top of page

BIG STAGE 2020 NORMA BAHARU BAWA 'PRESIDEN NETIZEN'


Program realiti yang berkonsepkan pertandingan nyanyian ‘Big Stage’ menampilkan bakat muda generasi ‘BBNU’ kini kembali untuk penganjuran musim ketiga dengan pengisian serba mantap dan dimensi yang berbeza berbanding dua musim terdahulu kerana bakal dilaksanakan mengikut SOP dan rutin kelaziman baharu dengan tagline ‘Dominasi BBNU Norma Baharu’. Konsert mingguan ‘Big Stage 2020’ bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) bermula 16 Ogos ini.


Foto Faizal Tahir, Ajai & Dayang Nurfaizah


Bagi merancakkan lagi penganjuran musim ini, tiga ikon muzik terkenal yang terdiri daripada Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Ajai bakal mengambil alih kerusi ‘Juri Tetap’ yang sebelum ini pernah diduduki oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Cakra Khan dan Judika. Selain itu, khidmat ‘Presiden Netizen’ yang terdiri daripada Neelofa, Caprice dan Michael Ang juga dibawa masuk bagi mewakili suara netizen untuk turut menyertai barisan juri profesional secara bergilir-gilir pada setiap minggu.


Michael Ang Caprice


Bagi menambah kelainan, pihak produksi juga turut menyerahkan kuasa perlantikan kepada para peminat untuk memilih sendiri seorang lagi calon ‘Presiden Netizen’. Para peminat boleh mencalonkan selebriti kesayangan mereka sebagai ‘Presiden Netizen’ menerusi hantaran entri di laman media sosial menggunakan hashtag #PNBigStage2020 mulai 4 hingga 22 Ogos 2020. Nama-nama selebriti yang dicadangkan akan dinilai oleh pihak produksi berdasarkan kriteria yang ditetapkan sebagai ‘Presiden Netizen’ untuk mengisi kekosongan slot keempat untuk musim ini.


“Walaupun baru memasuki tahun penganjuran yang ketiga, pengaruh dan kredibiliti jenama ‘Big Stage’ dalam memartabatkan karya dan bakat luar biasa angkatan ‘BBNU’ yang lebih mendominasi ruang digital ke pentas komersial arus perdana ternyata membawa impak yang besar terhadap perkembangan industri seni tanah air secara menyeluruh.


‘Big Stage’ selaku platform perkongsian integrasi yang mengangkat seni muzik turut melakar sejarah yang membanggakan apabila berjaya menembusi tembok empat buah negara iaitu Brunei, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan menerusi inisiatif penganjuran musim kedua tahun lalu. Meskipun tidak dapat membuka ruang perkongsian di peringkat antarabangsa untuk musim ini atas faktor keselamatan dan kesihatan bagi menangani krisis Covid-19 yang sedang melanda dunia, pengalaman tersebut telah membuka satu lembaran baharu yang menjadi pemangkin kepada semangat kami untuk terus menerbitkan kandungan hiburan berkualiti.


Dalam berhadapan dengan situasi ketidaktentuan pada ketika ini, pelbagai perubahan dan pengubahsuaian akan dilaksanakan demi mematuhi syarat dan garis panduan SOP norma baharu yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Antara perubahan paling ketara untuk musim ini ialah penganjuran konsert mingguan yang akan dibuat pada skala yang lebih kecil melibatkan kehadiran jumlah penonton yang jauh lebih sedikit berbanding dua musim terdahulu. Namun begitu, strategi pemantapan kandungan telahpun diatur dengan teliti agar tidak menjejaskan mutu penganjuran sekaligus menjamin kepuasan tontonan yang maksima kepada penonton di rumah.” Ujar Emarina Mohd Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria.





Musim ketiga juga bakal menyaksikan persaingan sengit di antara 12 bintang ‘BBNU’ yang terdiri daripada Fadh Majid, Azzam Sham, Hafiz Zainal, Dinie Rashid, Usop , Qody, Yamani Abdillah , Amir Hasan , Hanie Soraya , Farisha Iris, Nana Sheme dan Sandra Dianne di pentas utama selama lapan minggu.


‘Big Stage 2020’ turut mengekalkan selebriti popular Alif Satar dan Sherry Al Hadad yang akan mengendalikan pentas utama selaku ‘Hos’ untuk musim ini. MYBUZZ!




Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page