top of page

SOLIDARITI 17 PENYANYI TANAH AIR SENADA SAMPAI MESEJ PENTING DALAM #JANGANKELUAR


Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, rakyat Malaysia sentiasa dinasihati supaya duduk di rumah bagi mencegah penularan wabak Covid-19. Malah, ramai berharap isu ini segera pulih dan dapat kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa. Pendek kata, segalanya terletak di tangan kita dan pilihan diri sendiri.

Bagi menyokong saranan kerajaan itu, syarikat rakaman Universal Music tampil dengan projek khas menerusi lagu berentak hip hop, #JANGANKELUAR.

Menariknya, projek berbentuk kempen ini menggabungkan 17 penyanyi yang berbeza dari segi genre dan latar belakang muzik dalam satu lagu. Antara yang terbabit ialah Shila Amzah, Yonnyboii, Hafiz Hamidun, Rabbit Mac, Shalma Eliana, Sophia Liana, Alvin Chong dan Bella Astillah.

Turut serta, Luca Sickta, Kmy Kmo, Tuju, Kowachee, ASYRFNSIR, Abubakarxli, Siqma, Dolla dan Malik Abdullah.Kesemua penyanyi melakukan rakaman di rumah dan tempat sendiri sebelum digabungkan menjadi sebuah lagu. Malah, setiap penyanyi juga sudah ditetapkan ‘key’ mengikut bahagian masing-masing yang perlu dinyanyikan.

Berkongsi mengenai #JANGANKELUAR, Luca Sickta berkata, ia adalah pesanan untuk orang ramai supaya patuh dengan perintah berkurung dalam menghentikan jangkitan rantaian Covid-19.

Lagu ini ialah projek di mana menggabungkan 17 artis termasuk saya dan Kmy Kmo. Ia adalah pesanan buat orang ramai supaya patuh dengan perintah berkurung untuk menghentikan jangkitan rantaian wabak ini.

“Lagu asal dihasilkan oleh Jkei dan lirik ditulis oleh Yonnyboii dan penambahan lirik daripada saya, Kmy Kmo dan Tuju. Lagu ini dihasilkan dengan harapan supaya orang ramai lebih berwaspada dan tidak mengambil mudah atas apa yang berlaku sekarang,” katanya.

Menurut Luca Sickta lagi, nyanyian rap atau Rap Sing dalam lagu itu dinyanyikan penyanyi tertentu.

“Saya boleh katakan, ‘vibes’ lagu ini lebih kepada urban R&B dan pop. Jadi, setiap penyanyi membawakan dengan stail dan gaya nyanyian tersendiri tapi mengikut ‘key’ yang sudah ditetapkan.

“Walaupun rakaman dibuat sendiri dan berasingan, bagi saya ia tidak menjadi masalah. Disebabkan itu, saya menyifatkan ini projek yang sangat istimewa dari segi lirik, mesej dan penghasilannya,” katanya.

Sementara itu, penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun menganggap pembabitannya sesuatu yang besar.

“Sebagai rakyat Malaysia, tak kira siapa pun kita, gunakan kepakaran dan kreativiti yang ada. Macam saya penyanyi, bukan bermaksud tidak boleh sumbang kepada kebaikan.

“Walaupun satu rangkap, tapi saya anggap ia besar. Apabila dapat demo daripada Universal Music, ini pertama kali saya menyanyikan genre Hip Hop. Tapi tidaklah terlalu asing. Lagu ini menampilkan melodi yang segar,” katanya.

 

Bagi anggota kumpulan De Fam, Sophia Liana, lagu ini diharap dapat memberi semangat kepada rakyat Malaysia supaya terus mematuhi saranan kerajaan untuk duduk di rumah.

“Pembabitan saya dalam lagu ini adalah untuk sama-sama menyanyikan lagu yang dapat meneruskan semangat rakyat Malaysia untuk duduk di rumah.

“Dengan harapan supaya rantaian wabak ini dapat diputuskan dengan cepat dan kita dapat kembali kepada aktiviti seperti sediakala secepat mungkin.

“Ada juga sumbangan yang akan dibuat untuk projek ini ke badan kebajikan yang diluluskan kerajaan,” katanya yang membuat rakaman menerusi telefon bimbit.

Pelakon dan penyanyi, Alvin Chong pula berharap kesedaran untuk duduk di rumah semakin tinggi menerusi lagu itu.

“#JANGANKELUAR adalah lagu yang dikhaskan untuk mengingati semua orang supaya jangan keluar rumah sesuka hati. Ramai barisan hadapan sekarang merisikokan nyawa sendiri untuk selamatkan kita dan mangsa Covid-19.

“Saya berasa sangat gembira apabila dapat tahu pihak Universal Music Malaysia menawarkan saya untuk terbabit dalam kempen ini. Salah satu matlamat saya menyanyi ialah untuk memberi semula kepada masyarakat.

“Tidak dinafikan, kejadian Covid-19 ini memberi banyak kesan kepada orang ramai. Saya berharap perkara ini akan cepat berlalu dan kita dapat semula kehidupan yang dulu dan lebih selamat,” katanya.

Lebih hebat apabila projek ini juga mendapat sokongan daripada Spectrum Outdoor Marketing dan perkhidmatan mudah alih digital sepenuhnya; Yoodo.

Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berkata, projek ini bukan berbentuk hiburan semata-mata, tapi apa yang lebih penting adalah mesej yang disampaikan.

“Yoodo sangat berbangga menyokong #JANGANKELUAR. Ia bukan saja membawakan sebuah hiburan yang hebat dan ‘catchy’, tapi juga mesej penting kepada seluruh rakyat Malaysia terutama dalam keadaan sekarang.

“Bersama-sama dengan projek ini, Yoodo menawarkan data mudah alih percuma bagi membolehkan setiap orang menikmati hiburan dan berhubung antara satu sama lain,” katanya.

Lagu #JANGANKELUAR ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 14 APRIL 2020



Video Lirik #JanganKeluar

 

Tentang Yoodo

Yoodo adalah sebuah perkhidmatan mudah alih digital bebas dalam negara yang dilancarkan pada Januari 2018 dan dimiliki serta dikendalikan oleh Celcom Axiata Berhad. Ia menawarkan perkhidmatan mudah alih pertama yang disesuaikan dalam kehidupan pengguna secara fleksibel dan kemudahan yang lengkap.

Untuk maklumat lanjut mengenai Yoodo, boleh terus ke laman sesawang yoodo.com.my atau yoodoMY di laman sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan Twitter.

Konsert Penstriman Atas Talian #JANGANKELUAR di Youtube

Universal Music Malaysia akan melangsungkan Konsert Online streaming pada 19th April (Ahad) ini di Youtube channel Universal Music Malaysia yang akan bakal menampilkan barisan artist dari #JANGANKELUAR.

Semasa konsert ini berlangsung, orang ramai dianjurkan untuk menderma kepada dana Covid-19 di Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif untuk membantu para pejuang barisan hadapan dan orang ramai yang terkesan dengan situasi ini melalui pengumpulan Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Dato’ Sri Siti Nurhaliza atau secara ringkasnya dinamakan Dana P.K.P Siti Nurhaliza.


Terdapat tiga objektif di dalam dana ini:


  1. PEDULI- Membantu dapatkan keperluan dan peralatan di pusat-pusat perubatan yang terlibat menangani Covid-19 (PPE, topeng muka dan sarung tangan)

  2. KEMANUSIAAN- Membantu individu dan keluarga yang terjejas pendapatan. Bantuan kepada keluarga yang terjejas pendapatan di samping itu mempunyai anggota keluarga OKU atau penyakit kronik.

  3. PRIHATIN- Bantuan khas sempena bulan Ramadan dan Syawal kepada golongan kurang kemampuan serta rumah-rumah kebajikan.

Sebagai langkah permulaan, kami mensasarkan pengumpulan dana untuk keperluan segera dalam kategori Peduli iaitu sebanyak RM50,000. Jumlah sasaran ini akan dinaikkan dan berterusan memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan serta banyak jenis bantuan akan disalurkan.

Mengenai KITAFUND

Kitafund adalah sebuah platform untuk mengumpul dana ( crowdfunding ) bagi keperluan dan kecemasan perubatan dan usaha kemanusiaan. Kitafund.com telah dilancarkan pada 10 Mei 2019 dan telah berjaya “crowdfund” bantuan lebih daripada RM 4 juta untuk 500 lebih benefisiari. Sebelum Kitafund, team kami telah menjalankan Skolafund.com - platform crowdfunding yang telah mengumpul dana biasiswa sebanyak RM 1.8 juta untuk 300+ pelajar yang memerlukan.

Kitafund.com adalah platform yang dibina dan diurus Kita Global Group Sdn. Bhd. (1343946-D).

*Untuk kempen bencana alam dan kecemasan (seperti Covid-19), Kitafund tidak mengenakan caj 5% fi untuk platform. Fi yang perlu dibayar adalah fi payment gateway yang akan ditolak dari jumlah keseluruhan terkumpul kempen. Apabila seorang penderma menyumbang di kempen, payment gateway fees yang dikenakan adalah:


  • Razer (Molpay): RM1/transaction

  • Paypal: 3.9% + RM2/transaction

  • E-wallet (Grabpay, boost, TnG): 1.4%


Platform Kitafund dibina bagi memupuk nilai murni untuk menderma disamping memudahkan orang ramai untuk menyumbang di atas talian (online) tanpa ragu-ragu. Bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk menyumbang, anda boleh layari laman web rasmi Kitafund di www.kitafund.com dan pilih kempen ‘Dana P. K. P Siti Nurhaliza’.


Bagi memudahkan pencarian kempen, anda juga boleh memasukkan kata kunci ‘siti nurhaliza’ atau terus ke link ini: https://kitafund.com/?r=-Y8-F6jWR


Seterusnya, klik butang Sumbang dan pilih cara pembayaran samada menggunakan Perbankan Atas Talian (Online Banking), Kad Kredit/Debit/PayPal, ataupun E-Wallet (Boost/GrabPay/Touch ‘n Go). Bagi yang berhasrat untuk menyumbang tetapi menetap diluar Malaysia, anda boleh memilih PayPal sebagai mod pembayaran.

Cara untuk Menyumbang ke Kempen ini:


  1. Tekan butang “Sponsor”

  2. Nyatakan jumlah dana yang ingin diberikan

  3. Pilih cara pembayaran (Online Banking atau Debit/Credit Card/Paypal).

  4. Berikan e-mel untuk menerima resit dan kemas kini dari kempen ini

  5. Tekan butang “Sponsor”

  6. Teruskan dengan membuat pembayaran di laman seterusnya.

  7. Anda akan di kembalikan ke laman ini selepas membuat sumbangan anda. Sumbangan anda akan direkod di sini juga.


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page