top of page

SIAPAKAH RATU HIJABISTA 2020?

EMPAT FINALIS BAKAL BERENTAP DI PENTAS AKHIR


Pengarah Michael Ang galas tugas penjurian di samping Puan Sri Normala Samsudin, penyanyi Siti Nordiana, Faizal Tahir & Khai Bahar turut buat penampilan istimewa di malam kemuncak.



Setelah tujuh minggu bersiaran, akhirnya detik penentuan untuk menobatkan juara sulung pencarian ‘Ratu Hijabista’ sudahpun tiba. Episod kemuncak pentas akhir ‘Ratu Hijabista’ yang bertemakan ‘Exclusive Elegant’ ini bakal disiarkan secara langsung dan eksklusif di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) hari ini jam 9.00 malam. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, episod pusingan akhir ini juga turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go.


Daripada 12 peserta yang bersaing merebut gelaran juara untuk penganjuran musim pertama pada kali ini, seramai empat finalis berjaya mara ke pusingan akhir. Mereka terdiri daripada FIFFY AFRINA (23, Pulau Pinang), MELLYA (23, Selangor), TINA (24, Shah Alam) dan QILA (21, Selangor).


Sepanjang paparan tujuh buah episod yang disiarkan sebelum ini, pelbagai cabaran intensif merangkumi pecahan aspek penting yang berbeza telah diberikan untuk mengasah kemampuan para peserta dalam usaha melahirkan seorang ikon wanita moden berhijab agar dapat dijadikan sebagai sumber inspirasi dan contoh teladan yang baik kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan wanita yang berhijab. Kemampuan para peserta turut diuji daripada segi tahap keyakinan diri, pengucapan awam, pengacaraan, ilmu perniagaan, peragaan serta teknik masakan.

Untuk pusingan kemuncak pada malam ini, penilaian akhir bergantung kepada persembahan tugasan individu yang akan diberikan kepada para finalis. Ketangkasan cara menjawab serta skil berkomunikasi mereka bakal diuji menerusi persembahan video pesanan khidmat masyarkat dan segmen soal jawab bersama barisan juri.


Selain gelaran juara, dua gelaran sampingan juga akan diberikan iaitu ‘Ratu Inspirasi Safi Hijabista’ dan ‘Ratu Favourite’. Pemilihan adalah berdasarkan undian awam di laman web rasmi www.hijabista.com.my

Juara ‘Ratu Hijabista’ akan membawa pulang wang tunai RM10,000, tiara, trofi dan selempang. Naib juara pula bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi dan selempang. Sementara itu, pemenang gelaran ‘Ratu Inspirasi Safi Hijabista’ pula akan memenangi wang tunai RM3,000 beserta trofi dan selempang. Manakala ‘Ratu Favourite’ pula akan menerima wang tunai RM1,000 beserta trofi dan selempang.


Mengulas lanjut mengenai Pentas Akhir ‘Ratu Hijabista’, Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Prima amat berbesar hati dengan kepercayaan penuh yang diberikan oleh pihak Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. sepanjang terjalinnya kolaborasi strategik untuk menganjurkan pertandingan pencarian bakat yang buat julung kali diadakan ini.


“Selaku penganjur bersama, kami gembira dengan sambutan positif sepanjang pertandingan ini berlangsung. Kami juga cukup berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam menjayakan penganjuran musim ini. Disiplin diri dan kesungguhan mereka yang sanggup berkorban masa sepanjang tempoh penggambaran sekaligus meninggalkan rutin harian mereka demi memberikan yang terbaik juga wajar diberi pujian. Semoga perkongsian tips, ilmu, bimbingan, nasihat dan motivasi yang diberi menerusi program ini dapat dijadikan sumber inspirasi dan motivasi yang boleh dipraktikkan bukan sahaja oleh para peserta tetapi juga para penonton di rumah. Tahniah sekali lagi kami ucapkan kepada kesemua empat finalis kerana telah berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai. Syabas dan semoga berjaya di episod kemuncak kelak.


Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Safi Hijabista yang hadir selaku Penaja Utama untuk program ini. Sokongan yang telah diberikan oleh kesemua pihak sepanjang penerbitan program ini amat kami hargai dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa depan.”


Dalam pada itu, Fiezreen Ahmad selaku Editor Pengurusan Hijabista juga turut berpendapat, “Dengan adanya Ratu Hijabista, kita telah berjaya menyediakan satu platform khusus untuk golongan wanita berhijab mengekspresikan diri mereka.


Empat orang finalis yang berjaya sampai ke pentas akhir Ratu Hijabista malam ini telah membuktikan bahawa mereka bukanlah ada di sini sekadar penyeri sebaliknya mempunyai visi yang jelas mewakili diri mereka sebagai ikon kepada semua lapisan masyarakat di luar sana.


Masing-masing memiliki latar pendidikan dan personaliti yang cemerlang. Fiffy merupakan bakal doktor, Tina pula merupakan bakal peguam manakala Mellya merupakan seorang ahli majlis perwakilan pelajar di universiti selain aktif dalam dunia sukarelawan dan akhir sekali yang paling muda antara semua, Qila merupakan pelajar dalam jurusan penyiaran.


Siapa sahaja yang menang malam ini mempunyai tanggungjawab yang besar menggalas gelaran untuk dibawa sebagai satu batu loncatan dalam memajukan diri sendiri serta menginspirasikan orang lain. Sebagai pengurus kepada jenama Hijabista semestinya saya sangat berbangga dengan penganjuran Ratu Hijabista ini dan semoga jenama ini akan memberikan inspirasi dan juga input yang baik kepada semua hijabi di luar sana,”

Tugas penjurian pusingan akhir akan digalas oleh Puan Sri Normala Samsudin selaku juri tetap di samping pengarah versatil, Michael Ang yang diberi mandat sebagai juri jemputan. Bagi memeriahkan lagi penganjuran musim ini, penyanyi terkenal Siti Nordiana, Faizal Tahir dan Khai Bahar turut diundang khas untuk membuat persembahan istimewa sebagai tarikan utama pada malam kemuncak.

Pentas akhir ‘Ratu Hijabista’ juga bakal dikemudikan oleh pasangan Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim selaku hos utama musim ini.

Program ‘Ratu Hijabista’ juga turut disokong oleh Safi Hijabista yang hadir sebagai Penaja Utama untuk penganjuran musim pertama. Manakala ZAYAN pula turut menghulurkan sokongan selaku Radio Rasmi.


Untuk makluman, rakaman program ‘Ratu Hijabista’ telah mula disiarkan pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) bermula 12 Ogos lalu. Pencarian edisi sulung ini turut mendapat liputan menyeluruh dan terkini termasuklah aktiviti di sebalik tabir melalui laman digital serta sosial media Majalah Hijabista.


Untuk mengikuti info terbaru mengenai ‘Ratu Hijabista’, sila layari laman web rasmi di www.hijabista.com.my/ratuhijabista, Facebook [hijabistamagazine] dan Instagram [hijabistamag].

Comments


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page