top of page

DRAMA JENAYAH THRILLER ‘TIKAM’ PENUH KLIMAKS

Astro Ria bakal menyajikan drama rantaian baharu berjudul ‘Tikam’ yang mengetengahkan genre jenayah thriller mengenai satu kes pembunuhan yang berlaku di dalam sebuah pejabat. Dalam tempoh 24 jam, sekumpulan pekerja harus mencari dalang di sebalik pembunuhan tersebut.


Idea asal dan skrip drama bersiri lapan episod ini diilhamkan oleh tenaga kreatif Gempak yang tersediri daripada Sham Hashim, Akmal Nahar dan Lemuel Ong dengan sokongan penulis skrip naskhah popular Angkara Cinta iaitu Rehal Nuharis.



Drama rantaian ‘Tikam’ terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh pengarah prolifik Michael Ang yang juga bertindak selaku penerbit di samping turut menjayakan watak pelakon pembantu dalam masa yang sama. Selain Michael, drama ‘Tikam’ juga turut mendapat sentuhan Hadith Omar selaku pengarah bersama.


Klimaks drama ‘Tikam’ bergantung kepada keunikan jalan cerita yang padat dengan plot twist untuk menimbulkan unsur spekulasi dan suspen di kalangan penonton. Selain itu, drama ini juga turut mempertaruhkan barisan pelakon popular seperti Fahrin Ahmad yang memegang watak sebagai Shahrol, Ben Amir sebagai NJ, Intan Najuwa sebagai Akma, Michael Ang sebagai Mike, Jasmin Hamid sebagai Madam Joan, Yuna Rahim sebagai Ika, Ellyas Abdullah sebagai Sap dan Josiah Lim sebagai Ed.


Menurut Syazwan Zakariah, Ketua Content Studio Astro, "Selain mempertaruhkan nama-nama besar sebagai teraju utama, kekuatan naskhah ini bergantung kepada sudut penceritaan dan intipatinya yang padat dengan misteri dan susunan momentum plot twist yang mendebarkan untuk menguji minda penonton.


"Biarpun keseluruhan penggambaran naskhah ini terikat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti lokasi, jumlah pelakon dan krew yang terhad, pasukan kami sangat berpuas hati dengan kreativiti yang terhasil" .


Sementara itu, Micheal Ang selaku pengarah "TIKAM" memberitahu, "Naskhah ‘Tikam’ mempunyai impak yang bermakna dan amat mengujakan untuk karier saya sebagai penerbit dan pengarah kerana ini merupakan kali pertama saya terlibat dengan projek yang hanya memfokuskan kepada satu lokasi sahaja untuk keseluruhan cerita.


"Dalam menghasilkan karya seperti ini, cabarannya amat besar kerana ia memerlukan idea yang kreatif dan di luar kotak bagi memberikan kelainan yang segar dan tidak mendatar".


Drama bersiri ‘Tikam’ bakal bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 3 November 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.


Untuk pengisian di platform digital pula, kapsul istimewa berjudul ‘Diari Menikam Dari Mike’ pula akan ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 10.05 malam mulai 3 November 2021 secara eksklusif di kesemua platform digital Gempak.


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page