top of page

'TAK KIRA' UJI KEMAMPUAN DR. HAFIZ MENULIS LIRIK



Pembabitannya pada program realiti Big Stage musim ketiga tahun lalu membuka ruang buat penyanyi Dr Hafiz Zainal untuk lebih dikenali. Malah, menerusi program itu dia berjaya mengumpul peminat tersendiri.


Biarpun tidak bergelar finalis, Dr Hafiz, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Zainal tetap mampu berbangga dengan apa dicapai. Apatah lagi selepas program itu dia muncul dengan beberapa single di bawah syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment, milik pasangan suami isteri juga penyanyi, Akim Ahmad dan Stacy.


Terbaharu, Dr Hafiz muncul dengan single keenam berjudul Tak Kira yang sudah dilancarkan serentak dengan video muzik sejak 15 Oktober lalu di saluran YouTube Rhythm and Rhyme Entertainment.


Menariknya, menerusi lagu ciptaan Bunga Cantik itu, Dr Hafiz diberi peluang untuk menjadi penulis lirik bersama Bunga Cantik dan Hang Nadim.


Bagi Dr Hafiz, itu adalah percubaan dan pengalaman pertama terbabit dalam bidang penulisan lirik sekali gus menjadikan ia satu lagi pencapaian dalam kerjaya seni yang dibina.


“Sejujurnya, saya teruja dan dalam masa sama gementar. Apatah lagi ini adalah lagu pertama saya terbabit dalam penulisan lirik lagu. Istimewanya, menerusi single keenam ini baru saya berani mencuba. Terima kasih kepada Akim dan Stacy kerana memberi kepercayaan untuk saya menjadi penulis lirik bersama mereka,” katanya.


Menurut Dr Hafiz, lirik lagu Tak Kira itu adalah berdasarkan pengalaman dan kisah percintaan yang pernah dilalui biarpun kandas di tengah jalan. Malah, Dr Hafiz menyifatkan lagu bergenre pop balada itu bukanlah lagu yang meratap kesedihan, tapi lebih kepada sudah bersedia bercinta semula atau dalam erti kata lain ‘move on’.


“Sebelum masuk program Big Stage saya bercinta dengan seseorang. Namun, beberapa bulan selepas menyertai program itu, kami putus cinta. Hubungan saya dengan wanita itu hanya bertahan hampir setahun. Diakui memang kecewa.


“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada kerjaya doktor gigi dengan membuka klinik gigi sendiri. Kebetulan ketika itu pun aktiviti seni dan hiburan tidak dibenarkan. Jadi, saya ada alasan kukuh kenapa membuat keputusan itu.


“Nak dijadikan cerita, saya pula selalu lepak dengan Akim dan Stacy. Sedikit sebanyak mereka memang tahu cerita dan apa saya lalui. Disebabkan itu, ketika lagu ini dihasilkan, mereka terus minta saya tulis lirik supaya ‘feel’ lebih terasa. Saya pun cuba dan alhamdulillah berjaya menghasilkan lirik pertama,” katanya.


Pun begitu, menurut Dr Hafiz sebagai orang baru yang berjinak-jinak dalam bidang itu, dia tetap menerima teguran dan tunjuk ajar daripada Akim dan Stacy.


“Lirik lagu Tak Kira ini saya tulis dulu berdasarkan jalan cerita yang saya ingin sampaikan. Apabila sudah siap, Akim dan Stacy kemas dan cantikkan lagi penggunaan perkataan dan ayat.


“Diakui ia lebih mudah sebenarnya, sebab jalan cerita saya. Secara tidak langsung mengembalikan semula memori dan kenangan yang pernah dilalui. Itu yang lebih mudah. Jadi, saya berharap peminat dan pencinta muzik tanah air dapat menerima karya ini,” katanya.


Berkongsi lanjut mengenai lagu Tak Kira, Dr Hafiz berkata buah tangan terbaharunya itu adalah jiwa sebenarnya.


“Sebelum ini kebanyakan single saya susunan muzik adalah ‘influence’ band. Tapi, untuk lagu Tak Kira ini ia lebih lembut dan memang bunyi balada. Muzik lagu ini adalah jiwa saya. Saya harap orang dapat rasakan apa yang saya sampaikan,” katanya.


Dr Hafiz juga mengakui, lagu Tak Kira ini turut menceritakan pengalamannya ketika menaruh hati dengan kawan baik.


“Lirik lagu ini pun turut menceritakan pengalaman saya dengan seorang kawan baik. Kiranya kawan baik saya itu adalah ‘crush’ saya. Apabila kami berjumpa semula, cinta itu kembali berputik. Tapi sebenarnya tak boleh, kerana akhirnya sesuai berkawan saja.


“Kiranya, menerusi lagu ini saya kena ‘move on’ untuk dua perhubungan sebelum ini. ‘Move on’ dengan dengan kawan dan cinta selepas Big Stage. Harapnya selepas ini, saya dapat menemui orang lain,” katanya.


Dalam masa sama, Dr Hafiz menyifatkan lagu itu memberi satu perasaan baru untuknya lebih bersemangat dalam mencari cinta.


“Ini masa saya untuk mencari cinta baru. Apatah lagi dalam lagu ini saya meletakkan diri rindu nak bercinta semula. Lagi pula saya sudah 29 tahun. Orang lain semua sudah ada kekasih dan pasangan hidup.


“Sekarang hati sudah terubat dan bersedia nak kembali bercinta. Buat apa nak terus bersedih. Jadi saya kena mulakan semula. Sebab itu saya nak kongsi dalam lagu ini. Saya mahu penyampaian lebih jujur.


“Andai kata bekas kekasih mendengar lagu ini, dia takkan faham dan tahu ini kisah kami. Sebab ini bukan lagu sedih putus cinta, tapi lebih kepada ‘feel’ sudah ‘move on’ dan sepertinya sudah ada kekasih baru,” katanya.

Comments


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
bottom of page