250 PENONTON TERAWAL BAKAL TONTON KONSERT ROCKESTRA NOSTALGIA SECARA PERCUMA
Sejajar dengan peralihan Pelan Pemulihan Negara ke Fasa Empat, Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur akan kembali dengan program persembahan muzik yang telah lama tertangguh akibat penularan pandemik Covid-19. Panggung Anniversari bakal bergema sekali lagi dengan irama muzik secara live untuk hiburan kepada pengunjung dan peminat muzik tanah air khasnya warga Kuala Lumpur.
Terbaharu, Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan kembali merancakkan dunia hiburan tanah air dengan penganjuran persembahan Rockestra Nostalgia yang akan dijayakan oleh artis-artis tempatan yang pernah menjadi pujaan suatu ketika dulu.
Konsert yang akan diadakan secara percuma pada 30 Oktober mulai jam 9.00 malam itu akan menampilkan 45 orang pemuzik orkestra yang akan mengiringi lima artis lagenda Malaysia iaitu Rahim Maarof, Man Bai, Ruhil Amani, Rahmad (Mega), Ito (Blues Gang) dan Asheed , vokalis kepada Kumpulan Def-Gab-C). Kesemua barisan artis yang akan menjayakan konsert ini bakal menampilkan lagu-lagu nostalgia mereka yang pernah hits dalam konsert yang dijangka diadakan untuk tempoh 1 jam 30 minit hingga 2 jam itu.
Konsert 'Rockestra Nostalgia' ini bakal dipersembahkan secara percuma dan dibuka kepada 250 penonton yang mendaftar awal bagi mendapatkan pas masuk percuma.. Orang ramai yang berminat untuk menyaksikan konsert ini boleh melayari pautan rockestra.wasap.my atau menghubungi talian 018-2454612 untuk maklumat lanjut dan tatacara mendapatkan pas masuk tersebut.
Comentarios