top of page

PEMANDU DAN PENUNGGANG E-HAILING PERLUKAN PERHATIAN


Pandemik Covid-19 memberi impak kepada semua rakyat terutama yang mencari pendapatan harian khususnya seperti pemandu dan penungggang e-hailing. Mereka juga telah dianggap sebagai kelompok barisan hadapan dan telah mendapat perhatian YAB Perdana Menteri Malaysia.



Banyak rintihan yang dikeluh kesahkan oleh kumpulan ini, mereka berharap agar sesuatu dapat dilaksanakan terutamanya daripada pihak Kerajaan dimana ketika ini kos sara hidup semakin meningkat, tambahan pula kumpulan pekerja ini telah ramai terdiri daripada yang mempunyai keluarga yang besar dan menghadapi kekangan pendapatan.



Kumpulan ini boleh juga dilihat sebagai golongan pekerjaan berisiko dimana mereka menghabiskan yang banyak masa di jalan raya. Banyak juga kes yang dilaporkan kemalangan melibatkan golongan ini bahkan sehingga mengakibatkan kemalangan maut.



Baru-baru ini Perdana Menteri berkesempatan 'turun padang' menemui golongan ini.



Sumber Foto : Facebook Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia


Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bertemu sekumpulan daripada mereka di Pusat Pemandu Grab di Petaling Jaya berkata, ada antara mereka terpaksa memandu atau menghantar pesanan pelanggan lebih lapan jam sehari selain ramai menjadi pemandu atau riders sepenuh masa setelah hilang pekerjaan tetap.



“Sebelum Covid-19, mereka memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 ke RM5,000 sebulan namun sekarang, mereka hanya memperoleh sekitar RM2,000 ke RM2,500 sebulan atau kurang daripada itu bergantung kepada kekerapan perjalanan yang dibuat.


“Sekarang ini kalau mendapat RM100 sehari pun mereka mampu tersenyum tetapi jika mereka mendapat RM150 sehari, bolehlah mereka tersenyum lebar. Saya bangga dengan semangat dan dedikasi mereka,” katanya dalam laman Facebook beliau.





Perdana Menteri berkata lagi, daripada luahan hati mereka, rata-ratanya menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik dan stabil, namun tidak mahu berpeluk tubuh dan memilih pekerjaan itu yang sekurang-kurangnya dapatlah membantu menampung kehidupan bersama keluarga.


Malangnya, kata Perdana Menteri, mereka juga menghadapi masalah lain seperti kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan dan kekangan bantuan kerajaan seperti subsidi minyak. Sehubungan itu, beliau memberi jaminan untuk mengkaji perkara berkenaan dan berbincang dengan kementerian berkaitan.


Sementara itu, kebanyakan pemandu dan penghantar Grab juga melahirkan kebimbangan mengenai peraturan Lesen Pengendali Sementara (LPS) dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan atau p-hailing, yang khabarnya akan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan bermula 1 Januari tahun depan.


Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah ketika memberitahu Dewan Rakyat pada 19 Ogos lalu sebagai berkata, kementeriannya sedang menyediakan peraturan dan garis panduan perkhidmatan berkenaan khususnya penggunaan motosikal.


Hasbi berkata, ketika ini terdapat kira-kira 200,000 pemandu mendaftar dengan 45 syarikat perkhidmatan e-hailing sejak 2018.


"P-hailing akan berbeza berbanding perkhidmatan e-hailing. Perkhidmatan ini akan diberikan lesen mengikut peraturan dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987, sebagai tambahan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azlan Shah Al Bakri dipetik di sebuah portal berita berkata, Kementerian Pengangkutan sudah mula mengadakan perbincangan diperingkat awal mengenai perkara berkenaan.


"Bagaimanapun, beliau berkata meskipun perkara itu sedang dibincangkan tidak semestinya akan dilaksanakan esok. Sepertimana kes e-hailing, ia mengambil masa bertahun sebelum ia dilaksanakan. Ia akan dilaksanakan tetapi saya tidak mahu menetapkan sebarang tempoh pelaksanaannya," katanya.


Hasbi berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat penuh mengenai perkara ini tetapi adalah lebih baik jika kenyataan ini diperoleh sendiri daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.


Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, idea untuk mewujudkan garis panduan mengenai perkhidmatan penghantaran e-hailing ini ditimbulkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang memberikan penekanan mengenai aspek keselamatan penunggang e-hailing ini.


Dalam satu kajian dilakukan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mendapati sebanyak 82 peratus daripada penunggang ini tidak mematuhi peraturan trafik jalan raya seperti melanggar lampu isyarat dan menunggang dalam keadaan membahayakan.


Laporan Miros yang sudah diserahkan kepada Menteri Pengangkutan itu menekankan kepada aspek disiplin penunggang motosikal e-hailing ketika dijalan raya dan juga mengetengahkan beberapa kelemahan kepada kementerian berkenaan.


Sementara itu, beberapa syarikat yang menyediakan perkhidmatan e-hailing mengesahkan sudah dijemput untuk mengadakan mesyuarat dengan APAD untuk berbincang mengenai kadar komisen dan lesen sementara bagi penghantaran menggunakan kereta.


Bagaimanapun, tindakan kerajaan untuk melaksanakan peraturan dan garis panduan itu menerima pelbagai reaksi daripada syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan kerana mereka berpendapat kerajaan berusaha meraih pendapatan daripada perkhidmatan yang disediakan.


Mereka berpendapat, APAD sepatutnya bertindak menguruskan pengangkutan awam dan bukannya dalam perkara itu kerana syarikat yang terbabit hanya menguruskan penghantaran makanan dan barangan bukannya membawa sebarang penumpang.

Difahamkan dengan pembabitan APAD, sebanyak 20 peratus perolehan daripada caj penghantaran akan diberikan kepada pihak berkuasa.


Mereka berpendapat, jika pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberikan kuasa untuk melaksanakan peraturan ini, maka ini akan menjejaskan masa penghantaran barangan disebabkan oleh sekatan jalan raya dan pemeriksaan mengejut yang dilakukan.


"Jika peraturan dan garis panduan ini tidak dilaksanakan dengan baik, ia akan menyebabkan jumlah penunggang motosikal e-hailing akan menyusut kepada 40 peratus sebagaimana yang pernah terjadi kepada pemandu e-hailing ketika kerajaan melaksanakan peraturan mewajibkan memiiki lesen kenderaan awam (PSV) satu ketika dahulu," katanya.


Beliau berkata, pandemik COVID-19 ini memberikan cabaran baru dalam pasaran kerja di negara ini dan kerajaan harus mengambilkira keadaan semasa yang sukar ketika ini apabila ramai yang kehilangan pekerjaan serta pada masa sama jumlah kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal yang menghantar makanan juga tidak diabaikan.


Sebagaimana Perdana Menteri yang menyifatkan golongan pemandu dan penghantar ini sebagai petugas barisan hadapan, beliau menzahirkan rasa bangga dengan semangat dan dedikasi mereka bagi mencari rezeki untuk keluarga demi kelangsungan hidup terutama sejak penularan pandemik COVID-19 di Malaysia.


Justeru itu, mengambil kira masalah yang diutarakan ini, Perdana Menteri akan meminta Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula mengenai peraturan Lesen Pengendali Sementara (LPS) dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (p-hailing) yang bakal dilaksanakan sebagaimana dibimbangi kumpulan pekerja ini.


“Saya amat menghargai sumbangan besar para pemandu dan riders dalam menjana ekonomi negara. Mereka bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri bahkan turut membantu memperluaskan rantaian ekonomi para peniaga lain,” katanya.


Perdana Menteri turut berpesan kepada semua pemandu dan riders agar menjaga keselamatan diri dalam kegigihan mencari rezeki. MYBUZZ!



Comments


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page