top of page

'28 HARI MENCARI CINTA' HIASI SLOT LESTARY TV3

Andai kata anda diberikan peluang untuk memperbaiki kesilapan dalam hubungan cinta yang lepas dan masih berpeluang untuk bersatu kembali, adakah anda akan bersetuju? Masihkah ada peluang untuk menebus kekecewaan dan kembali bahagia seperti dahulu?


Mulai hari ini (23 Disember 2021), jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama bersiri romantik ‘28 HARI MENCARI CINTA’ gandingan Aiman Hakim Ridza dan Hannah Delisha menerusi slot Lestary pada setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9.00 malam di TV3. Anda juga boleh strim secara langsung di www.tonton.com.my


Drama bersiri 15 episod ini diterbitkan oleh Orangetree Production Sdn Bhd, diarahkan oleh Ng Ken Kin dengan nukilan skrip oleh Anina Sahal, Marziah Manaf dan Norshyiella Annuar menampilkan barisan pelakon popular Aiman Hakim Ridza, Hannah Delisha, Ameerul Asyraf, Elly Arifin, Muaz Fitri, Khaty Azean, Aleza Shadan, Fiza Thomas dan ramai lagi.



SINOPSIS


Faisal (Aiman Hakim Ridza) memiliki podcast sendiri dan bercita-cita ingin melebarkan sayapnya ke luar negara bagi menguji kebolehannya sebagai penyampai radio. Bagi Faisal, apa yang dicari adalah kebahagiaan dan kejayaan dalam hidupnya. Namun, satu perkara yang Faisal tidak boleh lupakan ialah cinta pertamanya dengan Saleha yang mempunyai ciri-ciri gadis yang diinginkan. Faisal tidak tahu kenapa mereka berpisah secara tiba-tiba. Saleha telah meninggalkan dia tanpa sebab dan tidak dapat dijejaki sehingga kini.


Saleha (Hannah Delisha) pula meneruskan kehidupannya sebagai perancang kewangan di sebuah syarikat swasta kerana tidak berminat untuk bekerja di syarikat milik ayahnya, Encik Rahmat. Saleha ingin berdikari dan tidak mahu mengharapkan kesenangan hidup yang diberikan oleh ayahnya. Saleha bertunang dengan Danial (Ameerul Asyraf) atas kehendak Encik Rahmat. Saleha tidak menyukai sikap Danial yang suka berfoya-foya tetapi Encik Rahmat sering memuji Danial yang menjadi harapannya untuk terus memacukan perniagaannya ke peringkat global. Saleha tidak sampai hati untuk memberitahu keadaan sebenar yang bakal menghampakan ayahnya.


Dalam keadaan itu, Saleha teringat pada Faisal, cinta pertamanya yang dianggap sebagai seorang lelaki dungu yang selalu membuat kesilapan malah sering kali mengulanginya. Lelaki itu jugalah telah mengunci hatinya untuk mencintai dan mengharapkan agar satu hari nanti takdir akan menemukan mereka berdua.


Podcast Faisal yang diberikan nama Love Barista membincangkan tentang kisah cinta, memberi petua untuk mencari cinta dan juga menyelesaikan masalah cinta. Podcast Faisal mendapat sambutan ramai sehingga ada kawan-kawan Saleha yang tularkan podcast itu dan ini membuatkan Saleha ingin tahu apa yang menariknya tentang podcast itu.


Takdir menemukan kembali Faisal dan Saleha. Dalam masa yang sama, Faisal mendapat tawaran kerja sebagai DJ di Australia. Dia harus berada di sana dalam masa 28 Hari. Di sinilah bermula syarat yang diberikan oleh Saleha kepada Faisal iaitu 28 hari mencari cinta untuk kembali berkasih. Faisal perlu mencari kesilapan dia dalam hubungan mereka dulu dalam tempoh 28 hari sahaja. Bagaimana pula dengan Airin yang menagihkan cinta daripada Faisal? Apakah bakal berlaku dengan hubungan Saleha dan tunangnya Danial? Adakah Faisal dan Saleha boleh kembali bahagia bersama?


Pastikan anda menyaksikan 28 Hari Mencari Cinta bermula 23 Disember 2021, setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9.00 malam menerusi slot Lestary di TV3 dan strim secara langsung di www.tonton.com.my


Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!


Comments


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page