KIASAN PENUH MAKNA ASYRAF NASIR DALAM '2PAI'
Dunia hip hop tempatan terus menggegar ruang udara muzik Malaysia dan tidak terkecuali memeriahkan genre ini adalah bintang hip hop yang semakin mencipta nama, ASYRAF NASIR. Sejak kemunculannya lewat pertandingan mencari bakat hip hop anjuran stesen radio Era, Asyraf telah bejaya mencuri perhatian penggemar muzik tempatan dengan beberapa lagu dan projek kolaborasi.
Kini Asyraf kembali dengan sebuah lagi karya yang dijangka akan mengukuhkan lagi nama serta kedudukannya dalam industri. Projek terkininya berjudul 2PAI dan ia sebenarnya diinspirasikan oleh peribahasa ‘setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’.
Dicipta dan ditulis oleh Asyraf sendiri, lagu yang diterbitkan oleh Wolfy ini berkisar sifat manusia yang boleh menjadi angkuh apabila mereka memperolehi segalanya. Malah, ada juga individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai ke puncak tanpa mempedulikan isu moral dan kebaikan.
Jadi lagu ini mengingatkan kita bahawa rezeki boleh diberi dan juga ditarik balik. Ia juga satu peringatan bahawa manusia mudah leka dan harus sedar yang setinggi mana pun pencapaian, janganlah lupa titik permulaan kita. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat perolehi kejayaan sepenuhnya tanpa bantuan orang lain. Itulah pesanan yang cuba disampaikan lewat projek ini.
Lagu ini juga memberi peluang untuk pendengar mengenal bunyi khas atau 'sound' ASYRAF NASIR yang sepenuhnya sepanjang dirinya bergelar ahli muzik.
Menurut Asyraf lagi lagu ini mengambil masa sebulan untuk disiapkan secara keseluruhan kerana dirinya ingin memberi gambaran sebenar dari pemerhatian sendiri.
“Biarpun penulisan lagu mengambil masa lebih kurang dua hari, persiapan jalan ceritanya yang memakan masa. Dari segi komposisi lagu, saya berkerjasama dengan Wolfy secara virtual. Lagu ini disiapkan pada tahun 2020, ketika zaman PKP, jadi kami terpaksa membuat panggilan video untuk bincangkan susunan lagu,” tambahnya lagi.
Malah kesemua rakaman vokal dilakuakannya sendiri di rumah disebabkan PKP.
“Saya sebenarnya memang berniat nak rakam dalam studio, tetapi setelah membuat rakaman buat kali ke 3 dan 4 di rumah sendiri, saya rasa hasilnya tak sama seperti kali pertama saya rakam di rumah. Jadi semua vokal yang anda dengar ni adalah rakaman suara yang pertama saya lakukan di rumah,” jelasnya.
Lagu ini turut menampilkan sebuah video muzik istimewa arahan Thaqif Saadon (yang juga pengarah video muzik lagu ‘Tak Sangka’) Ia menampilkan senario dua orang yang bekerjasama namun menemui konflik sepanjang bekerja. Malah rakan seperjuangannya YonnyBoii diundang untuk memainkan salah satu watak tersebut.
“Biarpun video muzik dirakam dalam masa satu hari, tetapi persiapan penuh mengambil masa sebulan sebelum kami akhirnya dapat berada di lokasi bersama kru terlibat di set. Semua orang akan lihat karakter saya yang berbeza daripada yang biasa sebab konsepnya seperti filem aksi,” ujar Asyraf lagi.
2PAI akan berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula Jumaat 26 November 2021 manakala video muziknya pula akan berada di saluran Youtube ASYRAF NASIR VEVO pada tarikh yang sama bermula jam 9 malam.
Comments