BALAI SENI NEGARA LANGKAWI ANJUR PAMERAN CAT AIR ASIA TENGGARA (PACA 2020)
Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Balai Seni Negara membawakan untuk tatapan orang ramai Pameran Cat Air Asia Tenggara (PACA) yang diadakan di Balai Seni Negara cawangan Langkawi bermula dari 16 September 2020 yang lalu dan bakal berkahir pada 30 November ini. Majlis perasmian pameran tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri usai tayangan video ucapan perasmian olehnya pada 30 Oktober 2020 yang lalu. Majlis tersebut turut dihadiri Ybrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara serta YBhg. Dato' Dayang Fatimah Tom Abang Saufi, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.
PACA 2020 yang mengetengahkan tema "Tanah Air", menghimpunkan sebanyak 118 karya pelukis terkenal cat air tempatan serta dari rantau Asia Tenggara merupakan hasil dari cadangan asal sebahagian dari pameran program pra-KUL Biennale 2020 (KUL Biennale 2020) yang terpaksa dibatalkan ekoran penularan pendemik COVID-19.
Balai Seni Negara mengangkat Asia Tenggara sebagai subjek bertujuan untuk mencipta keterujaan dikalangan peminat cat air tempatan dan antarabangsa bagi menikmati dan meninjau perkembangannya yang terkini. Meskipun rantau ini dipisahkan oleh geografi dan persempadanan, namun dibawah tema pameran, ianya diangkat sebagai simbol semangat yang senentiasa mengalir. PACA 2020 menerima penyertaan dari sembilan buah negara Asia Tenggara termasuk Myanmar, Thailand, Laos, Vietnam, Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina dan Singapura.
Sungguhpun negara masih dalam keadaan pendemik merbahaya, Balai Seni Negara berusaha untuk merealisasikan pameran ini dengan mengawal lawatan fizikal dan memperbanyakkan teknologi pendigitalan maya bagi memulih, memperkasa dan melestarikan seni visual tanah air supaya ianya kekeal relevan pada pembinaan negara. Dalam masa yang sama mengharapkan pameran ini mencapai jangkauan yang lebih besar dan luas kepada pencinta seni di pelosok rantau Asia Tenggara.
Bersempena dengan pameran ini beberapa aktiviti seni lain termasuk Extrasi Seni Edisi Cat Air bersama Pelukis Jailani Abu Hassan dan Rafiee Ghani telah diadakan pada 24 hingga 26 September yang lalu oleh Balai Seni Negara Cawangan Langkawi sebagai memeriahkan aktiviti seni di Pulau Langkawi selain dari menjadi salah satu galakan untuk orang ramai berkunjung ke pulau Mahsuri itu.
Orang ramai adalah dijemput hadir untuk menyaksikan pameran PACA 2020 secara fizikal ke Balai Seni Negara Cawangan L,angkawi di No 46, 47 dan 48, Jalan Pelangi 2 Dayang Walk Commercial Square Kuah, 07000 Langkawi. Balai Seni Negara Cawangan Langkawi beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 4 petang kecuali hari Isnin.
Bagi orang ramai yang tidak berpeluang untuk hadir secara fizikal, mereka boleh melawati laman sesawang www.astgallery.gov.my atau di platform media sosial Facebook dan Instagram Balai Seni Negara untuk mengikuti perkembangan pameran ini secara maya.
GALERI | MAJLIS PELANCARAN PAMERAN CAT AIR ASIA TENGGARA (PACA 2020)
Comments