuki Nama anak: Muhammad Yusur Zuhair (lahir pada 10 Januari 2019)

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page