KIDZANIA JALIN KERJASAMA DENGAN KRU BANGUNKAN STUDIO ANIMASI
KidZania Kuala Lumpur, sebuah pusat pembelajaran dan hiburan tertutup kini memperkenalkan satu tarikan baharu kepada para pengunjung – sebuah studio animasi! Pembangunan terbaru ini direalisasikan dengan jalinan kerjasama di antara KidZania Kuala Lumpur dan Kumpulan Syarikat KRU, salah satu peneraju dalam bidang media dan hiburan di Malaysia.
Melaungkan falsafah ‘Pelajari Kehidupan Hari Ini’ (Learn Life Today), Studio Animasi KRU yang baharu di KidZania Kuala Lumpur akan menggalakkan pendedahan awal dan pembelajaran animasi di kalangan kanak-kanak serta memperkasakan mereka dengan kemahiran baharu untuk masa hadapan.
Dalam majlis pengumuman kerjasama baru-baru ini, KidZania Kuala Lumpur diwakili oleh Datuk Bandar KidZania, Shahrul Nizar Ahmad manakala Kumpulan Syarikat KRU diwakili oleh Presiden dan CEO KRU Entertainment, YBhg. Dato’ Norman Abdul Halim. Acara tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), YBhg. Dato’ Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), YBrs. Tuan Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Mengulas tentang kerjasama tersebut, Shahrul Nizar Ahmad berkata, “Kami merasa teruja dengan penglibatan pakar industri kreatif, Kumpulan Syarikat KRU bersama kami dalam misi memperluaskan ilmu pengetahuan, memupuk nilai dan membangunkan bakat kanak-kanak.
“Kanak-kanak generasi ini adalah pengguna kandungan sejak kecil lagi, sama ada melalui televisyen, telefon pintar atau tablet. Memandangkan kandungan dan teknologi akan menjadi teras kepada kerjaya generasi akan datang, mengapa tidak memperluaskan lagi aspirasi mereka dan menyediakan saluran untuk mereka bereksperimen lebih lanjut. Kami pasti kerjasama dengan Kumpulan Syarikat KRU ini akan meningkatkan lagi pengalaman pembelajaran mereka,” tambah beliau.
Dengan pembukaan Studio Animasi KRU, kanak-kanak berpeluang untuk mempelajari proses penghasilan animasi daripada mula sehingga akhir. Antara aktiviti-aktiviti yang ditampilkan adalah penyediaan jalan cerita (storyline) dan papan cerita (storyboard), penciptaan dan pembangunan watak, dan penghasilan suara latar (voice over) bagi watak-watak yang telah dicipta.
YBhg. Dato’ Norman Abdul Halim berkata, “Kerjasama ini terjalin tepat pada masanya memandangkan industri penciptaan kandungan kreatif telah menjalani evolusi dan berkembang pesat. Kami merasa teruja untuk berganding tenaga dengan KidZania Kuala Lumpur kerana kerjasama ini memberi peluang kepada KRU untuk menyumbang kepada industri dengan membentuk dan mendidik anak-anak muda.”
“Kita tidak dapat menyangkal bahawa kanak-kanak adalah di antara pengguna kandungan yang terbesar dan ada di antara mereka yang sudah menjadi penghasil kandungan yang berjaya. Dengan itu, kerjasama ini merupakan pakatan semulajadi dan kami akan berusaha untuk menjayakannya dengan menggabungkan pengetahuan, pengalaman dan harta intelek terbaru kami iaitu ‘Zan Orangutan’, sebagai sebahagian aktiviti dalam penubuhan ini,” kata YBhg. Dato’ Norman.
Bagi merasmikan kerjasama di antara KidZania Kuala Lumpur dan Kumpulan Syarikat KRU, YBhg. Dato’ Norman telah dipersembahkan dengan ‘Kunci ke Kota’ (Key to the City), satu lambang penghormatan yang dianugerahkan oleh sebuah kota kepada individu yang disanjungi.
Sementara itu, sumbangan kerjasama tersebut kepada kemajuan industri kreatif turut ditekankan oleh YBhg. Dato’ Hans Isaac, “Kerjasama ini adalah sebuah loncatan ke hadapan yang besar bagi masa hadapan yang lebih cerah untuk seni kreatif seperti animasi dan produksi negara. Ia memberikan pendedahan yang awal kepada anak-anak kecil, bukan sahaja dalam memupuk minat malahan memperkasakan mereka dengan kemahiran yang boleh diasah untuk menghasilkan bakat-bakat yang berkualiti bagi mendorong industri ke hadapan di masa akan datang. Saya merasa amat teruja untuk menyaksikan potensi dan hasil yang hebat daripada kerjasama ini.”
Majlis tersebut turut dihadiri oleh 30 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Rumah Amal Kebajikan Asnaf Anak Yatim, yang dijemput oleh Kumpulan Syarikat KRU, sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Sebelum acara pengumuman kerjasama tersebut, kanak-kanak jemputan diberi peluang untuk merasai sendiri keunikan KidZania Kuala Lumpur yang menawarkan pembelajaran interaktif dan lakon peranan pekerjaan sebenar di dalam kota bersaiz kecil yang dilengkapi dengan bangunan, ekonomi yang berfungsi, destinasi terkenal dengan tajaan dan penjenamaan daripada syarikat tempatan dan multinasional.
Dalam majlis yang sama, kanak-kanak jemputan turut menerima duit raya dan sumbangan penghargaan sebelum mereka menyertai tetamu lain untuk berbuka puasa di dalam KidZania Kuala Lumpur.
Bagi kanak-kanak yang berminat untuk mempelajari animasi dengan lebih mendalam, Kumpulan Syarikat KRU menawarkan program AfterClass oleh Akedemi KRU yang menyasarkan kakak-kanak pra-sekolah dan pelajar tahap permulaan serta tahap lanjutan sekolah rendah.
Program AfterClass bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, memupuk minat dan membangunkan bakat dalam bidang seni dan produksi animasi dengan memberikan asas yang teguh untuk kreativiti dan apresiasi seni. Para peserta akan diberikan peluang yang luas untuk mengemukakan idea, imaginasi, emosi, pemerhatian dan pengalaman dalam proses pembelajaran mereka, dan seterusnya membolehkan mereka mengecapi keriangan ekspresi artistik.
Mengenai KidZania Kuala Lumpur
KidZania Kuala Lumpur adalah sebuah pusat hiburan sambil belajar tertutup pemegang anugerah anugerah. Ia adalah pusat pertama seumpamannya yang menawarkan pembelajaran interaktif dan pengalaman lakon peranan yang menyeronokkan untuk kanak-kanak. KidZania memperkasa dan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk mengejar cita-cita mereka dan mengamali pengalaman hidup dan bekerja di sebuah kota. Sasaran KidZania adalah kanak-kanak berumur di antara 4 sehingga 14 tahun dan mereka boleh memilih daripada lebih 100 peranan pekerjaan dalam lebih 60 pertubuhan di kota tersebut. Seperti dunia sebenar, kanak-kanak akan menggunakan matawang apabila dibayar gaji selepas melengkapkan "tugas" mereka atau berbelanja untuk membeli sesuatu barangan dan hiburan. KidZania adalah sebuah replika yang dibina menyerupai kota bersaiz kanak-kanak yang dilengkapi dengan bangunan, jalanraya, kenderaan, ekonomi yang berfungsi, dan destinasi yang boleh dikenali dalam bentuk "pertubuhan" yang ditaja dan menampilkan jenama-jenama daripada syarikat multinasional dan tempatan.
Mengenai Kumpulan Syarikat KRU
KRU adalah salah satu kumpulan syarikat peneraju utama di dalam bidang media dan hiburan di Malaysia. Ia juga adalah sebuah jenama yang semakin meningkat naik di persada antarabangsa. Diasaskan pada tahun 1992, KRU menerbitkan rangkaian media yang komprehensif termasuk filem, animasi, program televisyen dan muzik. Produksi KRU bukan sahaja mendapat sambutan daripada pasaran tempatan malahan juga antarabangsa, di mana ia menerima pelbagai anugerah dan juga sanjungan.