GANDINGAN DUA GENERASI AZLAN TYPEWRITER DAN YONNYBOII DALAM 'KELABU'
Berpegang kepada konsep
keterbukaan dan percaya bahawa muzik itu bersifat universal, lalu penyanyi Azlan Typewriter tidak kisah meletakkan sepenuh harapan kepada naskhah terbaharu sandarannya berjudul Kelabu ciptaan YonnyBoii.
Malah buat kali pertama Azlan turut berduet dengan bakat besar yang juga Budak Baru Nak Up (BBNU) berkenaan menerusi lagu berentak balada ini
Karya usahasama sulung Universal Music dan Indigital Music ini secara tidak langsung menyaksikan gabungan artis generasi lama dan baru yang sekali gus memberi cetusan segar yang diharap dapat menambat hati peminat muzik tempatan.
Lagu ini sebenarnya pernah tular pada Oktober 2019 selepas demo yang dinyanyikan sendiri YonnyBoii bocor di laman maya.
“Saat dipelawa untuk berduet dengan YonnyBoii, saya sendiri teruja untuk menjadi sebahagian daripada sejarah yang bakal dicipta ini. Sejak awal mendengar melodi lagu ini, ia sudah menambat hati saya. Malah saya boleh katakan ini sebagai satu eksperimen berbeza apatah lagi menyatukan dua generasi penyanyi.
“Bagaimanapun saya mengambil masa untuk menyatakan persetujuan terbabit menyanyikan lagu ini. Namun hingga kini, saya percaya keputusan untuk turut serta dalam karya ini bukan sia sia.
“Malah selepas dikaji dan diamati dengan mendalam gabungan suara kami ini, ia mungkin akan dapat memperkuatkan lagi metabolisma aura lagu berkenaan. Kami sebenarnya cuba saling melengkapi antara satu sama lain,” kata Azlan.
Rakaman lagu ini dibuat secara berasingan sekitar April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
“Kebetulan rumah kami masing masing dilengkapi studio, jadi proses rakaman secara berasingan itu bukan masalah besar. Apatah lagi di saat penularan wabak pandemik Covid 19 hingga dikuatkuasakan PKP menuntut lebih banyak masa di rumah.
“Saya turut mengubah semula komposisi muzik ini. Proses memasukkan rakaman suara saya untuk lagu ini dalam tempoh lebih kurang enam jam. Saya perlu ambil masa ini untuk memastikan kualiti vokal sendiri disunting tanpa terlalu banyak proses suntingan.
“Malah untuk menambah ‘feel’, saya banyak membuat latihan telinga dengan kembali mendengar lagu berentak R&B dan rock sebagai rujukan serta ilham,” tambah Azlan
Saat ditanya mengenai apa yang tersirat dalam lagu itu, pemilik nama penuh, Nor Azlan Rosle berusia 38 tahun ini mentafsirkan ia sebagai ideologi dan persepsi.
“Lagu ini bagi saya bagai sebuah situasi yang ada kalanya kita melihat keadaan sekeliling berwarna kelabu. Ia tidaklah terlalu gelap gelita atau hitam kerana di penghujungnya pasti ada sinar yang menanti.
“Saya juga anggarkan lagu ini seperti sebuah campuran idealogi pemikiran yang ada unsur positif dan negatif. Positif itu mewakili warna putih, manakala negatif itu pastinya hitam. Rata rata pemikiran di kalangan remaja masa kini contohnya mahu mencari jalan ke arah yang lebih positif. Itu satu perkembangan baik untuk golongan remaja ‘purba’ seperti saya mendengarnya,” kata bekas vokalis Meet Uncle Hussain ini.
Sempat ditanya mengenai YonnyBoii, penyanyi lagu Jangan Khianati Aku ini melihat komposer dan penyanyi hip hop muda itu sebagai cukup berbakat besar.
“Apa yang saya lihat dia sangat peka kepada bunyi baru yang agak moden. Eksperimentasinya pada saya sangat berjaya.
“Lihat saja aliran perjalanan lagu Sakit dendangannya menampilkan Zynakal ia cukup istimewa dan mempesonakan.
“Melihat konteks nyanyiannya daripada segi seni vokal teknik R&B, dia dalam kategori cemerlang. Cuma nasihat saya penyanyi masa kini sepertinya perlu menetapkan hala tuju mereka supaya industri ini sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman,” katanya.
Mengenai perkembangan lain, suami kepada Normala Hassan ini dalam proses memperbetulkan aspek fizikal termasuk tubuh badannya.
“Biasalah kalau usia sudah menginjak, berat badan pun macam yoyo. Tapi saya harus ambil ini sebagai ruang mencabar diri supaya nampak lebih berkualiti berbanding lima tahun lalu.
“Kalau dalam aspek nyanyian pula, saya akan terus mencari naskhah lagu baru untuk dijadikan hadiah buat peminat, pencinta seni muzik serta penulisan bahasa Melayu,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Promosi Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar berharap karya ini akan terus membuatkan industri muzik tempatan bernyawa.
“Kami di Universal Music amat optimis dan menaruh harapan menggunung untuk lagu ini dapat diterima peminat muzik.
“Ia sebenarnya satu kolaborasi yang tidak disangka sangka. Siapa sangka Azlan Typewriter boleh terbuka hati menjalinkan kerjasama dengan YonnyBoii. Ia pastinya menjadi sebuah sejarah tersendiri melihat dua artis berbeza zaman bersatu atas nama muzik,” kata Anne.
Lagu dan lirik video muzik Kelabu dilancarkan hari ini di semua platform muzik terpilih. Manakala video muzik rasminya pula dijangka dilancarkan sebulan kemudian.
Pada masa serentak dengan mengalu alukan kehadiran single berkenaan, kempen anti buli turut diadakan. Ia akan diadakan selama sebulan sebelum video muzik rasmi lagu ini dilancarkan kelak.
Sempena dengan kempen itu juga, 30 orang pendorong atau influencer akan mendedahkan kotak misteri yang diterima mengandungi pendrive serta surat daripada mangsa buli.
Bagi peminat lagu ini atau mereka yang mahu berkongsi pengalaman dibuli, boleh menulis tanda pagar #KELABU #HentikanBuli.