TEMPATAN FEST BAKAL ANJUR ACARA PESTA KOPI KL & BLUES VALLEY JAM
Tempatan Fest ditubuhkan pada 2013 dengan objektif utama untuk mempertengahkan inisiatif usahawan tempatan dalam pelbagai bidang yang menonjolkan seni dan kreativiti baik dari bidang seni grafik, fesyen jalanan, muzik mahupun kulinari dengan penganjuran tahunan seperti Tempatan Fest, Tempatan Stage, Tempatan Kitchen dan seumpamanya.
Kekangan akibat pandemik Covid-19 sejak Mac 2020 memberi impak yang sangat besar bagi semua usahawan ini. Pengoperasian semula pelbagai sektor ekonomi membuka ruang bagi Tempatan Fest yang diketuai oleh Seir Rashid untuk kembali aktif meneruskan usaha yang telah dimulakan sejak penubuhannya.
Untuk julung kali, Tempatan Fest akan menganjurkan dua acara iaitu Pesta Kopi KL & Blues Valley Jam.
PESTA KOPI KL
Pesta Kopi KL akan diadakan pada 4 & 5 Disember 2021 dengan kerjasama Pasar Seni. Selama dua hari, usahawan kopi tempatan seluruh negara berkumpul untuk mempersembahkan produk minuman kopi masing-masing serta menunjukkan pelbagai cara dan seni penyediaan kopi.
Ia akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 9 malam di Kasturi Walk, Pasar Seni dan akan dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan.
Antara aktiviti menarik sepanjang acara dua hari tersebut adalah
1. Persembahan kumpulan buskers, artis indie dan beberapa artis ternama.
2. Demonstrasi penyediaan kopi dan demonstrasi alat-alat penyediaan kopi oleh para vendor.
3. Jualan barangan penyediaan, aksesori dan produk kopi.
BLUES VALLEY JAM
Blues Valley Jam adalah acara konsert bertema alam sekitar kerjasama antara Blues Gang dan Tempatan Fest. Ia tercetus sempena sambutan ulang tahun ke-48 Blues Gang bukan saja sebagai konsert ulang tahun tetapi juga dengan harapan ia menjadi acara tahunan dalam menyemarakkan rasa cinta dan peduli kepada kelestarian alam sekitar.
Antara artis yang akan menjayakan Blues Valley Jam kali ini adalah Kumpulan Blues Gang, Lord (The Boys), Blues Bugz Pitahati, Sons Of Adam, Andy (Flop Poppy), Zip Ziellers, Touch Mahal dan Blues All Stars.
Untuk kali ini, acara ini akan diadakan secara maya pada 28 Disember 2021 bermula jam 4 petang sehingga 11 malam di laman rasmi Blues Gang – www.bluesgangofficial.com. Orang ramai yang berminat boleh membeli pas tontonan berharga RM22 (termasuk caj perkhidmatan) di laman yang sama.
Untuk sebarang maklumat berkaitan Pesta Kopi KL dan Blues Valley Jam, sila hubungi Amiruddin Karim, bagi pihak Tempatan Fest di 0132199103
Comments