top of page

FILEM 'THE MEDIUM' ANGKAT KISAH DUKUN DAN KEPERCAYAAN ANIMISMA MASYARAKAT THAILAND



Filem 'The Medium', yang diedarkan oleh Encore Films merupakan sebuah filem Thailand dalam genre seram supernatural, bercorak 'mockumentary' yang bakal memulakan tayangan pada 2 Disember 2021 di pawagam GSC seluruh negara.


Secara umumnya filem 'mockumentary' merujuk kepada filem yang menggambarkan peristiwa fiksyen tetapi dipersembahkan sebagai dokumentari. Produksi ini sering digunakan untuk menganalisis atau mengulas tentang peristiwa dan isu semasa dengan menggunakan latar fiksyen, atau untuk memparodikan bentuk dokumentari itu sendiri.


'The Medium' diarahkan oleh Banjong Pisanthanakun, sutradara yang pernah mengarahkan filem-filem seram Thailand popular seperti Shutter (2004), Alone (2007) serta filem komedi seram Pee Mak pada tahun 2013. Filem ini diterbitkan oleh Na Hong-jin dan merupakan kerjasama diantara dua buah produksi, GDH Thailand dan Showbox Korea Selatan.


Filem ini telah ditayangkan di Bucheon International Fantastic Film Festival ke-25 pada 11 Julai 2021. Pada festival tersebut filem ini telah dianugerahkan dengan Anugerah Pilihan Bucheon untuk filem terbaik. Ia diikuti dengan tayangan di pawagam di seluruh Korea Selatan pada 14 Julai 2021. Filem ini turut telah dipilih sebagai penyertaan Thai untuk Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-94.


Filem 'The Medium' atau dalam bahasa Thai (Rang Song) dalam filem ini merujuk kepada 'perantara' yang mengupas tentang kepercayaan masyarakat setempat di Thailand tentang dukun dan 'animisma' yang membantu mencorakkan warna budaya serta kehidupan harian mereka.


SINOPSIS



Filem 'The Medium' dimulakan dengan sekumpulan produksi warga Thai mengembara ke bahagian timur laut Thailand, di sebuah tempat yang dikenali sebagai Isan untuk mendokumentasikan kehidupan harian seorang 'perantara' tempatan atau dukun yang bernama Nim, yang dirasuk oleh semangat bernama Bayan, satu entiti yang dipercayai sebagai dewa masyarakat tempatan yang disembah oleh penduduk kampung tersebut. Bayan adalah Tuhan nenek moyang dan hanya memilih wanita di dalam keluarga Nim sebagai perantara selama beberapa generasi.


Mengikut kekananan sebagai perantara semangat Bayan , orang yang sepatutnya menerima tugas sebagai perantara adalah Noi iaitu adik kepada Nim. Bagaimanapun, Noi tidak mahu menjadi perantara dan beralih kepercayaan kepada agama Kristian. Semangat Bayan kemudian berpindah kepada Nim dan telah bersamanya sejak itu. Namun disebalik penolakan tersebut banyak keanehan mula berlaku kepada Noi dan keluarganya.


REBIU

Sekiranya anda peminat filem seram Thailand, maka 'The Medium' merupakan filem yang anda perlu tonton. Namun sekiranya ada tidak meminati filem bercorak 'mockumentary' seperti siri filem Paranormal Activity ia mungkin sedikit mengecewakan. Bahagian awal filem ini sedikit perlahan seumpama menonton siri dokumentari namun kemuncak elemen seram dan ketakutan banyak ditonjolkan dipengakhiran filem hingga mampu membuatkan penonton tidak senang duduk. ⭐⭐⭐/5

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page