4 KALI GAGAL DALAM PERNIAGAAN, LELAKI INI KONGSI RAHSIA KUNCI BERGELAR JUTAWAN
Gara-gara kesempitan wang dan kelangsungan hidup, pengasas HSA Trading Capital Berhad, Datuk Muhamad Riduwan Safrizal yang ditemani isterinya,Datin Nurul Aiza, pernah menjadikan rumah Allah sebagai motivasi untuk beliau bermuhasabah diri selain ditemukan dengan seorang sahabat yang memberi galakan dan motivasi untuk berniaga semula.
Perkongsian kisah jatuh bangun pernagaannya, beliau kongsikan bersama kumpulan wakil media yang hadir ke terataknya yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Datuk Muhamad Riduwan Safrizal, kegagalan perniagaan yang pernah dialaminya berlaku sebanyak empat kali sehingga membawa diri tinggal di dalam kereta di perkarangan Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Tambahnya lagi, beliau terpaksa membawa diri ke JB dari Melaka, pusat operasi perniagaannya sebelum ini dengan menjadikan kereta sebagai ‘rumah tumpangan’ selama sebulan selepas mengalami kerugiaan jutaan ringgit dalam perniagaan gara-gara ditipu rakan niaganya.
Beliau kemudian kembali ke Melaka, mencagarkan kereta tersebut bagi mendapatkan semula modal bagi memproses rempah ratus hasil daripada formulasi sendiri yang sebelum ini berjaya menaikkan jenamanya di pasaran Tengah dan Selatan Malaysia.
"Dalam perniagaan lalu, saya pernah memakai kereta mewah Ferrari, memiliki aset jutaan ringgit dan sebanyak empat kali juga saya di uji jatuh, namun saya berkeyakinan terhadap kekuatan Solat Dhuha, Surah Al-Waqiah dan Ayat seribu dinar mampu membantu menyelesaikan masalah.
“Ajaibnya doa dan bersedekah walaupun hanya RM1 sehari, menjadi antara kunci kejayaan saya untuk kembali bangkit daripada kesusahan lalu,” jelasnya. Kini, berkat amalan serta keyakinan tersebut, beliau berjaya mengasaskan jenama produk Sherwanis dan bertindak selaku Pengerusi HSA Trading Capital Berhad.
“Perniagaan kembali berjalan secara berperingkat-peringkat dan saya berjaya membangunkan empayar bisnes yang punah sebelum ini dengan mengaut keuntungan yang baik,” jelasnya ketika ditemui pada sesi temubual di sini baru-baru ini.
HSA Trading Capital Bhd. yang merupakan pengeluar dan pemborong produk muslim serta pengeluar produk makanan berjenama Sherwanis akan membuka pasar raya mini sulungnya di Ampang pada bulan depan.
Menurut Datuk Muhamad Riduwan Safrizal lagi, pasar raya tersebut merupakan proses penjenamaan semula Sherwanis Mart yang telah pun beroperasi dengan 10 rangkaian di selatan tanah air. Sherwanis Mart bakal dikenali sebagai HSA Cheaper Mart dan akan beroperasi di Ukay Perdana sebagai cawangan pertama di Lembah Klang.
“HSA Cheaper Mart bakal memulakan operasi pada 5 Januari 2020 dan ketika ini kerja-kerja operasi berada pada peringkat akhir untuk memuatkan premis ini dengan pelbagai barangan keluaran muslim dan menaikkan papan tanda perniagaan.
“Dengan pembukaan sulung ini hasil penjenamaan daripada Sherwanis Mart, syarikat sudah bersedia mengorak langkah untuk menawarkan produk dan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya di sini baru-baru ini.
Platform Untuk Usahawan PKS
Datuk Muhamad Riduwan memberitahu, pembukaan premis itu menelan kos melibatkan kira-kira RM80,000 itu sebagai platform terbaik buat syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Jelas beliau, pengusaha PKS dan syarikat baharu boleh merebut peluang itu untuk mempromosi dan menawarkan produk buatan sendiri kepada penggunaan.
“HSA Cheaper Mart masih mengekalkan konsep sama seperti pasar raya mini yang berjenama popular di seluruh negara namun kami memiliki strategi tersendiri. Tarikan utama kepada penggunaan adalah harga yang ditawarkan lebih rendah sedikit serta menempatkan pelbagai produk buatan usahawan Muslim di bawah satu bumbung.
Muhamad Riduwan menjelaskan, HSA Cheaper Mart turut merancang untuk memperluaskan pasarannya secara berperingkat sehingga 200 cawangan di seluruh negara.
Bagi mencapai sasaran itu ujarnya, syarikat akan mengadakan promosi bergerak dan taklimat perniagaan di Johor, Melaka dan Selangor dalam masa terdekat untuk memberi penerangan mengenai perancangan masa depan jenama pasar raya mini tersebut.
Tambahnya lagi, beliau akan turut bersama para usahawan lain bagi menyusun strategi bagi mengembangkan perniagaan masing-masing di bawah payung HSA Cheapest Mart.
“Saya percaya kepada konsep berkongsi rezeki dengan membantu usahawan bumiputera untuk terus berjaya selain membimbing mereka meningkatkan daya saing selain mencari peluang untuk mendapatkan dana pembiayaan pengembangan perniagaan,” ujarnya.
Sementara itu, usahawan yang berminat memasarkan produk mereka di bawah rangkaian HSA Trading Capital Bhd. termasuk di 7,000 kedai runcit, boleh menghubungi talian 019-4008966/013-9272499