KUMPULAN NASYID INTEAM RAIKAN 100 PEMANDU P-HAILING SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
Pertubuhan Dhuafa Sejahtera, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menjalankan kerja-kerja dakwah dan kebajikan, dengan kerjasama Kumpulan Nasyid Inteam telah menjalankan program "Kembara Dhuafa" pada 24 Oktober 2021 bersamaan 17 Rabiul Awal 1443H bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul SAW.
Antara tujuan utama program tersebut di laksanakan bagi mengambil ibrah dari peristiwa kelahiran Nabi SAW, sehinggalah ke saat akhir nafas baginda, perjuangan baginda tidak pernah henti untuk ummatnya.
Di samping itu, program ini dilakukan bertujuan untuk mengurangkan bebanan masyarakat awam yang fakir miskin, petugas barisan hadapan, pekerja penghantar makanan, yang turut terkesan dengan pandemik Covid 19 yang belum menemui penghujungnya.
Program "Kembara Dhuafa" bermula pada jam 9.30 pagi dengan program Ceramah Maulidul Rasul SAW, bertempat di Surau Nurul Iman, Bukit Saujana Utama, Sungai Buloh Selangor. Ceramah tersebut di sampaikan oleh Ustaz Dr Mohd Zamri Zainuldin (Dr Zamri MANTOP) dan alunan selawat oleh Inteam dan ahli jamaah surau.
Program kemudian diteruskan dengan sesi ziarah ke beberapa buah rumah sekitar Bukit Saujana. Antaranya anggota Kumpulan Nasyid Rabbani yang di uji dengan kesihatan buah pinggang sekian lama, dan masih menerima rawatan.
Pada jam 2 petang, program diteruskan lagi dengan acara pemberian petrol percuma oleh Pertubuhan Dhuafa Sejahtera dan minuman IKoko oleh Inteam kepada 100 pemandu e-hailing dan p-hailing serta teksi bertempat di Petronas Bandar Sri Damansara.
Anggota nasyid Inteam, Mohd Syahril Abdul Kadir, yang ditemui wakil media selepas program pemberian petrol percuma tersebut berakhir memaklumkan idea program tersebut datang dari ahli Pertubuhan Dhuafa Sejahtera sendiri dengan tujuan meraikan pemandu e-hailing dan p-hailing yang telah banyak menyumbang jasa kepada masyarakat sewaktu PKP dikuatkuasakan akibat penularan Covid-19.
Program "Kembara Dhuafa" diakhiri dengan sesi ramah mesra peserta program bersama menyantuni 60 asnaf di Masjid Jumhuriah, Taman Dato Harun, Petaling Jaya Selatan. Rata-ratanya yang di santuni adalah mereka yang miskin tegar yang perlu di beri perhatian, apatah lagi terkesan dengan pandemik.
Comments