PENCARIAN KUMPULAN TARIAN TERBAIK BORNEO DALAM JUH BATTLE!
Enfiniti berkerjasama dengan stesen televisyen TVS (dahulu dikenali sebagai TV Sarawak), bakal menerbitkan satu program realiti pencarian kumpulan tarian terbaik Borneo, JUH BATTLE! yang membuka platform dan peluang kepada penari dari seluruh Borneo untuk mempamerkan bakat mereka serta berpeluang memenangi hadiah utama sebanyak RM30,000 dan mendapat gelaran Kumpulan Tarian Terbaik Borneo. Rancangan pertandingan ini akan menyaksikan beberapa kumpulan bertanding melalui cabaran dan kejutan mingguan.
JUH BATTLE! bakal dihoskan oleh artis Hip-Hop dan DJ terkenal dari Sarawak Arabyrd. Sementara itu program ini akan dijurikan oleh ikon tarian hebat seperti Suhaili Micheline, Raziman Sarbini dan Boojae Fadzil. Rancangan ini, akan diarahkan oleh Irwan Rauf, dan dijadualkan untuk ditayangkan pada akhir tahun 2021 di TVS - saluran 122 di Astro, MyFreeview dan YouTube.
Matlamat utama program ini adalah untuk menyatukan masyarakat melalui bakat tarian dan merupakan platform untuk mempamerkan penari terbaik dari Malaysia Timur. Sebanyak 16 kumpulan tarian akan dibimbing, dilatih dan dinilai oleh panel selebriti yang merupakan ikon tarian yang profesional dan berpengalaman di peringkat antarabangsa. Menerusi ikon-ikon ini, kumpulan tarian yang terlibat akan mendapat pendedahan peringkat nasional.
Program realiti JUH BATTLE! merupakan rancangan realiti tarian yang kompetetif, lahir dari buah fikiran Tiara Jacquelina, yang juga terlibat sebagai penerbit eksekutif, di bawah syarikatnya Enfiniti (M) Sdn Bhd.
"Saya sentiasa terpukau dengan semangat dan energi yang diberikan para penari dari Sarawak dan Sabah, yang mana tarian merupakan sebahagian daripada kehidupan dan budaya masyarakat di sana. Tarian adalah cara yang terbaik untuk menghindari diri dari tekanan, dan saya sangat teruja untuk melihat penari yang berkebolehan mengekspresikan diri mereka melalui pergerakan, serta menyaksikan mereka tampil di peringkat profesional. Kami juga sudah lama tidak melihat rancangan realiti tarian di kaca TV selama bertahun-tahun, jadi mungkin inilah yang kita semua perlukan untuk menaikkan semangat kita sekarang!", jelas Tiara.
Sentiasa mendahului dan memberikan tanda aras baharu untuk industri teater, filem dan muzik, pasukan Enfiniti akan memperkenalkan format penggambaran realiti TV hibrid, serta akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memenuhi suasana norma baharu, yang merangkumi perlaksanaan “bubble production” untuk pasukan produksi dan perserta yang terlibat.
Kumpulan tarian dari seluruh Sarawak & Sabah akan menjalani uji bakat secara online. Hos dan keseluruhan proses pertandingan akan dirakam di Auditorium Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kuching. Manakala segmen juri-mentor pula akan dirakam di Enfiniti Black Box Theatre di KL, juga melalui platform online.
"Matlamat kami adalah untuk menghasilkan rancangan TV yang dapat menjangkau dan memberi inspirasi kepada penduduk Borneo - melalui medium yang popular dan menarik seperti TARIAN. Kami berharap agar golongan muda yang menonton rancangan ini akan mendapat inspirasi untuk menerima serta berintegrasi ke dunia teknologi digital dan media sosial yang bergerak pantas, malah cukup berani untuk bersaing dengan yang terbaik di dunia", ujar Tiara lanjut.
Rancangan realiti TV seperti JUH BATTLE! akan memperlihatkan betapa pentingnya mempunyai impian dan cita-cita, bekerja keras, disiplin, akal, integriti dan ketahanan.
Nota : Ujibakat terbuka untuk kumpulan tarian gaya bebas.
Syarat Kelayakan:
1. Peserta mesti mempamerkan kebolehan menari (dan menampilkan kekuatan sekurangnya dalam satu jenis tarian:
kontemporari, balet, breakdancing dll.).
2. Bilangan ahli kumpulan sekurangnya seramai 2 orang atau maksimum 8 orang.
3. Peserta mesti warganegara Malaysia, menetap di Borneo (Sarawak & Sabah).
4. Peserta mestilah sekurangnya berumur 15 tahun sewaktu penyerahan ujibakat. Bagi peserta di bawah umur 18 tahun,
wajib mendapatkan kebenaran ibubapa/penjaga terlebih dahulu. Tiada had maksima umur.
5. Dalam setiap kumpulan, sekurang-kurangnya seorang ahli kumpulan mesti berumur 18 tahun.
Syarat Uji Bakat Video:
1. Sebutkan nama kumpulan tarian anda dan perkenalkan setiap ahli secara ringkas (Nama, umur, dsb).
2. Durasi video tidak boleh melebihi 5 minit.
3. Anda dan ahli kumpulan perlu memakai pakaian yang bersesuaian dalam video. (Pakaian sukan dibenarkan, perlu
berkasut).
4. Video perlu dirakam di ruang yang terang. Pastikan persembahan boleh ditonton dengan jelas.
5. Rakam video dalam mod landskap, format 16:9 atau mod statik. Kami cadangkan supaya rakaman dilakukan di atas
tripod atau bersama videografer untuk kamera kekal stabil. (Tiada pergerakan atau zoom).
6. Periksa video sebelum dihantar dan pastikan audio boleh didengar secara jelas. Hantarkan video dalam format MP4
atau MOV.
7. Muat naik video dan sertakan dalam borang aplikasi yang boleh didapati dari laman web (www.enfiniti.com.my) melalui
tab ‘Auditons’.
Cara permohonan:
1. Isi borang aplikasi. Pastikan maklumat yang dihantar adalah tepat atau borang anda akan ditolak.
2. Muat naik video uji bakat beserta gambar kumpulan.
3. Lengkapkan hanya satu borang aplikasi bagi setiap kumpulan berserta maklumat setiap peserta (1 krew tarian = 1 borang).
4. Periksa borang aplikasi. Kemudian tekan ‘Submit’. Semoga berjaya!
Sekiranya kumpulan anda dipilih, anda akan menerima panggilan daripada Enfiniti untuk pengesahan rasmi. Tarikh akhir untuk menghantar permohonan adalah pada Selasa, 31 Ogos 2021.
Jangan lupa untuk mengikuti @EnfinitiMY di Instagram, Facebook dan YouTube untuk makluman lanjut mengenai JUH BATTLE!. Ikuti hashtag #JuhBattle #EnfinitiMY & #EnfinitiMakesMagic.
Email projek@enfiniti.com.my untuk maklumat tentang JUH BATTLE!.
Mengenai Enfiniti (M) Sdn Bhd
Kumpulan syarikat Enfiniti - juga dikenali sebagai Enfiniti Creative Universe - komited untuk mencipta pengalaman bertaraf dunia yang inovatif dalam hiburan, pendidikan seni, pelancongan dan perhotelan.
Diketuai oleh pelakon, pengarah dan penerbit terkenal Tiara Jacquelina, Enfiniti sentiasa menghasilkan konsep baru yang menarik sambil mentakrifkan semula standard ekspresi kreatif dalam hiburan Malaysia.
Enfiniti telah menetapkan penanda aras dengan mencipta pengalaman yang luar biasa dan tidak dapat dilupakan sejak 2003, setelah memenangi lebih daripada 50 anugerah untuk pelbagai produk Enfiniti. Mereka terkenal kerana menghasilkan Puteri Gunung Ledang, filem pertama Malaysia yang disenarai pendek untuk pertimbangan Oscar, dan kemasukan pertama Malaysia di Festival Filem Venice yang berprestij tinggi.
Enfiniti juga mencipta dan menghasilkan muzikal yang sangat digeari ramai seperti Puteri Gunung Ledang The Musical, P. Ramlee The Musical, The Secret Life of Nora dan OlaBola The Musical. Juga, di bawah payung Enfiniti terdapat pusat latihan seni persembahan Enfiniti Academy, yang menyediakan kelas latihan untuk korporat dan seni persembahan berasaskan drama, serta Tiarasa Escapes Glamping Resort di Janda Baik.
Comments