top of page

KEK COKLAT BEN ALI LARIS, CIPTA REKOD JUALAN 13,000 KOTAK DI FESTIVAL MOOD REPUBLIK


Penangan kek jenama Absolut Chocolat di bawah Absolut Brands Sdn Bhd yang diusahakan pasangan suami isteri, Ben Ali dan Nadiyah Shahab bukan ‘bhiase-bhiase’. Sejak diperkenalkan Februari tahun lalu, kek itu terus mencipta sensasi dan pengaruh tersendiri. Hanya dipromosikan di Instagram selain menggunakan populariti rakan artis mempromosikannya, kek itu pantas mencuri tumpuan ramai.


Malah pada festival Mood Republik baru-baru ini yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Jalan Duta juga mencipta kejayaan serta fenomena membanggakan apabila lebih 13,000 kotak kek terjual selama tiga hari ia dianjurkan.


“Habis licin... 13,000 kotak dalam masa tiga hari memang sesuatu yang cukup mengejutkan dan pada masa sama menjadi pencapaian serta kebanggaan peribadi kami. Ikutkan mahu buat lebih lagi kek ketika itu tapi pihak operasi tidak mampu memenuhi permintaan.


“Untuk acara tiga hari itu juga kita berjaya memecah rekod peribadi jenama ini dengan mencatat keuntungan jualan kasar mencecah enam angka.


“Malah untuk menyuntik kelainan kita juga turut melancarkan minuman Teh Susu Boba di bawah cabang Absolut Brew pada festival berkenaan sebagai memberi variasi kepada produk yang kami keluarkan. Kami tidak boleh terus berada di zon selesa dengan produk yang sedia ada. Beberapa jenis produk makanan dan minuman dijangka dipasarkan pada masa mendatang,” kata Pengarah Urusan Absolut Brands Sdn Bhd, Ben Ali dalam pertemuan dengannya baru-baru ini.


Bermula dengan kek coklat, pilihan kini juga dikembangkan untuk jenis Boba Milk Tea dan Milk Lava


Kek Coklat, Milk Lava & Boba Milk Tea keluaran Absolut Chocolat

 

“Kita mahu jadi lebih eksklusif dalam memberikan pilihan kek kepada penggemarnya. Kek coklat mula dikeluarkan Februari tahun lalu. Kira-kira bulan September lalu, kita keluar pula kek Milk Lava. Kami percaya orang cepat bosan dengan jenis kek yang dijual. Jangka hayat satu kek itu boleh bertahan dalam tempoh enam bulan.


“Kita percaya variasi ini perlu dalam memberi pilihan kepada peminat kek. Orang cepat bosan dengan kek dan kehangatannya akan mula turun. Sebab itu juga kita keluarkan produk minuman pula.


“Alhamdulillah permintaan kek ini sejak dari dulu hingga ke musim raya ini terus meningkat. Tapi itu bukan jaminan untuk kita terus selesa dengan apa yang ada. Selama setahun lebih kek ini berada di pasaran, perkembangannya cukup meluas hingga pada satu tahap tidak mampu menampung permintaan masyarakat,” kata Ben.


Bermula dengan operasi kecil-kecilan di gerai jualan hinggalah ke tahap menyewa premis kedai dua tingkat di Cheras, Ben dan rakan kongsi yang juga isterinya, Nadiyah Shahab boleh tersenyum bangga kerana usaha mereka membuahkan hasil hingga menjadi terkenal.


“Bisnes ini semuanya bermula sebab kami nak cari duit lebih untuk berkahwin (November tahun lalu). Daripada suka-suka nak cari duit tambahan, siapa sangka minat kami terus bercambah untuk lebih serius dalam dunia perniagaan. Saya sendiri tak yakin dengan perniagaan kek ini tetapi diyakinkan isteri.


“Pernah pada awalan fasa berniaga, saya dan isterilah yang tolong lakukan proses memasukkan kek ke dalam kotak. Malah kami jugalah yang melakukan penghantaran kek terus kepada pelanggan. Daripada hari pertama dapat tempahan awal hanya empat biji kek, ia bertambah hari demi hari. Dari 10 hinggalah sampai 200 biji sehari kami sediakan.


“Ketika ini dari awal hinggalah sekarang kami masih menggunakan khidmat pembuat kek luar yang diserap masuk ke dalam syarikat ini. Insya-Allah kami juga mahu ia terus maju dengan segala operasi dilakukan sendiri suatu masa nanti,” katanya.


Produk Absolut Chocolat terima sambutan hangat dari pengunjung dan selebriti di Festival Mood Republik

 

Memanfaatkan perkembangan teknologi Instagram dan pengaruh artis, kek Absolut Chocolat juga mencari pendekatan lain untuk terus menarik perhatian ramai.


“Kami percaya orang sekarang kalau bangun tidur akan tengok telefon bimbit dulu berbanding menonton TV. Sebab itu strategi utama kami ialah menerusi Instagram. Artis juga sangat membantu dengan bermurah hati mempromosikannya di Instagram.


“Biarpun berdepan pesaing sebuah jenama kek yang sudah 12 tahun di pasaran, kami optimis dengan cara tersendiri. Tiada niat untuk berlawan dengan jenama itu, kami percaya dengan konsep yang dipersembahkan. Idea mengasingkan sos dan dituangkan sendiri ke atas kek tanpa diduga menjadi kegilaan ramai,” katanya.


Ketika ini Absolut Chocolat terus rancak dipasarkan dengan pelbagai medium termasuk menggunakan agen.


“Selepas menggunakan khidmat satu agen untuk setiap negeri, kami mencuri peluang memasarkan kek menerusi stesen pam minyak seperti Petronas, Shell dan Petron. Bermula dengan dua buah stesen, kini sudah ada 100 buah stesen yang menjual kek ini di sekitar Lembah Klang.


“Kami juga merangka untuk mewujudkan hub di Johor, Kedah dan Terengganu bagi memantau stesen pam minyak di negeri berkenaan. Untuk tahun depan juga kami merancang untuk membuka kios di pusat beli belah utama termasuk KLCC dan Pavilion. Kami mahu menjadi usahawan Melayu Bumiputera pertama yang mengusahakan perniagaan sendiri tanpa bantuan mana mana pihak di pusat beli belah berkenaan.


“Kami juga merancang untuk membuka francais selepas ini. Pada masa sama tidak hanya tertumpu di dalam negara, kami juga akan menyertai ekspo antarabangsa seperti di Dubai dan United Kingdom. Kami tidak mahu perjuangan ini terbatas di dalam negara saja... tetapi di pentas dunia,” katanya.


Sekalipun sentiasa terbuka dengan persaingan pihak yang mahu bersaing, Ben dan Nadiyah tidak mahu semua itu menjadi alasan mengalah. Malah kejayaan tahun lalu mendapat keuntungan bersih sebanyak 1.5 juta tahun lalu juga merangsang pihak Absolut Brands Sdn Bhd untuk menggandakan angka berkenaan pada tahun ini.


Kini di bawah Absolut Brands Sdn Bhd selain mempunyai Absolut Chocolat, pihak mereka juga berkembang dengan menjalankan cabang perniagaan Absolut Brew, Absolut Event dan Absolut Management.


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page