DRAMA ADAPTASI ‘MARRY ME SENORITA’ GANDINGKAN JANNA NICK DAN DINI SCHATZMANN HIASI SLOT MEGADRAMA
Drama bersiri ‘Marry Me Senorita’ merupakan sebuah lagi naskah adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Suri Ryana yang mengangkat genre romantik terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn. Bhd. Drama 28 episod arahan sutradara Nur Ain Sharif ini turut menampilkan pengarah prolifik, Michael Ang selaku Penerbit serta barisan penulis skrip yang terdiri daripada Rehal Nurharis dan Dayang Kartinah.
Drama ‘Marry Me Senorita’ diterajui oleh pasangan pelakon popular, Janna Nick dan pelakon baru berdarah kacukan Melayu-Switzerland, Dini Schatzmann yang memegang watak sebagai ‘Sofiy Leia’ dan ‘Isa Alejandro’. Ini merupakan kali pertama pasangan kekasih yang sedang dalam fasa bahagia digandingkan bersama bagi menjayakan drama bersiri untuk siaran di Astro.
Meskipun masih baru, Dini Schatzmann diberi kepercayaan untuk memegang watak utama buat pertama kali bagi drama di slot Megadrama. Selain itu, drama ‘Marry Me Senorita’ juga turut menyaksikan Dini menyahut cabaran melakonkan watak berat dan penuh emosi berbanding watak-watak lain yang pernah dibawakan olehnya sebelum ini.
Drama ‘Marry Me Senorita’ juga turut menjadi batu loncatan kepada bintang-bintang baru yang berbakat besar untuk mencipta nama dalam bidang lakonan sekaligus menempatkan diri sebaris pelakon sedia ada. Antaranya pelakon baru yang turut diketengahkan termasuklah Nabil Aqil, Asha Merican, Meerqeen, Siti Khadijah Halim serta ramai lagi.
Seperti produksi lain yang menghadapi cabaran semasa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), produksi ini turut menghadapi cabaran bagi menyempurnakan penghasilan drama ‘Marry Me Senorita’. Antara cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi sepanjang penggambaran drama ini adalah apabila lokasi utama penggambaran di sekitar Lembah Klang diumumkan berada di bawah perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta turut dikategorikan sebagai zon merah.
Susulan pengumuman tersebut, pihak produksi terpaksa menukar perancangan bagi memastikan penggambaran dapat diteruskan mengikut jadual asal. Selain itu, pihak produksi juga terikat dengan syarat SOP ketat yang perlu dipatuhi.
‘Marry Me Senorita’ bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 2 Februari 2021 menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
SINOPSIS
Sofiy Leia (Janna Nick) dipaksa meninggalkan rumah oleh ibu saudaranya sebaik sahaja bapa saudara Sofiy meninggal dunia. Dia dikejar dan untuk menyelamatkan dirinya, dia mencari perlindungan di bawah gazebo di mana Isa Alejandro (Dini Schatzmann) juga turut berehat. Oleh kerana keadaan hujan lebat dan matahari sudah terbenam, Sofiy tidak mempunyai pilihan selain bermalam di sana. Walaupun dia menganggap Isa adalah seorang yang sombong, namun dia tetap menceritakan kisah tentang apa yang telah berlaku dalam hidupnya. Isa mengingatkan Sofiy agar tidak terlalu mempercayai rakan baiknya, Tina, tetapi Sofiy menolak.
Sebaik sahaja Sofiy sampai di Kuala Lumpur, dia melihat perubahan pada Tina (Siti Khadijah Halim) tetapi masih berusaha memikirkan yang baik-baik. Tina berjanji akan membantu Sofiy untuk mencari pekerjaan. Sofiy panik apabila Tina cuba menjualnya kepada bos tempat dia bekerja dan Sofiy memanggil Isa untuk meminta pertolongan. Setelah menyelamatkan Sofiy, Isa membawanya ke rumah datuk dan nenek Isa. Dia terkejut ketika Isa memperkenalkan dirinya sebagai bakal isteri. Isa meminta Sofiy untuk menikahinya bagi membantu memulihkan kepercayaan datuknya dan pada masa yang sama membantu memastikan keselamatan Sofiy dari Tina dan majikannya.
Sofiy terpaksa bersetuju kerana dia menyedari bahawa dia sedang diburu oleh Tina. Sofiy memaksa Isa untuk menceraikannya sebelum menikahi Rossa (Shaza Bae). Sebaik sahaja mereka bercerai, Sofiy melanjutkan pelajarannya ke luar negeri dan berusaha untuk tidak memikirkan Isa walaupun dia masih sangat mencintainya. Apa yang akan berlaku kepada Isa selepas perceraian? Adakah cinta mereka akan mekar kembali?
Comments