AISHA RETNO KONGSI KEPERITAN CINTA TAK BERBALAS DALAM 'CINTA DENGANMU'
Dinobatkan sebagai juara pertandingan Vokal Mania untuk kategori rookie baru-baru ini, Aisha Retno, 20, tampil dengan lagu pertaruhan baharu berjudul Cinta Denganmu. Cukup mendayu, lagu ini berkisar dunia percintaan yang tidak terlepas daripada cerita kesedihan hanya satu pihak bertepuk sebelah tangan.
Bukan sahaja dikenali dengan kelantangan vokal yang begitu memukau, penyanyi kacukan Indonesia-Malaysia ini jelas membuktikan dia antara pelapis baharu berpotensi besar pergi jauh. Tidak hairan, dia semakin menjadi buruan ramai komposer untuk menyanyikan lagu mereka termasuklah lagu ciptaan Farouk Roman dan Amylea Azizan ini.
Lagu ‘Cinta Denganmu’ juga adalah antara runut bunyi untuk drama Takdir Yang Tertulis arahan pengarah tersohor, Shahrulezad Mohameddin. Drama dibintangi Nazim Othman, Nad Zainal, Elvina Mohamad, dan Alvin Chong itu bakal mengisi slot Samarinda TV3 bermula pada Januari 2021.
Berkongsi mengenai lagu ini, Aisha berkata ia sebuah cerita percintaan yang menyedihkan bertepatan dengan plot cerita drama itu sendiri. Menerusi Cinta Denganmu, dia sendiri dapat merasa keperitan seorang wanita yang cintanya tidak berbalas. Lantas, baginya kebahagiaan itu tidak semestinya menjadi milik seseorang.
“Lagu ini berkenaan perasaan cinta seorang wanita tidak diterima si lelaki. Lambat-laun, dia terpaksa akur cintanya bertepuk sebelah tangan meski sudah cuba berusaha mengejar cintanya. Wanita itu sangat berharap dapat menjaga lelaki itu walau apa pun dugaan menimpanya. Tapi malangnya, lelaki itu tidak mampu membalas cintanya.
“Mesej lagu ini sebenarnya adalah cinta itu tidak perlu dipaksa dan kena hadir sendiri. Kepada pasangan bercinta pula, mereka seharusnya memiliki kesefahaman daripada kedua pihak. Tidak dilupakan, bukan semua pasangan bercinta mampu mengecap kebahagiaan diidam,” katanya.
Apapun, Aisha mengakui sangat teruja mendapat kepercayaan untuk melunaskan Cinta Denganmu memandangkan dia sendiri sentiasa mengagumi hasil karya Farouk dan Amylea. Ternyata, dua figura itu cukup profesional untuk memastikan Aisha selesa menyuntik penjiwaan peribadinya dalam lagu ini.
“Alhamdulillah proses pembikinannya sangat lancar dan dipermudahkan. Bekerja dengan Farouk dan Amylea adalah satu penghormatan buat saya. Seminggu sebelum rakaman, Farouk memberikan demo lagu itu kepada saya selain banyak perbincangan dibuat bagaimana untuk saya sesuaikan diri dengan lagu ini.
“Walaupun Farouk memang tidak dinafikan nama besar, beliau masih lagi terbuka menerima pendapat orang baharu seperti saya. Sewaktu rakaman, saya mendapat tunjuk ajar daripada Jat Lobo yang berperanan sebagai pengarah vokal. Dialah yang membantu saya daripada segi penjiwaan demi memastikan penyampaian nyanyian saya berkesan,” katanya.
Bagaimanapun, Aisha juga tidak mengambil mudah dan hanya sekadar mahu menyanyikan lagu ini tanpa belajar selok-belok liriknya. Dia mengakui kurang pengalaman dalam bercinta menjadi cabaran terbesar yang harus dia sahut. Menurutnya, mujur kehadiran Jat Lobo memberikannya nafas lega sepanjang di studio rakaman.
“Secara peribadi, cabaran terbesar semestinya untuk mendalami liriknya. Saya sendiri belum pernah mengalami perit percintaan sebagaimana kisah lagu ini. Memang saya akui agak ambil masa juga untuk saya benar-benar dapat menghayatinya. Tapi alhamdullilah, Jat Lobo sangat membantu sepanjang proses itu,” katanya.
Terdahulu, Aisha sudah pernah menghasilkan beberapa lagu termasuk Mengikat Jiwa dan Terima Kasih (duet bersama Yuka Kharisma). Lagu Mengikat Jiwa benar-benar membuka mata peminat untuk mengikuti kerjaya nyanyiannya. Semakin meraih pengikut di media sosial, Aisha juga sentiasa memuat naik video nyanyian semula lagu artis lain di Instagram.
‘Cinta Denganmu’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.
Judul: Cinta Denganmu
Artis: Aisha Retno
Komposer: Farouk Roman
Lirik: Amylea
Kau bisikan rasa resah
Telus padaku
Pantas ku biar ragaku
Peluk hatimu
Merintang redam hidupmu dari menebar
Agar kau tau diriku cinta denganmu
Sejenak ku merasa
Kau kan menyedari
Berat beban menusuk diriku
Terusik kadang di jiwa
Namun masih ku seru
Pegangkan tanganku
Jangan lepas walau sesaat
Akan ku pikul remuk mu
Biarkan ku terbakar kerna cinta
Hingga mungkin kan sedar apa cinta
Comments