IRENE CATALINA BUKA KAMPOONG DELIGHTS
Penyanyi Irene Catalina yang pernah mengeluarkan single lagu berjudul ‘Ajari Aku’ pada tahun 2017 kini telah membuka restoran berkonsep terbuka yang dikenali sebagai Kampoong Delights. Restoran yang terletak di Setapak Village , Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur itu telah beroperasi hampir 2 bulan dengan menyajikan hidangan signatur ‘Nasi Dulang’ sebagai kelainan serta tarikan untuk orang ramai ke restoran tersebut.
Selain itu Kampoong Delights turut menyajikan pelbagai jenis pilihan menu makanan western seperti Chicken Chop, Lambchop, Steaks dan banyak lagi serta makanan tempatan seperti Nasi Lemak, Bakso dan Ayam Penyet, yang disediakan oleh lima vendor penyedia makanan .
Irene yang ditemui sewaktu majlis doa selamat dan kesyukuran bersempena pembukaan rasmi Kampoong Delights menzahirkan rasa syukur dan gembira. Menurut beliau, idea untuk membuka restoran tersebut timbul pada bulan Oktober lalu semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 berjalan.
Jelas Irene, Kampoong Delights adalah perniagaan hasil perkongsian beliau dengan rakan karibnya sejak dari zaman persekolahan lagi. Beliau memilih nama Kampoong Delights, untuk perniagaan restorannya itu kerana nama tersebut ada 'sentimental value' dan telah mengimpikan nama tersebut sejak usianya belasan tahun ketika membantu nenek kesayangannya berniaga.
“Masa PKP dikuatkuasakan dulu , pendapatan saya memang terjejas teruk. Perniagaan yang saya jalankan sebelum ini 'bungkus' kerana tiada 'sales' disamping tiada 'show' lagi, jadi saya ambil keputusan untuk berniaga dari rumah buat makanan siap masak." katanya.
“Bila PKP tamat saya jumpa dengan rakan karib saya yang turut terjejas semasa PKP dan berbincang tentang idea saya untuk buka restoran dengan konsep ini. Syukur Alhamdulillah, beliau setuju dengan idea tersebut."
“Buat masa sekarang Kampoong Delights beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 2 pagi. Kita ada sediakan pilihan menu makanan kampung untuk makan tengahari termasuk Nasi Dulang dan makan malam berkonsepkan gerai yang dikendalikan oleh lima vendor penyedia makanan yang bernaung di bawah Kampoong Delights."
“Inshaa Allah, kalau sambutannya baik, saya merancang untuk menambah lagi bilangan menu serta vendor penyedia makanan sesuai dengan peningkatan permintaan”, jelas Irene lanjut.
Bercerita tentang Nasi Dulang pula , Irene yang pernah mengangotai Kumpulan Angels sewaktu mencipta nama dalam industri nyanyian pada 2004 memberitahu, dia memilih menu tersebut kerana ianya unik dan tidak banyak restoran ada menyajikan makanan tersebut di Lembah Kelang. Selain itu, Nasi Dulang yang dibuatnya menerima permintaan yang baik dari pelanggan.
“Resipi penyediaan Nasi Dulang adalah resipi saya sendiri. Pelanggan boleh pilih samada mahu ikan, ayam atau makanan laut seperti udang dan sotong selain gaya masakan seperti goreng, bakar atau dimasak bersama sambal petai. Setiap set Nasi Dulang disertakan dengan nasi, ulam-ulaman, sambal belacan, ikan masin dan kuah masak lemak . Harganya pula bermula dari serendah RM12.90 sehingga RM29.90,” kata Irene lagi.
Irene berharap agar Kampoong Delights di kenali ramai setanding dengan restoran berkonsep terbuka yang lain dan menjadi pilihan warga Kuala Lumpur untuk bersantai sambil menjamu selera. Orang ramai yang ingin mengetahui lanjut tentang Kampoong Delights boleh mengikuti platform Instagram @kampoongdelights untuk kemaskini promosi dan acara.
Comments