PROGRAM MAHARAJA LAWAK MEGA KEMBALI UNTUK MUSIM TERBARU, TAWAR HADIAH UTAMA RM500,000
Program realiti pertandingan komedi yang paling dinanti-nantikan oleh peminat tegar lawak di rantau ini, Maharaja Lawak Mega kini kembali menemui peminat-peminat bagi edisi 2019. MLM 2019 bakal membuka tirainya secara rasmi pada setiap hari Jumaat mulai 1 November 2019, jam 9.00 malam selama 11 minggu berturut-turut 'MLM 2019' akan disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) dan distrim melalui platform Astro Go dan On Demand untuk pilihan lebih fleksibel.
Bagi memperkenalkan para peserta MLM 2019 satu majlis sidang media telah diadakan semalam bertempat di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. Antara barisan peserta yang akan menjayakan MLM 2019 terdiri daripada dua peserta solo dari Indonesia, Rahmet dan Popon, serta sembilan peserta berkumpulan 'Cali' dari Brunei, 'Bocey', 'Zero', 'Rare', 'Puteh', 'Stone', Jambus', 'Rojak' dan juga juara program 'Muzikal Lawak Superstar musim pertama, 'J-Born'!
Menariknya lagi, edisi MLM kali ini membawakan satu episod istimewa, Maharaja Lawak Mega 2019 Kerusi Panas' atau Hot Seat' yang akan bersiaran seminggu lebih awal (25 Oktober 2019, Jumaat, 9.00 malam), secara langsung di saluran Astro Warna dan Warna HD yang mana akan menyaksikan 12 peserta l awak berentap untuk meraih kedudukan di pentas utama MLM 2019.
'MLM 2019 Kerusi Panas' ini akan dihoskan oleh pengacara sensasi, Nabil Ahmad, serta tiga nama besar dalam industri bakal terlibat untuk mengadili persembahan para peserta. Mereka adalah pengarah tersohor, Sabri Yunus, pelakon wanita popular, Fasha Sandha serta penerbit filem, Mejar (K) David Teo.
Buat julung kalinya, MLM 2019 menerima penyertaan daripada peserta dari negara Brunei Darussalam. Duo 'CALI' disertai oleh dua pelawak muda, Khai dan Tony. Ini merupakan percubaan pertama mereka bertanding di luar negara.
MLM 2019 turut disertai oleh dua pelawak dari Indonesia yang bakal beraksi secara solo. Kedua-dua peserta, Rahmet dan Popon sebelum ini pernah menyertai program pertandingan komedi popular di Indonesia, 'Stand Up Comedy Indonesia' - SUCI, dimana Popon dinobatkan sebagai juara.
Sementara itu, juara musim pertama program Muzikal Lawak Superstar (MLS 2019), Kumpulan J-BORN yang dianggotai oleh Khir Rahman, Joey dan Vicha turut bakal berentap dalam edisi MLM kali ini. Ini juga merupakan penyertaan sulung bagi pelakon, penulis dan pengarah, Khir Rahman.
Cukup sinonim dengan jenama 'Maharaja Lawak Mega', pengacara tersohor dan versatil Malaysia, Dato' AC Mizal buat sekian kalinya bakal diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas sebagai hos 'MLM 2019'. Ini merupakan penampilan kelapan beliau sebagai pengemudi utama program ini.
Sebanyak lima hadiah berupa wang tunai dan trofi disediakan untuk lima pemenang bagi edisi kali ini. Pemenang tempat kelima bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000 dan trofi. Bagi tempat keempat, pemenang bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 dan trofi. Sementara itu, pemenang tempat ketiga, bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000 dan trofi. Pemenang tempat kedua pula bakal menerima hadiah kemenagan bernilai RM250,000 dan trofi. Juara MLM 2019 bakal menerima hadiah kemenangan berjumlah RM500,000 dan trofi.
Program Maharaja Lawak / Maharaja Lawak Mega sebelum ini pernah menobatkan gandingan duo Mr. Os dan Abon - OSBON (2011, Johan dan Zizan - JOZAN (2012), trio Jep, Shuib dan Rahim - SEPAHTU (2013), Atu, Syaiful dan Sharif - ZERO (2014), Achey, Abam dan Fad - BOCEY (2016 dan 2017), serta Sharol dan Ajak - SHIRO (2018) sebagai juara.
PROFIL PESERTA MAHARAJA LAWAK MEGA 2019
Program MLM 2019 ditaja oleh OPPO, jenama peneraju peranti pintar terkemuka global. Para penonton boleh mengikuti perkembangan terkini program MLM 2019 di platform Facebook - Portal Zon Lawak dan Instagram @Zon Lawak