top of page

BAIM WONG PILIHAN JANNA NICK


Janna Nick pilih Baim Wong? Bukankah Baim dah beristeri? Sampai hati pula Janna menolak cinta Syafiq Kyle, jejaka yang sedang hangat di pasaran ini. Memang betul Janna pilih Baim Wong tetapi hanyalah di dalam drama terbaharu 20 episod yang menggandingkan mereka bertiga di slot Akasia iaitu Bukan Cinta Aku mulai 5 Jun ini. Selain Janna Nick, Baim Wong dan Syafiq Kyle, drama ini turut dibarisi pelakon hebat seperti Mimi Lana, Daler Yusuf, Datuk Eizlan Yusof, Datin Seri Maria Farida, Marisa Yasmin, Eyka Farhana, Dini Schatzmann dan ramai lagi.


Drama terbitan Rumah Karya Citra arahan Ejump Mohd ini mengisahkan Rania (Janna Nick), baru sahaja selesai pengajiannya dan kembali ke pangkuan keluarganya yang menetap di Florence, Itali. Rania telah jatuh cinta dengan Arjuna (Baim Wong), pemandu keluarganya. Kesungguhan Arjuna yang sering memberi kata-kata nasihat membuatkan Rania jatuh hati pada Arjuna. Walaupun pada awalnya, Arjuna tidak berani untuk membalas cinta Rania kerana dia sudah banyak terhutang budi dengan keluarga Rania. Namun perasaan cinta itu tidak mampu dinafikannya dan mereka cuba menyembunyikan percintaan mereka supaya tidak diketahui oleh ibu bapa Rania.


Suatu hari, Rania sekeluarga perlu pulang ke Malaysia kerana perniagaan bapanya mengalami masalah di sana. Arjuna juga dibawa pulang kerana ibu Rania merasakan Arjuna sudah banyak berjasa dan menjaga Rania sepanjang mereka di Itali. Berita itu menggembirakan Rania kerana dia tidak akan terpisah dengan Arjuna. Ibu bapa Rania sudah ada rancangan lain untuk Rania. Mereka ingin menjodohkan Rania dengan Tengku Isma (Syafiq Kyle), anak kenalan mereka. Setelah mengetahui rancangan ibu bapanya untuk menjodohkannya dengan Tengku Isma, Rania membuat keputusan untuk bertemu Tengku Isma. Rania lega apabila Tengku Isma mengatakan bahawa dia juga tidak sukakan keputusan keluarganya kerana dia sudah punya kekasih.


Rania membuat perjanjian dengan Tengku Isma supaya mereka mengikut sahaja kehendak keluarga buat sementara waktu tetapi tiada komitmen antara mereka. Mereka boleh meneruskan hubungan dengan pasangan masing-masing dan Tengku Isma bersetuju. Malangnya, perhubungan antara Rania dan Arjuna akhirnya diketahui oleh ibu bapa Rania. Mereka kecewa kerana Rania mengkhianati kepercayaan mereka.


Rania telah dikurung dan Arjuna hilang entah ke mana kerana dihalau oleh ibu bapa Rania. Pernikahan antara Rania dan Tengku Isma dipercepatkan. Walaupun sudah bernikah, Rania tidak mengizinkan Tengku Isma untuk menyentuhnya. Tengku Isma tetap melayani Rania dengan baik, memenuhi segala permintaan Rania tetapi dia tidak mampu membuatkan Rania untuk menerimanya.


Masihkah ada peluang buat Tengku Isma untuk memiliki cinta Rania? Jangan lupa ikuti perjalanan cinta penuh liku di antara Rania, Arjuna dan Tengku Isma ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan juga portal video tonton! Ikuti laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda!

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page