MCDONALD'S RAI 12,000 ANAK YATIM SEMPENA SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK PERINGKAT KEBANGSAAN
Program Komuniti @ McD & RMHC oleh McDonald's Malaysia yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat kebangsaan baru-baru ini telah menceriakan ramai kanak-kanak yang kurang bernasib baik . Parti McD tersebut telah diadakan bagi menyambut hari jadi 12,000 kanak-kanak di 400 rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh negara.
Inisiatif yang dilaksanakan sempena Bulan Komuniti McDonald’s ini merupakan sebahagian daripada Program Komuniti @ McD & RMHC yang diperkenalkan pada tahun 2017. Program Komuniti @ McD & RMHC menggambarkan matlamat restoran khidmat segera ini yang mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan seiring dengan komitmen McDonald’s untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Kami percaya setiap kanak-kanak berhak menikmati zaman kanak-kanak yang gembira, dan McDonald’s komited mewujudkan impak positif dalam kehidupan mereka. Kami sangat berbesar hati dapat menganjurkan Parti McD untuk kanak-kanak ini, dan ia menjadi lebih istimewa memandangkan hampir dua tahun mereka tidak menerima kunjungan orang luar disebabkan pandemik. Sempena sambutan Hari Kanak-kanak, kami percaya inilah masa yang tepat untuk membawa keceriaan kepada kanak-kanak ini,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.
Ketika parti hari jadi diadakan, McDonald’s menyediakan set hidangan Happy Meals, kek hari jadi dan menjalankan pelbagai permainan dan aktiviti menarik dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Apabila kita mengimbau semula zaman kanak-kanak, kenangan menyambut hari jadi merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Dengan sambutan hari jadi yang diadakan ini, kami berharap dapat memberikan pengalaman yang menyeronokkan dan kenangan manis yang akan sentiasa diingati oleh kanak-kanak ini sampai bila-bila,” kata Azmir.
McDonald’s dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) membelanjakan RM350,000 bagi menganjurkan parti hari jadi dan sumbangan barangan seperti tilam, bantal, sarung tilam dan cadar kepada rumah-rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh Malaysia.
Bulan Komuniti McDonald’s yang kini memasuki tahun kelima pelaksanaannya diadakan pada setiap Oktober oleh restoran khidmat segera ini untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik. Sebelum pandemik COVID-19 melanda Malaysia, McDonald’s telah menjalankan pelbagai inisiatif, termasuklah rombongan belajar, lawatan ke wad hospital dan banyak lagi. Lebih 7,000 aktiviti kemasyarakatan berjaya dianjurkan setiap tahun di bawah Program Komuniti @ McD & RMHC untuk membantu pelbagai golongan masyarakat di seluruh negara.
McDonald’s dan RMHC turut menyumbang pek “Kembali ke Sekolah” kepada kanak-kanak sekolah rendah daripada keluarga yang memerlukan. Syarikat berharap agar pek “Kembali ke Sekolah” yang disumbangkan dapat menjadikan kanak-kanak ini lebih bersemangat untuk ke sekolah.
Inisiatif ini juga bertujuan meringankan beban ibu bapa dan keluarga daripada komuniti yang kurang berkemampuan. Hampir RM9 juta dibelanjakan untuk pek “Kembali ke Sekolah”, dan ia telah diagihkan kepada lebih 95,000 kanak-kanak di seluruh negara sejak pertama kali program ini diperkenalkan pada tahun 2017.
留言