top of page

UNIKNYA LABUAN! 10 LOKASI MENARIK MUTIARA PULAU BORNEO

Labuan, pulau yang mendapat jolokan 'Mutiara Borneo', juga merupakan Wilayah Persekutuan kedua dan Pusat Kewangan Pesisir bagi Malaysia. Sejarah moden Labuan bermula sekitar kurun ke-18 sewaktu berada di bawah jajahan takluk Negara Brunei Darussalam sebelum melalui fasa peralihan kuasa kepada beberapa kuasa besar ketika itu sehingga akhirnya menjadi wilayah takluk Malaysia. Menurut sejarah, pulau ini mendapat nama dari perkataan 'Labuhan' yang membawa maksud tempat berlabuh ataupun pelabuhan sehinggalah kini dikenali sebagai Labuan.


Dari segi geografinya, Labuan terdiri dari gabungan 7 buah pulau dengan keluasan keseluruhan 91.64 kilometer persegi. 6 pulau kecil lain yang terdapat di Labuan terdiri dari Pulau Daat, Pulau Papan, Pulau Burung, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukn Kecil.


Pecahan demografi penduduk di Pulau Labuan terbahagi kepada dua kumpulan etnik utama iaitu Bumiputera yang terdiri dari suku Melayu Brunei dan Kedayan, Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Lun Bawang/Lundayeh serta beberapa suku Dayak yang berasal dari Sarawak. Sementara itu, kaum bukan Bumiputera diwakili oleh masyarakat Cina, India dan lain-lain.


Kini Pulau Labuan telah membangun pesat dari pelbagai aspek. Statusnya sebagai Zon Bebas Cukai telah menjadikan pulau ini sebagai salah satu destinasi syurga membeli-belah di Borneo. Disebalik kepesatannya, Labuan masih menyimpan keunikannya dari pelbagai aspek untuk kita terokai. Sempena Visit Malaysia 2020. Jom kita susuri keunikan Labuan

 

1. KAMPUNG AIR PATAU-PATAU 2

Kampung Air Patau-Patau II merupakan salah sebuah perkampungan nelayan atas air yang berada di Pulau Labuan.Dibina pada tahun 1930an, perkampungan ini mula berkembang dan dihuni oleh majoriti masyarakat Melayu Brunei berketurunan Kedayan. Kampung ini pernah musnah akibat dibom semasa era Perang Dunia Ke-2 tetapi dibina semula mengikut arus pembangunan semasa. Walaupun begitu masyarakat disini masih mengekalkan adat dan budaya sebagai ciri-ciri unik untuk diketengahkan kepada pelawat yang berkunjung disini.


Bagi pengunjung yang ingin merasai pengalaman bermalam di rumah yang dibina diatas air, anda boleh menyewa kediaman inap desa (homestay) yang diusahakan oleh beberapa pengusaha inap desa disini dengan bayaran yang amat berpatutan.Sekiranya berkunjung kesini, jangan lepaskan peluang untuk merasai makanan tradisi yang cukup popular, ambuyat dan kuih tradisi jelurut atau celorot.

Alamat: Kampung Patau-Patau 2, 87000 Labuan

 

2. CBT @ KAMPUNG BEBULOH LAUT & KAMPUNG BUKIT KUDA

Selain Kampung Patau Patau 2, terdapat sebuah lagi perkampungan nelayan di Labuan yang dikenali sebagai Kampung Bebuloh Laut. Perkampungan ini sangat popular dengan industri penghasilan produk laut khususnya ikan bilis yang telah diangkat sebagai salah satu produk pelancongan 'Community Based Tourism' . Terdapat beberapa pengusaha tempatan yang mengusahakan perusahaan ini secara komersil. Salah satu pengusaha yang terkenal dengan produk ikan bilisnya ialah Salinang Maju Enterprise.


Selain dari penghasilan produk ikan bilis, syarikat ini turut menghasilkan produk ikan masin serta makanan sedia makan (ready-to-eat) seperti varian produk sambal yang berasakan ikan bilis.


Alamat: Salinang Maju Enterprise, Kampung Bebuloh Laut 87000 Labuan

 

Kampung Bukit Kuda tidak kurang hebatnya. Disini pengunjung dapat mempelajari dan melihat sendiri bagaimana proses penghasilan minyak kelapa dara (Virgin Coconut Oil) yang diusahakan oleh Puan Mimie yang turut dibantu oleh ahli keluarganya.


Menurut Puan Mimie, minyak kelapa dara yang dihasilkan olehnya adalah melalui proses DME (Direct Micro Expelling) dimana minyak kelapa dara diproses tanpa mengambil masa yang lama demi menjaga mutu produk yang dihasilkan. Pengunjung yang berkunjung disini akan diberi taklimat serta diberi peluang untuk mencuba sendiri teknik penghasilan minyak kelapa dara. Awas! Mengambil foto sesuka hati adalah tidak dibenarkan.


Disini juga terdapat sebuah galeri jualan dimana pengunjung boleh membeli bukan hanya produk minyak kelapa dara tetapi produk-produk lain terdiri daripada makanan, kosmetik serta cenderahati.


Alamat: Lot BK30, No.11 Jln Suopit, Kg Bukit Kuda / Tel: 019-8301571

 

3. PANTAI BATU MANIKAR, LAYANG-LAYANGAN DAN PANCUR HITAM


Sekiranya berkunjung ke Labuan pastinya lokasi-lokasi ini menjadi pilihan mereka yang gemar berselfie, manakan tidak ketiga-tiga lokasi ini menawarkan suasana indah waktu matahari terbenam sepanjang 9 kilometer di Pulau Labuan .


Pantai yang terkenal ini adalah tempat yang paling sesuai untuk melihat matahari terbenam. Pantai ini merupakan jajaran pantai yang panjang dan dihiasi dengan pokok rhu dan pohon kelapa.


Pantai ini merupakan lokasi yang popular pada hujung minggu. Mana tidaknya pantai ini mempunyai pasir putih yang menggoda, mengajak pengunjung untuk berbaring sambil menikmati sinaran matahari dengan bunyi ombak memukul-mukul di tepi pantai. Kemudahan beriadah seperti lorong berbasikal dan meja perkelahan turut disediakan. Di sini juga turut terdapat banyak warung makanan dengan persembahan kumpulan muzik tempatan yang mengadakan persembahan di setiap hujung minggu.

Pantai-pantai ini telah menerima pengiktirafan berprestij untuk Anugerah Kebersihan Pantai COBSEA 2008 dari UNESCO (United Nation) dan diisytiharkan sebagai ‘101 The Most Beautiful Beaches In South East Asia’ pada tahun 2015.

Alamat : Jalan Batu Manikar & Jalan Pancur Hitam, 87000 Labuan

 

4. TAMAN DAMAI LABUAN


Di taman ini menempatkan sebuah monumen penting dalam sejarah Pulau Labuan. Monumen Kedamaian ini dibina oleh para waris tentera Jepun bagi memperingati ahli keluarga mereka yang terkorban sewaktu pendudukan Jepun di Labuan pada era Perang Dunia Ke-2. Monumen ini juga sebagai tanda 'permohonan maaf' waris kepada semua mangsa peperangan di Pulau Labuan.


Bersebelahan dengan Monumen Kedamaian berdiri binaan sebuah astaka peringatan yang dibina bagi memperingati hari di mana tentera Jepun menyerah kalah secara rasmi kepada pihak Tentera Australia. Binaan astaka tersebut dibina tepat diatas lokasi peristiwa tersebut berlaku.

Alamat: Taman Keamanan, 87000 Labuan

 

5. MARINA AWAM & TAMAN LAUT LABUAN, 'THE UNTOUCHED WONDERLAND'



Marina Awam Labuan merupakan lokasi persinggahan para pelayar dari seluruh dunia untuk berhenti rehat serta menambah semula bekalan sebelum meneruskan pelayaran mereka ke destinasi seterusnya.


Marina Awam Labuan juga merupakan pintu masuk ke Taman Laut Labuan. Taman Laut Labuan merupakan Taman Laut terakhir Malaysia yang digazetkan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 1994 dan diselia dibawah Jabatan Laut Malaysia.


Taman Laut Labuan terletak 2 kilometer di bahagian selatan Pulau Labuan. Taman laut ini terdiri daripada gabungan 3 pulau kecil; Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar yang menjadikan keluasan keseluruhan Taman Laut ini seluas 10 kilometer.


Taman Laut Labuan menyediakan lokasi untuk aktiviti snorkeling, selam skuba dan aktiviti pantai. Selain itu , di Pulau Rusukan Besar terdapat sebuah pusat konservasi penyu untuk aktiviti pulih dan pelihara spesis penyu yang mendarat di pulau tersebut. Sementara itu , terdapat sebuah beting pasir (sand bar) sepanjang 2 kilometer di Pulau Kuraman yang terjadi secara semula jadi terhasil dari proses aliran ombak.


Bagi penggemar selam skuba, terdapat beberapa lokasi selam skuba yang popular dikalangan penyelam yang juga merupakan tapak selaman kapal karam yang terbaik di Asia seperti ‘Australian Wreck’, ‘American Wreck’, ‘Cement Wreck’ dan ‘Blue Water Wreck’ serta lokasi selaman skuba terbaharu yang dikenali sebagai 'Vernon Banks'


Alamat : Marina Awam, 87000 Labuan

 

6. MUZIUM LABUAN & DATARAN LABUAN


Untuk mengenali sejarah atau latar belakang sesebuah tempat itu, sudah pastinya sumber rujukan yang tepat adalah muzium. Muzium Labuan dibuka secara rasminya pada 8 Oktober 2004 oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.


Bangunan muzium adalah seni bina dua tingkat dalam rekaan penjajahan sebelum perang. Tingkat bawahnya adalah didedikasikan untuk pameran bersejarah merangkumi era pra-sejarah Labuan, kesultanan Brunei, zaman kolonial British, Perang Dunia Kedua, Kemerdekaan, perisytiharan Labuan sebagai satu wilayah persekutuan sehingga penubuhan Perbadanan Labuan. Manakala pameran tingkat atasnya mempamerkan pulau sosiobudaya dan evolusi ekonominya bagi enam kaum utama yakni Melayu Brunei Darussalam, Kedayan, Cina, Kadazandusun, India dan Sikh.


Alamat : Jalan Dewan, Bandar Labuan, 87000 Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan

 

Dataran Labuan terletak di pusat bandar Labuan. Tumpuan utamanya adalah satu pentas luarnya yang merupakan tempat popular bagi sesetengah acara-acara dan persembahan utama pulau tersebut. Panji-panji Pulau Labuan dan negeri-negeri Malaysia lain berkibar dalam satu barisan di atas pentas ini. Pada penghujung dataran adalah padang bola sepak bandar. Di penghujung lain adalah sebuah replika ‘Chimney', mercu tanda yang paling terkenal Labuan. Ia cantik dilandskap dengan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan, air pancut dan air terjun.


Alamat: Jalan Merdeka, Bandar Labuan, 87000 Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan

 

7. KOMPLEKS SUKAN AIR ANTARABANGSA LABUAN

Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan direka dengan tiga struktur ketara yang merupakan sebahagian daripada plaza pemandangan utama. Setiap bangunan mempunyai aktiviti khas dalamnya. Setiap menara adalah bahagian penting kompleks sukan air yang moden dan besar. Senibina memberi kenyataan dramatik mengenai alam sekitar, tradisi, dan kefungsian moden. Pusat utama sukan air, blok pentadbiran, muzium biologi marina, kedai cenderahati dan kedai-kedai makan berada di dalam kompleks ini.


Satu daya tarikan unik disini adalah aktiviti belayar dengan menggunakan 'Perahu Larai'. Perahu Larai adalah perkataan Melayu Brunei yang merujuk kepada perahu layar. Pengunjung di sini boleh mencuba belayar diatas perahu ini dengan bayaran sebanyak RM15 untuk satu sesi pelayaran berdurasi 30 minit. Maklumat perkhidmatan adalah seperti dibawah:


Dewasa (1 orang) RM 15.00 - Warganegara RM20.00 - Bukan Warganegara

Kanak-kanak** (1 orang) RM7.00 - Warganegara RM10.00 - Bukan Warganegara ** Wajib diiring penjaga

** Maksimum 8 orang ** 1 Trip = 30 minit

* Isnin - Ahad, 9.00 am - 5.00 pm (bergantung pada tempahan)

Alamat : Jalan Merdeka, 87000 Labuan

 

8. MUZIUM CHIMNEY & GEDUNG UBAT



Terdapat satu struktur binaan ikonik yang bersejarah di Pulau Labuan yang masih kekal misterinya hingga kini. Terletak di suatu kawasan tinggi di Tanjung Kubong, ia adalah sebuah struktur terkenal cerobong asap atau popular dengan panggilan ‘The Chimney' – sebuah binaan menara dengan bata merah tersusun setinggi 106 kaki. Struktur binaan ini dikaitkan dengan zaman perlombongan Labuan. ‘The Chimney' dibina daripada lebih 23,000 bata merah yang diimport dari England. Struktur ini menjurus kepada reka senibina British yang biasa ditemui.


Untuk sekian lama, ‘The Chimney' dianggap sebagai satu aci pengudaraan. Bagaimanapun, penemuan terbaru menunjukkan bahawa tiada kesan asap or pembakaran bagi mencadang penggunaannya sebagai serombong. Galian terperinci mendedahkan bahawa terdapat 12 lapisan batu-bata dibawah permukaan. Struktur ini terletak pada satu kawasan batu kapur yang mengandungi kaolin atau lempung tembikar, yang menyediakan asas kukuh.


Ikon pelancongan Labuan ini telah menerima anugerah The International Green Apple Awards for Environmental Best Practice" dan "Sustainable Development 2013 untuk kategori seni bina bangunan bersejarah. Anugerah antarabangsa oleh The Green Organisation, United Kingdom itu membolehkan Labuan dipilih sebagai Duta Hijau 2014 (The Green Ambassador 2014) bagi kategori tersebut dan akan mengikuti kempen yang dijalankan oleh pertubuhan itu sepanjang tahun 2014.

 

Terdapat sebuah lagi struktur bersejarah yang terletak kurang lebih 800 meter dari Muzium Chimney yang dikenali sebagai Gedung Ubat. Untuk ke lokasi tersebut, pengunjung perlu melalui laluan denai yang terdapat di belakang kompleks Muzium Chimney.


Menurut kajian sejarah, struktur 'Gedung Ubat' ini merupakan rumah penyimpanan ubat bedil dan senjata yang digunakan oleh pihak tentera Jepun sewaktu era Perang Dunia Ke-2. Struktur 'Gedung Ubat' dibina dalam bentuk silinder setinggi 3.5 meter dan terdapat bumbung serta sebuah pintu masuk yang menghadap ke arah laut.


Apa yang membuatkan binaan ini unik ialah ia dibina dengan susunan bata yang tersendiri serta terdapat beberapa lubang angin bagi tujuan pengudaraan.



Alamat: Muzium Chimney, JalanTanjung Kubong 87000 Labuan

 

9. TAMAN BURUNG LABUAN


Satu lagi lokasi tarikan pengunjungan di Labuan ialah Taman Burung Labuan yang terletak lebih kurang 300 meter dari Muzium Chimney. Taman Burung Labuan merupakan cetusan idea mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 , Tun Dr. Mahathir Mohammad sewaktu kunjungan beliau ke Labuan ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Taman Burung Labuan berkeluasan 6.0 hektar dan mempunyai tiga sangkar besar berbentuk kubah besar serta dikelilingi dengan landskap yang indah. Taman ini menempatkan kebanyakan spesies burung-burung Borneo yang ditemui oleh pemerhati burung. Sehingga kini Taman Burung Labuan telah mempunyai koleksi lebih daripada 600 spesies burung yang boleh didapati di habitat-habitat sekitar Borneo yang pelbagai, daripada bakau di sepanjang pantai ke hutan dalam gunung-ganang.


Antara spesis burung yang terdapat disini adalah seperti burung Enggang, Helang, Kasawari, dan banyak lagi. Bantuan bagi mengenal pasti burung-burung boleh didapati dari pihak pengurusan taman.

Yuran Kemasukan:

Dewasa - RM 3 Kanak-kanak (dibawah umur 6 tahun) - Percuma Pelajar/Warga Emas - RM 2 Pelancong - RM 5

Alamat : Jalan JalanTanjung Kubong 87000 Labuan

 

10. UJANA KEWANGAN @ FINANCIAL PARK / KEDAI BEBAS CUKAI


Destinasi seterusnya dan yang terakhir sekali sememangnya untuk mereka yang kaki 'shopping'. Sebut sahaja Labuan, yang pertama terpacul di minda tidak lain dan tidak bukan 'pulau bebas cukai'.


Terletak di Pusat Bandar Labuan, kedai bebas cukai menjadikan pengalaman membeli belah anda amat mudah. Menawarkan pelbagai produk bebas cukai yang menarik, seperti coklat import, mutiara, tekstil, minuman keras dan lain-lain.


Ujana Kewangan terletak didalam Kompleks Financial Park. Dengan keluasan keseluruhan 12 ekar , premis ini menempatkan kompleks pejabat dan ruang jualan terbesar di Wilayah Persekutuan Labuan. Selain itu pelbagai aktiviti yang melibatkan penganjuran festival dan pameran perdagangan yang besar turut diadakan disini.


Alamat: Jln Merdeka, 87000 Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan

 

KEMUDAHAN PENGINAPAN


Bagi anda yang merancang untuk melancong ke Labuan, anda boleh memilih untuk menginap di inap desa, hotel mahupun resort yang banyak terdapat di Pulau Labuan.


PUSAT BANDAR @HOTEL LAZENDA


Terletak di tengah bandar Labuan, Lazenda Hotel merupakan lokasi yang sesuai untuk meneroka Labuan dan kawasan sekitarnya. Disini, anda boleh menikmati akses mudah ke semua bandar yang meriah. Dengan lokasi yang mudah, hotel ini memberikan akses mudah ke tempat yang anda perlu lawati di bandar.


Alamat: Block C & D, Lazenda Centre, Jalan OKK Abdullah, 87007 Labuan

 

TEPI PANTAI @PALM BEACH RESORT


Palm Beach Resort & Spa terletak di sebelah barat Pulau Labuan. Resort tepi pantai ini menawarkan 245 bilik selesa yang luas dengan banyak kemudahan di 17 ekar pantai persendirian dan taman-taman tropika yang menarik. Resort ini baru-baru ini telah ditingkatkan dan kini menawarkan konsep percutian dan pelancongan perniagaan serta peluang untuk percutian yang menyenangkan dan santai, dan hanya 15 minit pemanduan dari pusat bandar dan perindustrian.


Alamat: Jalan Batu Manikar, 87014 Labuan


 

KALENDAR PELANCONGAN LABUAN 2019


Perbadanan Labuan dengan kerjasama Tourism Malaysia dan agensi agensi berkaitan telah merancang kalendar pelancongan Labuan dengan pelbagai aktiviti menarik bagi menarik kehadiran pelancong berkunjung kesini. Banyak aktiviti-aktiviti telah disusun rapi yang melibatkan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat untu menjayakannya.


September yang lalu telah berlansung Festival Kesenian Borneo 2019 atau lebih dikenali dengan jenama Borneo Arts Festival 2019 yang meraikan aktiviti seni bagi tujuan menjadikan Labuan sebagai hub kesenian dan kebudayaan domestik dan antarabangsa. Festival kali ini telah menerima penyertaan dari banyak persatuan seni tempatan mahupun dari negara-negara jiran. Baru-baru ini Borneo Arts Festival 2019 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia, YB Tuan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik.


 
 

MAKAN-MAKAN DI LABUAN

Selain makanan tradisional penduduk tempatan, Labuan sangat popular dengan makanan laut seperti Ketam, Udang, Ikan, Sotong, Lala, Kepah dan sebagainya. Ia pasti menggamit anda untuk berkunjung ke sini. Antara tempat makanan yang disyorkan seperti berikut.

Mr Crab Seafood & Steambot Restaurant

Sekiranya anda teringin nak merasai kesegaran makanan seafood, disini la tempatnya, Tak perlu bercerita biarla gambar yang berbicara.Yang penting HALAL.


Alamat: Eco Pelancongan Kinabenua, 87000 Labuan


 

Mawilla Yacht Club Restaurant

Restoran ini juga turut menawarkan makanan seafood sebagai pilihan anda semua. Dengan angin deruan pantai di waktu senja. Ia juga menggamit memori indah bercuti di Labuan. Yang penting HALAL.

Alamat ; Jalan Tanjung Batu, Labuan

 

Mortar Cafe & Lounge

Cafe yang berkonsepkan moden ini menjadi tarikan para pelanggan kerana menyajikan makanan tempatan serta makanan barat. Rasaikan keunikan tersendiri dari air tangan chef-chef mereka. Mortar Cafe hanya terletak bersebelah dengan Lazenda Hotel. Semestinya HALAL.


Alamat : Level 1, Block D, Lazenda Centre, Jalan OKK Abdullah, 87000 Labuan


Akhirnya, banyak MB telah kongsikan dalam artikel tempat-tempat menarik di Labuan termasuk tradisi, makanan dan budaya masyarakat tempatan. Sekiranya anda datang ke Labuan menginap la sekurang-kurangnya 4 hari 3 malam untuk menjelajah satu Labuan.


Sekalung budi tidak terhingga kepada Tourism Malaysia kerana sudi bawa kami jalan-jalan, tidak ketinggalan Malaysia Airlines yang membawa kami terbang ke Labuan. Semoga bertemu lagi di artikel jalan-jalan seterusnya.


Jom kita teruskan hastage #VisitMalaysia2020 bagi menandakan sokongan anda untuk Tanah air tercinta. I Love Malaysia. Jom tonton coretan VLOG kami di Labuan. MYBUZZ!








Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page