top of page

NAQIU BOBOY TERUS UNGGUL MANAKALA AMEER SOFAZR TERSINGKIR MINGGU KETIGA GV 2019

Konsert Minggu Ketiga berakhir dengan meriah di mana 12 bintang GV2019 telah menyampaikan persembahan dengan penuh bergaya. Bertemakan ‘Lagu Aneh’, minggu lalu telah menguji tahap kemampuan sebenar para peserta yang perlu membawakan lagu-lagu yang berbeza dan di luar genre kebiasaan mereka.


Foto Naqiu Boboy terus dominasi pentas GV selama 2 minggu


Konsert ketiga Gegar Vaganza 2019 sekali lagi menyaksikan persembahan yang cemerlang dari Naqiu Boboy dan beliau telah diumumkan sebagai juara untuk kali keduanya (Minggu 2 & Minggu 3), dengan markah terkumpul sebanyak 82.00 peratus.


Menyampaikan lagu ‘#123’ nyanyian asal Khai Bahar serta medapat pujian yang melambung dari ketiga-tiga juri, beliau juga telah diumumkan sebagai ‘Bintang Cuckoo Paling Gempak’ kerana memperolehi markah undian tertinggi di atas talian (online).


Dalam pada itu, bintang GV2019, Jatt Ali berjaya kembali di kedudukan kedua tertinggi selepas beliau cemerlang menyanyikan lagu yang berjudul ‘Awallah Dongdang’, nyanyian asal Ratu Irama Etnik Malaysia iaitu Noraniza Idris, dengan merekodkan markah sejumlah 80.00 peratus. Manakala, Wann pula berjaya meletakkan dirinya di kedudukan ketiga menerusi lagu popular filem Puteri Gunung Ledang, ‘Asmaradana’ nyanyian asal Puan Sri Tiara Jacquelina dengan mengumpul markah sebanyak 74.00 peratus.


Di samping itu, Nurfatima telah dipilih sebagai penerima ‘Artis Cili Padi Paling Power’ menerusi lagu yang berjudul ‘Hati Kama’ nyanyian Dato’ Seri Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris.


Foto Ameer Sofazr tersingkir pada minggu ketiga


Namun begitu, konsert Gegar Vaganza minggu lalu juga menyaksikan bintang GV2019 iaitu Feeza, Sham Visa dan Ameer Sofazr tersenarai di kedudukan tiga terendah. Namun begitu, nasib tidak menyebelahi Ameer Sofazr, beliau telah diumumkan sebagai peserta yang kedua tersingkir dari pentas Gegar Vaganza 2019. Selepas dua minggu berada di kedudukan terendah, beliau yang menyampaikan lagu ‘Samrah Mentari’ nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah telah dikritik hebat oleh Datuk Ramli MS yang mengatakan ‘nyanyian yang dipersembahkan tidak selari dengan muzik’.


Foto (tengah) Zaiton Sameon


Pada malam itu juga artis veteren Zaiton Sameon turut hadir ke GV bagi menerima sumbangan Kongsi Rezeki sejumlah wang tunai RM10,000 daripada penaja utama Farm Fresh.


Konsert minggu keempat pada Ahad ini mempertaruhkan tema ‘Haa Tepuk!’ di mana bintang GV2019 akan digandingkan dan berduet bersama barisan penyanyi sensasi tanah air dan juga alumni Gegar Vaganza dari musim sebelumnya dengan lagu yang telah diberikan.


Adakah masih Naqiu menguasainya lagi atau bintang-bintang lain yang akan menyerlah pula? Nantikan ahad ini. MYBUZZ!




Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page