top of page

HAQIEM RUSLI SAH BERGELAR SUAMI ANIS SOFEA DALAM MAJLIS RESEPSI BERTEMAKAN 'WEDDING IN THE SKY'

Penyanyi lelaki popular negara, Haqiem Rusli, 24, telah sah bergelar suami kepada gadis jelita, Anis Sofea, 19, dengan sekali lafaz di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya pada jam 3.40 petang tadi. Pasangan ini telah dinikahkan oleh jurunikah Ustaz Zamzuri Ruslan, bersaksikan keluarga tercinta dan kenalan rapat pasangan.



Haqiem Rusli atau nama sebenar Ridzuan Haqiem bin Rusli menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, selain lima dulang hantaran berbalas lima dulang hantaran kepada pasangan tercinta Wan Anis Sofea binti Wan Zamzuri, atau lebih mesra disapa Anis Sofea.


Pasangan sama cantik sama padan ini memanjat kesyukuran hari bahagianya berjalan dengan lancar dan diraikan dalam majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga tercinta, kenalan rapat dan media sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis perkahwinan dan sosial yang telah ditetapkan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.



Berkongsi rasa kesyukuran dan kegembiraan, pasangan Haqiem dan Sofea turut meraikan hari bahagia ini bersama 200 orang termasuk keluarga tercinta, kenalan rapat, selebriti serta pihak media dalam Majlis Resepsi dan Makan Malam yang akan diadakan di SkyGlass Cyberjaya.


Pasangan pengantin baru ini mengenakan rekaan busana yang direka khas oleh pereka fesyen tersohor Rizman Ruzaini dalam rona putih berperincian mewah. Turut meraikan detik bersejarah pasangan ini, HABIB Jewels, jenama barang kemas tempatan menyerikan pasangan dengan aksesori berlian dan barangan kemas bernilai RM5 juta bagi kedua-dua majlis.


Kedua mempelai merupakan pelanggan HABIB apabila memilih untuk membeli cincin perkahwinan mereka. Cincin berlian Hearts of Fire merupakan berlian terbaik dunia menjadi pilihan kedua mempelai. Persalinan kedua mempelai untuk majlis pernikahan dan persandingan dilengkapi koleksi berlian potongan ekslusif dari HABIB.


Dalam suasana majlis gemilang bak taman syurga yang menjelmakan keajaiban dan magikal, Haqiem menghadiahi isteri tercinta sebuah lagu karyanya sendiri “Hitam Saksi Putih” yang didendangkan merdu semasa Majlis Resepsi. Pasangan yang bagai pinang dibelah dua ini telah menjalin percintaan sejak dua tahun lepas, berkenalan semasa menjalankan urusan perniagaan mereka.


“Dia (Anis Sofea) amat sempurna buat saya, dan saya sangat senang dengan sikap, budi pekertinya yang lemah lembut dan keterampilannya yang telah menambat hati saya untuk memilikinya,” jelas Haqiem.

Sofea pula menerangkan, “Sifatnya yang penyayang, prihatin, bertanggungjawab, bercita-cita tinggi dan berbudi pekerti menjadikan saya jatuh hati kepadanya”.



Meraikan hari yang bahagia ini, pasangan ini telah memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan dan resepsi secara tertutup bertemakan “Wedding in the Sky” atau “Raikan Cinta di Langit Asmara” bertempat di skyGlass Cyberjaya. Bertempat di Aras 22 SkyPark Cyberjaya, skyGlass Designer Event Hall merupakan dewan acara berprestiij berkonsepkan “Glasshouse” dan “Modern Victorian” yang menawarkan pemandangan panorama 360 darjah seluruh Cyberjaya, Putrajaya dan juga Kuala Lumpur City Centre.


Sementara itu, dekorasi majlis yang diberikan nama “The SOFEA” yang berinspirasikan “Floral Garden” persis taman di kayangan dalam rona pastel yang elegan dan mewah merupakan ilham dan sentuhan daripada Primadona Events diilhamkan daripada minat pasangan sendiri, Anis Sofea kepada fesyen dan drama Korea. Nilai keseluruhan majlis perkahwinan tersebut dianggarkan lebih RM7 juta.



Comments


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page